Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman:
Suatu Sorotan Ringkas Terhadap Tradisi Pewarisan Ilmu Agama
Dalam Amalan Majoriti Ulama’ Islam
(4)
Perbahasan Keempat: Antara Tajdid dan Tafsid dalam Tradisi Keilmuan Islam
Skop Perbahasan:
- Ke Arah Memahami Tajdid
- Perbezaan Antara Tajdid dan Tafsid
- Mujaddid Sejati dalam Neraca Sejarah dan Penilaian Ilmiah
- Mengenali Erti Tajdid dalam Islam Menerusi Amalan Mujaddid Silam
- Antara Kegelinciran dalam Perlaksaan Tajdid
Ke Arah Memahami Tajdid
Menerusi perbahasan sebelum ini, kita fahami bahawasanya ilmu agama ini diwarisi daripada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- merentasi zaman melalui para ulama’ yang memindahkannya (ilmu agama) dari sudut riwayah mahupun dirayah (kefahaman), di mana mereka (para ulama’ tersebut) adalah golongan As-Sawad Al-A’zhom yang dijanjikan kebenaran mereka oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- sendiri.
Namun, tradisi keilmuan Islam tidak sunyi daripada konsep Tajdid. Tajdid ialah suatu proses pembaharuan dalam umat Islam, yang mengeluarkan umat Islam dari kepincangan kepada keadaan yang lebih sejahtera dan cemerlang.
Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yangbermaksud :
‘‘Allah s.w.t. akan mengutuskan bagi umat ini (umat Islam), setiap seratus tahun orang yang akan memperbahrui (tajdid) agamanya (agama umat Islam)’’
[Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Hasan bin Sufian, Al-Bazzar, At-Tabrani, Abu Nu’aim dan sebagainya].
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Al-Azhari) menulis dalam kitab beliau berjudul Al-Fiqh Al-Islami Baina Al-Asholah wa At-Tajdid:
“Tajdid tidak sama sekali bermaksud melenyapkan segala yang lama atau berusaha untuk memusnahkannya, tetapi sebaliknya (tajdid ialah) menjaganya (yang lama), memperbaikinya dan memperelokkannya” [m/s: 29]
Perbezaan Antara Tajdid dan Tafsid
Hadith ini memberi gambaran terhadap keunggulan agama Islam yang sering berkembang samada secara ilmiah menerusi perkembangan ilmu-ilmu yang memelihara sumbernya (iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah) mahupun ilmu-ilmu yang mengembangkan kefahaman kedua-duanya dengan kefahaman yang sahih menerusi manhaj interaksi yang sahih, mahupun berkembang secara praktikal ketika berhadapan dengan masalah-masalah baharu dalam kehidupan seseorang muslim.
Namun, Tajdid itu bukanlah sesuatu yang mutlak tanpa metodologi dan kerangka (dhowabit)nya yang digariskan oleh ajaran agama Islam itu sendiri, sehingga sesetengah orang yang mempromosikan kesesatan juga turut mengajak manusia menuju kesesatan atas nama Tajdid. Maka, para ulama’ mengetahui dan merangka ukuran dan kerangka sebenar dalam agenda Tajdid itu sendiri agar sesuatu itu dinilai melalui maknanya (isinya) sebelum namanya (bekasnya). Mungkin sahaja seseorang itu mendakwa mempunyai “pemikiran tajdid” tetapi apa yang keluar daripada pemikirannya menerusi perkataan-perkataannya hanyalah melambangkan suatu usaha ke arah kehancuran (tafsid), namun dia masih menyangka bahawa dia sedang melakukan kebaikan. Maka, sebab itulah ukuran itu pada isi kandungan pemikiran tersebut, bukan pada namanya sebab semua orang boleh mengaku apa sahaja yang mereka mahu mengaku, tetapi bukan semua orang benar dalam pengakuannya.
Oleh sebab itulah, kita lihat para ulama’ Mujaddid dahulu tidak cenderung untuk mengaku atau mendakwa diri sebagai Mujaddid atau mengaku berpemikiran Tajdid, tetapi cetusan pemikiran mereka dan usaha yang mereka lakukan banyak menyumbang dalam masyarakat Islam di zaman mereka sehingga para ulama’ setelah mereka mengakui para ulama’ tersebut sebagai Mujaddidin. Imam As-Syafi’e r.a. tidak pernah mengaku sebagai berpemikiran Tajdid atau pelaksana Tajdid dalam sepanjang hidup beliau, namun beliau dinilai sebagai Mujaddid oleh para ulama’ berdasarkan sumbangan beliau dalam keilmuan Islam, setelah kewafatan beliau.
Berbeza dengan sesetengah orang di akhir zaman yang cenderung mengaku dan mendakwa sebagai pelaksana Tajdid tetapi ketika di lapangan praktikal, apa yang cuba diterjemahkan adalah sebaliknya iaitu Tafsid (perosak) sehingga membuatkan masyarakat Islam semakin keliru, berpecah belah dan bertambah gusar. Maka, fahamlah kita sesuatu itu kembali kepada isinya, bukan semata-mata namanya, kerana kalau sesuatu itu hanya pada namanya, maka tiada bezanya antara mereka yang benar dan para pendusta. Mereka yang mencetuskan perbalahan dalam umat Islam dengan menyalahkan ijtihad-ijtihad para ulama’ lain dan menuduh sesetengah pihak mengamalkan bid’ah sedangkan mereka yang mengamalkannya mempunyai sandaran dan dalil di sisi mereka secara jelas membawa agenda merosakkan ummah. Begitu juga mereka yang mengingkari dalam perkara-perkara khilafiyyah dan sebagainya.
Seseorang Mujaddid terutamanya dalam bidang keilmuan Islam adalah seorang yang menguasai ilmu Nabawi secara lengkap dari sudut Riwayah dan Dirayah. Bahkan, penguasaannya dalam keilmuan juga dapat diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan dengan cara yang paling “memberi” sumbangan kepada masyarakat Islam samada kepada golongan ilmuwan mahupun kepada masyarakat awam Islam.
Dhowabit (Kerangka) Tajdid dalam Islam
Sebahagian ulama’ menyenaraikan beberapa kerangka atau neraca Tajdid yang sahih agar tidak membawa kepada Tafsid atau kepada kebinasaan.
Pertama: Idea Tajdid tersebut tidak boleh bercanggah atau bertentangan dengan nas-nas syar’iyyah kerana pada asalnya, Islam menyuruh berpegang kepada nas-nas atau sumber agama. Ia seperti membenarkan riba, membenarkan wanita jadi imam solat jemaah yang disertai oleh lelaki dan sebagainya.
Kedua: Tajdid juga tidak boleh dibina atas pemikiran yang ditolak oleh para ulama’ muktabar seperti pemikiran Mu’tazilah, Mujassimah dan sebagainya.
Ketiga: Tajdid hendaklah meraikan kaedah-kaedah umum dalam fatwa iaitu:
1) Tidak boleh mencari-cari Rukhsah atau kemudahan dalam mazhab-mazhab kerana ingin mencari kesenangan dalam Syariat, bukan berdasarkan kekuatan dalil.
2) Tidak boleh membawa kepada Talfiq (percampuran mazhab dalam taqlid) yang tercela yang mana menggabungkan dua pendapat yang saling menyebabkan antara mazhab tersebut membatalkan satu sama lain. Sebagai contoh, pernikahan tanpa wali dan tanpa saksi sekaligus. Pernikahan tanpa wali sah di sisi Mazhab Hanafi dan pernikahan tanpa saksi sah di sisi mazhab Maliki. Maka, pernikahan tersebut sah mengikut penggabungan antara dua mazhab secara serentak tetapi menurut kedua-dua mazhab secara berasingan, pernikahan tersebut tidak sah kerana pernikahan tanpa wali tidak sah di sisi Mazhab Maliki dan pernikahan tanpa saksi pula tidak sah di sisi Mazhab Hanafi. Maka, ini adalah suatu Talfiq yang tercela menurut kebanyakan ulama’ usul fiqh.
3) Tidak boleh berpegang dengan pendapat-pendapat yang terpinggir daripada pegangan yang masyhur atau rajih dalam kalangan para ulama’ apatah lagi berfatwa dengan pendapat yang menyalahi ijma’.
[rujuk Dharurah At-Tajdid wa Dhowabituhu oleh Dr. Khalid Abdullah As-Syu’aib di web: http://www.islamic-council.com/conf_au/13/3.asp ]
Mujaddid Sejati dalam Neraca Sejarah dan Penilaian Ilmiah
Maka, sudut pemikiran, seseorang Mujaddid itu mengandungi penguasaan ilmu Islam yang lengkap melalui sistem pembelajaran secara warisan ulama’ silam (talaqqi bersanad) sehingga mendapat manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas Al-Qur’an dan Hadith, lalu mempunyai minda yang I’tidal (pertengahan) yang mana dengan minda tersebut dia menilai sesuatu persoalan secara tepat setelah menguasai sesuatu isu secara terperinci.
Jika kita membuka lembaran sejarah Islam, kita dapati mereka yang digelar sebagai para Mujaddid dalam lipatan sejarah Islam adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan sebelum ini.
Sebagai contoh, Imamuna Al-Mujtahid Al-Mustaqil Al-Hujjah Muhammad bin Idris As-Syafi’e r.a. dinilai sebagai Mujaddid kerana sumbangan beliau yang sangat besar dalam menggabungkan dua manhaj yang dianggap saling bertembung di zaman beliau iaitulah antara mazhab Ahl Hadith dan mazhab Ahl Ra’yi di samping penguasaan beliau yang lengkap dalam ilmu agama secara Riwayah dan Dirayah.
Imamuna As-Syafi’e r.a. mungkin tidak disenaraikan sebagai antara para ulama’ hadith yang besar seperti guru beliau Imam Malik r.a. dan murid beliau Imam Ahmad r.a. yang sangat mahir dalam ilmu agama dari sudut Riwayah, tetapi dari sudut penguasaan beliau (As-Syafi’e) secara lengkap dalam bidang Riwayah dan Dirayah, maka beliau mampu mencetuskan penggabungan antara manhaj Ashaab Hadith dan Ahsaab Ra’yi sebagaimana yang terkandung dalam kitab Ar-Risalah yang dinilai sebagai kitab pertama yang membahaskan tentang ilmu Usul Fiqh secara teratur. Ia semacam suatu jalan keluar dari pertembungan kedua-dua kelompok tersebut.
Kita lihat bagaimana para ulama’ dari kalangan Ahl Al-Hadith (atau Ashaab Al-Hadith) memahami Ahl Ar-Ra’y dan mampu berinteraksi dengan mereka (Ahl Ar-Ra’yi atau Ashaab Ar-Ra’yi) dalam wacana keilmuan yang lebih luas melalui Imam As-Syafi’e r.a.. Begitu juga para ulama’ dari kalangan Ahl Ar-Ra’yi juga mula mendekati pendekatan-pendekatan Ahl Al-Hadith yang mana sebelum ini mereka bersikap menjauhi pendekatan golongan tersebut, kerana saling tidak memahami antara mereka.
Imam Al-Humaidi r.a. yang merupakan seorang ulama’ aliran Ashaab Al-Hadith sendiri mengakui memahami dan mampu berwacana dengan Ashaab Ar-Ra’yi melalui tunjuk ajar Imam As-Syafi’e r.a..
Imam Al-Humaidi r.a. berkata yang bermaksud:
“Sebelum ini, kami ingin menjawab Ashaab Ar-Ra’yi (dalam persoalan yang mereka timbulkan) tetapi kami tidak mampu menjawab mereka dengan baik sehinggalah datang kepada kami Imam As-Syafi’e lalu beliau membukakan pintunya (ke arah wacana ilmiah dengan Ashaab Ar-Ra’yi)”. [Manaqib As-Syafi’e: 2/153]
Imam Abu Thur r.a. yang pada awalnya dari kalangan Ashaab Ar-Ra’yi juga akhirnya cenderung kepada pendekatan Ashaab Al-Hadith setelah memahami manhaj pertengahan antara kedua-duanya melalui Imam As-Syafi’e r.a..
Imam Abu Thur r.a. berkata:
“Kalaulah bukan kerana Allah s.w.t. menganugerahkan kepadaku Imam As-Syafi’e, nescaya aku akan bertemu dengan Tuhanku sebagai seorang yang sesat. Beliau hadir kepada kami ketika aku menyangka tiada seorangpun yang menyembah Allah s.w.t. melainkan dengan mazhab Ar-Ra’yi. Tiba-tiba, dikatakan kepadaku: “seorang pemuda berketurunan Quraisy telah datang ke bandar Salam yang sedang membela mazhab Ahl Madinah (Ahl Al-Hadith)”.
“Maka aku bertanya: “Adakah ahli Madinah ada suatu mazhab yang dapat dibela? Bangkitlah kalian dan mari sama-sama kita mendengar perkataannya”. Maka aku dan teman-temanku bangun lalu kami melihat beliau (As-Syafi’e r.a.) yang merupakan seorang pemuda yang mempunyai lidah yang petah. Aku mendengar beliau (As-Syafi’e) berkata:
“(Ada keadaan ayat di mana) Allah s.w.t. berfirman dalam suatu khabar khas (lafaznya berbentuk) tetapi yang dimaksudkan adalah umum. Allah s.w.t. berfirman dalam suatu khabar yang umum tetapi yang dimaksudkan adalah khusus”.
Lalu aku berkata:
“Semoga Allah merahmatimu. Tapi, apakah itu ayat khusus yang dimaksudkan dengan umum dan apakah ayat yang umum tetapi dimaksudkan dengannya sebagai khusus? Kami tidak tahu daripada lafaz khusus terdapat makna umum dan daripada lafaz umum terdapat makna khusus”.
Imam As-Syafi’e lalu menjawab:
“Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“…Sesungguhnya manusia telah berhimpun untuk mendapatkanmu…” [Surah Ali Imran: 173]
Maka, yang dimaksudkan dengan manusia di sini khusus kepada Abu Sufiyan.
Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
“Wahai Nabi, jika kamu menceraikan isteri-isterimu…” [Surah At-Thalaq: 1]
Ayat ini lafaznya khusus kepada Nabi tetapi maknanya umum kepada umat Islam.” [Manaqib As-Syafi’e 1/221]
Begitulah berterusan perbicaraan antara Imam Abu Thur dengan Imam As-Syafi’e sehingga akhirnya Imam Abu Thur mengakui kehebatan Imam As-Syafi’e r.a.. Bahkan, lebih unik lagi, perbahasan Imam As-Syafi’e tersebut adalah suatu perbahasan yang baru yang tidak didapati Imam Malik atau mana-mana ulama’ hadith sebelum beliau membahaskannya.
Lihatlah Imam As-Syafi’e menggabungkan nas Al-Qur’an dengan manhaj sahih ketika berinteraksi dengannya. Ini menunjukkan keagungan pemikiran Imam As-Syafi’e dalam menggabungkan kemahiran Ahl Al-Hadith dalam menggunakan nas dan kemahiran Ahl Ar-Ra’yi dalam menggunakan penilaian secara akal atau kaedah akal. Gabungan kemahiran menggunakan sumber agama dengan manhaj sahih inilah seterusnya dikenali dengan Usul Fiqh yang akhirnya membuka lembaran baru bagi kerjasama keilmuan antara Ashaab Ar-Ra’yi dengan Ashaab Al-Hadith.
[Catatan: Lihatlah kegelinciran sesetengah pihak ketika memahami hadith yang menyebut “setiap perkara baru yang diadakan adalah bid’ah…” dengan makna umum kerana keumuman lafaznya, akhirnya cenderung untuk menuduh sesama muslim melakukan bid’ah terhadap perkara-perkara khilafiyyah. Mereka (penuduh) tersebut tidak memiliki manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas tetapi sekadar merujuk kepada nas secara literal, namun masih tidak mengaku sebagai zhahiriyyah. Padahal, mengenai hadith tersebut, Imam An-Nawawi dan sebagainya menyebutkan bahawasanya ia adalah ‘am makhsus (lafaz yang umum tetapi mempunyai makna khusus). Tidak tahulah, di mana mereka dalam tradisi keilmuan Islam seolah-olah minda mereka berada di zaman sebelum kelahiran Imam As-Syafi’e r.a. dan tidak mengikut perkembangan keilmuan dalam bidang fiqh yang sudah muncul ilmu Usul Fiqh dan sebagainya, sebagai pembantu bidang ilmu fiqh dan hadith, walaupun berada di zaman moden].
Maka, dengan kesepaduan tersebut, Imamuna As-Syafi’e dinilai sebagai Mujaddid pada zaman beliau oleh majoriti ulama’ Islam dari kalangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah sepanjang zaman. Ini berdasarkan sumbangan beliau yang tinggi berdasarkan pemikiran beliau yang mampu memberi penyelesaian dalam kemelut ilmiah yang dihadapi oleh para ulama’ Islam pada ketika itu yang seterusnya membantu masyarakat awam Islam.
Imamuna Al-Hujjah Abu Al-Hasan Al-Asy’ari turut tersenarai antara para Mujaddid pada zaman beliau kerana mampu memberi suatu jalan keluar kepada pertembungan antara Mu’tazilah dengan Ahlus-Sunnah pada zaman beliau sehingga mencetuskan manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas Al-Qur’an dan Hadith dalam bidang aqidah Islam. Ia suatu manhaj penggabungan antara perbahasan naqli (Al-Qur’an dan As-Sunnah) dengan aqli (perbahasan secara logikal) yang sangat penting dalam lapangan keilmuan Islam sehingga mampu mematahkan hujah-hujah Mu’tazilah dan Mujassimah yang pada ketika itu merupakan dua golongan yang terpinggir daripada As-Sawad Al-A’zhom dalam masalah aqidah (selain golongan Syiah).
Sumbangan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari melahirkan sebuah asas bagi membahaskan ilmu aqidah Islam secara tersusun sangat dikagumi oleh para ulama’ Islam sehingga akhirnya mazhab Al-Asy’ari dalam aqidah dikembangkan oleh ramai para ulama’ Islam yang muktabar di zaman mereka. Kita dapati Imamuna Abu Al-Hasan Al-Asy’ari adalah seorang ulama’ yang menguasai ilmu agama secara Riwayah dan Dirayah bahkan dapat mencetuskan suatu metodologi baharu dalam menangani krisis ilmiah dalam bidang keilmuan Islam khususnya dalam bidang aqidah.
Imamuna Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali r.a. juga merupakan antara mereka yang diterima oleh majoriti ulama’ Islam sebagai antara para Mujaddid di zaman beliau. Beliau juga mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan sebagaimana kedua-dua imam sebelum ini iaitulah Imam As-Syafi’e r.a. dan Imam Al-Asy’ari r.a..
Kita dapati dari sudut sanad keilmuannya, Imam Al-Ghazali r.a. mempunyai sanad keilmuan yang bersambung kepada kedua-dua Mujaddid tersebut bahkan, Imam Al-Ghazali r.a. merupakan antara pengikut mazhab kedua-dua imam tersebut. Imam Al-Ghazali r.a. adalah penerus kepada mazhab Imam Al-Asy’ari r.a. dalam bidang aqidah terutamanya menerusi kitab-kitab beliau seperti Al-Iqtishad fi Al-I’tiqad, Iljam Al-Awam dan sebagainya. Beliau juga adalah antara Ashaab Al-Wujuh (para ulama’ yang dirujuk pendapatnya) dalam fiqh mazhab As-Syafi’e r.a..
Ini menunjukkan bahawasanya, Tajdid itu tidak semestinya membawa seseorang tidak bermazhab secara mutlak kerana tradisi bermazhab itu adalah antara ciri-ciri keistimewaan keilmuan Islam yang tidak tidak luput dimamah usia. Bahkan, mereka yang memahami tradisi sebenar di sebalik konsep Tamazhub (bermazhab) ini tidak akan sewenang-wenangnya mengisytiharkan diri bebas daripada salah satu daripada mazhab yang empat tersebut kerana ianya hanya melambangkan kejahilan si pengakunya samada terhadp tradisi bermazhab atau terhadap tradisi Ijtihad dalam amalan para ulama’ As-Sawad Al-A’zhom.
Tajdid juga tidak membawa seseorang itu keluar daripada tradisi pewarisan Ilmu Nabawi yang asal atau keluar daripada kelompok As-Sawad Al-A’zhom dalam institusi ulama’ Islam. Tajdid sebenar adalah dengan menjadi penerus para ulama’ generasi dahulu dalam tradisi yang sudah mendapat penerimaan majoriti ulama’ (At-Talaqqi bi Al-Qabul) di samping menambah baik struktur metodologi keilmuan Islam agar dapat diselaraskan dengan keperluan semasa dalam masyarakat Islam.
Oleh yang demikian, Imamuna Al-Ghazali r.a. biarpun sudah mencapai tahap Mujtahid namun Ijtihadnya dalam masalah fiqh masih lagi bersandarkan Usul Fiqh mazhab As-Syafi’e yang menjelaskan betapa beliau adalah antara Fuqaha’ Syafi’iyyah terutamanya menerusi keempat-empat kitab fiqh karangan beliau (Al-Wasith, Al-Basith, Al-Wajiz dan Al-Khulashah).
Di samping penguasaan lengkap beliau dalam bidang ilmu agama secara Riwayah dan Dirayah, nilai sumbangan beliau yang sangat besar dalam keilmuan Islam adalah sebab utama beliau dinilai sebagai Mujaddid di zaman beliau. Jika kita pelajari daripada tulisan-tulisan beliau sahaja, kita dapati wujud perselisihan antara sesetengah para ulama’ fiqh (Fuqaha’) dengan sesetengah para ulama’ tasawwuf (sufi) sehingga wujud saling kritik mengkritik antara mereka.
Maka, Imamuna Al-Ghazali r.a. melihat isu ini secara terperinci dan secara adil, lalu beliau sendiri memberi suatu penyelesaian kepada krisis ilmiah ini dengan penggabungan (pengintergrasian) secara Manhaji (bermanhaj dan ilmiah) menerusi kitab beliau Ihya’ Ulumiddin. Di samping wujud sejarah peribadi beliau sendiri di sebalik penulisan buku tersebut, isi kandungannya sangat bermanfaat bagi kedua-dua golongan secara khususnya, dalam melihat hubung kait sesama mereka (Fuqaha’ dan Sufiyyah). Ini jelas menunjukkan Imamuna Al-Ghazali r.a. mempunyai ciri-ciri Tajdid yang telah kita sebutkan sebelum ini sebagaimana juga yang dimiliki oleh para Mujaddid sebelum beliau.
Ini juga menunjukkan bahawasanya, Tajdid bukanlah bersifat keluar daripada tradisi keilmuan Islam yang asas sehingga menjadi terpinggir daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan keluar dari tradisi yang menjadi amalan mereka dalam bidang keilmuan Islam.
Di samping itu, Imam Fakhruddin Al-Razi r.a. juga dinilai sebagai Mujaddid pada kurun keenam hijrah. Beliau juga mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Imam Al-Ghazali r.a. bahkan sumbangan beliau juga mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Imam Al-Ghazali r.a., khususnya dalam bidang aqidah, bidang tafsir dan sebagainya. Jika Imam Al-Ghazali r.a. dilihat mampu memberi penolakan yang kemas terhadap golongan Ahli Falsafah yang terkesan dengan falsafah-falsafah Yunani, Imam Fakhruddin Al-Razi r.a. pula dilihat berjaya menyusun penolakan yang kemas terhadap golongan Mujassimah yang semakin berkembang di zaman beliau (bahkan sehingga hari ini). Bahkan, sumbangan beliau juga jelas dalam bidang tafsir Al-Qur’an dan fiqh.
Mengenali Erti Tajdid dalam Islam Menerusi Amalan Mujaddid Silam
Setelah kita menekankan beberapa ciri-ciri khusus konsep Tajdid dalam Islam, maka kita dapati para Mujaddid yang disepakati oleh majoriti ulama’ Islam bercirikan ciri-ciri tersebut. Maka, kita boleh mempelajari erti Tajdid dalam agama “umat Islam” melalui cara pemikiran, cetusan pemikiran dan sumbangan mereka secara praktikal dalam masyarakat Islam samada dari sudut keilmuan mahupun dari sudut tindakan.
Maka, umat Islam dalam setiap zaman memerlukan tokoh-tokoh yang dapat melaksanakan Tajdid kerana mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam mengamalkan ajaran agama mereka (Islam). Namun, antara masalah besar yang timbul adalah kemunculan pengaku Tajdid yang mempromosikan Tafsid (kehancuran). Ini suatu perkara yang lebih membimbangkan masyarakat Islam di sebalik harapan mereka terhadap kemunculan para Mujaddid sejati.
Oleh sebab itulah, ukuran Tajdid itu sendiri perlu difahami secara Sahih kerana ramai yang menyeru kepada sesuatu pembaharuan dalam urusan agama sebenarnya menyeru kepada tafsid, bukan kepada Tajdid. Maka, belajar erti Tajdid melalui para Mujaddid terdahulu adalah suatu keperluan khususnya di akhir zaman yang mana lebih banyak orang yang mendakwa tetapi melakukan hal yang sebaliknya.
Kita boleh melihat bagaimana cetusan pemikiran Imam As-Syafi’e r.a. yang menumbuhkan ilmu Usul Fiqh yang lengkap akhirnya mendapat penerimaan meluas dan perkembangan yang memberangsangkan bagi para fuqaha’ setelah beliau. Sehinggakan, Usul Fiqh dan Qawa’id Fiqhiyyah dikembangkan dalam keempat-empat mazhab fiqh yang diterima oleh As-Sawad Al-A’zhom, termasuklah mazhab Maliki dan mazhab Hanbali yang pada awalnya hanya terkenal sebagai mazhab Ahl Al-Hadith semata-mata.
Kita perlu memahami perkembangan ilmu Usul Fiqh ini adalah suatu perkembangan yang sangat sihat kerana sebelum usaha ini dikembangkan, kita boleh dapati pertembungan yang sangat kuat antara Ashaab Al-Hadith dengan Ashaab Ar-Ra’yi. Bahkan, didapati sebahagian ahli hadith mentohmah golongan Ashaab Ar-Ra’yi dalam periwayatan hadith, hanya kerana mereka berpagang dengan manhaj Ashaab Ar-Ra’yi. Bahkan, Imam Ibn Abi Syaibah ada mengarang satu bab dalam Al-Mushonnaf bertajuk “Bab Ar-Radd ‘Ala Abi Hanifah”.
Akhirnya, setelah Imam As-Syafi’e r.a. membukakan jalan pertemuan antara Ashaab Al-Hadith dengan Ashaab Ar-Ra’yi, maka para ulama’ Islam memahami kepentingan akal dalam berijtihad terutamanya dalam masalah yang tidak mempunyai rujukan dalam nas-nas Islam. Oleh sebab itulah, Imam Zahid Al-Kauthari ada menyebut:
“Diriwayatkan perkataan-perkataan yang mencela Ar-Ra’yu begitu juga yang memujinya. Adapun Ar-Ra’yu (penggunaan akal dalam syariah) yang dicela adalah berpendapat dengan hawa nafsu (tidak melalui disiplin keilmuan Islam yang sahih), sedangkan Ar-Ra’yu yang dipuji adalah istinbath (menggali) hukum yang berdasarkan Nas di atas manhaj para sahabat, tabi’in dan tabi’tabi’in…” [Fiqh Ahl Al-‘Iraq wa Hadithuhum: 15-21]
Golongan yang menolak ilmu Usul Fiqh ini boleh dinilai sebagai golongan yang syaz dalam bidang fiqh yang mana antara mereka yang tidak banyak menggunakan ilmu Usul Fiqh ini adalah golongan Az-Zhahiriyyah.
Begitu juga dengan cetusan pemikiran Imam Al-Asy’ari r.a.. Sebelum kemunculan cetusan pemikiran beliau, ilmu Kalam dimonopoli penggunaannya oleh golongan Mu’tazilah. Sehinggakan, ianya dicela oleh para ulama’ salaf kerana penggunaannya membawa kepada fahaman sesat. Walaupun para ulama’ salaf menolak Ilmu Kalam, tetapi mereka tidak terlepas daripada menggunakan akal dalam berhujah dalam bidang aqidah khususnya dalam menolak golongan yang sesat seperti apa yang dilakukan oleh Imam As-Syafi’e r.a., Imam Al-Muhasibi r.a., Imam Ahmad r.a. dan sebagainya.
Maka, kemunculan Imam Al-Asy’ari membawa suatu lembaran baru dalam wacana ilmiah. Imam Al-Asy’ari r.a. yang membesar dalam lingkungan kelompok Mu’tazilah, mula menguasai ilmu Kalam atau penggunaan akal dalam berhujah pada bab aqidah. Namun, dalam masa yang sama, beliau berguru pula dengan para ulama’ Sunnah bahkan merujuk pegangan-pegangan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dalam bab aqidah.
Imam Al-Asy’ari r.a. menyusun perbahasan ilmu Kalam versi Sunni setelah keluar dari Mu’tazilah dengan menjelaskan kepentingan berhujah dengan menggunakan perbahasan tetapi dalam masa yang sama menegaskan kepentingan perbahasan secara akal tersebut perlulah didasari oleh sumber agama seperti Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ianya boleh didapati dalam kitab Risalah Istihsan Al-Khaudh fi Ilm Al-Kalam dan Al-Luma’ karangan beliau. Setelah itu, ilmu Kalam mula berkembang di tangan dua golongan besar Ahlus-Sunnah wal Jamaah iaitulah golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah.
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a. juga mempunyai sumbangannya yang tidak kurang pentingnya dalam lipatan sejarah Islam. Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu Islam membuatkan beliau sangat menonjol pada zaman beliau. Beliau dinilai sebagai Mujtahid Mazhab dalam fiqh Syafi’e. Beliau dinilai sebagai antara rujukan dalam manhaj Al-Asya’irah dalam bidang aqidah.
Sumbangan utama beliau juga adalah pada kitab Tahafut Al-Falasifah yang menunjukkan keupayaan beliau dalam menguasai bidang falsafah lalu mampu menjelaskan sebahagian kepincangan dalam bidang falsafah yang dikembangkan oleh sesetengah ahli ilmu Islam seperti Al-Farabi dan Ibn Sina. Begitu juga dengan kitab Al-Munqiz min Ad-Dholal yang mampu menyingkap penyelewengan golongan Bathiniyyah dan sebagainya.
Antara sumbangan terbesar beliau adalah dengan menggabungkan manhaj Fuqaha’ dan Sufiyyah dalam perbahasan ilmu-ilmu agama sebagaimana yang terkandung dalam kitab Ihya’ Ulumiddin atau bermaksud: “Penghidupan ilmu-ilmu Agama”. Buku tersebut ibarat suatu jambatan baru yang menghubungkan antara para Fuqaha’ dengan golongan sufi yang pada zaman beliau dikatakan berlaku pertembungan.
Setelah kitab beliau mendapat menerimaan yang meluas dalam kalangan ulama’ Islam, timbullah ramai ulama’ yang cuba mengembangkan ilmu tasawwuf secara praktikal dengan membina madrasah-madrasah tarbiah sufiyyah yang setelah itu dikenali sebagai Tarikat Sufiyah. Antara para ulama’ besar yang mengembangkan ilmu Tasawwuf secara Madrasah ini adalah seperti Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a., Imam Ahmad Ar-Rifa’ie r.a. dan sebagainya. Bahkan, sesetengah Tarikat dikembangkan oleh para ulama’ besar seperti Tarikat Syaziliyyah yang dikembangkan oleh Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari r.a., Imam Ahmad Az-Zarruq r.a., Imam As-Suyuti r.a. dan sebagainya.
Antara Kegelinciran dalam Pemahaman dan Perlaksanaan Tajdid
Kita dapati beberapa kepincangan yang besar berlaku dalam agenda Tajdid yang dilakukan oleh sesetengah pihak. Ada yang menganggap Tajdid sebagai suatu “melawan arus” Tradisionalisme khususnya di Nusantara ini, padahal yang mereka gelar sebagai kaum tua atau Tradisional itu adalah golongan As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam) di Nusantara yang mewarisi ilmu Nabawi daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom dalam masyarakat Islam secara umumnya. Sanad keilmuan para ulama’ Nusantara yang meneruskan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah versi As-Sawad Al-A’zhom sangat jelas jika diperhatikan melalui latar belakang pendidikan mereka.
Maka, kecenderungan menilai Tajdid kepada setiap usaha yang cuba menolak amalan-amalan tradisi masyarakat Islam yang telah disusun oleh para ulama’ Islam khususnya di Nusantara yang berteraskan sandaran kepada sumber dan usul agama yang sahih adalah suatu penilaian yang tidak berdasarkan kefahaman Tajdid yang sebenar.
Bahkan, sikap suka membid’ahkan amalan-amalan yang furu’ (cabang) yang mana para ulama’ yang mengamalkannya juga mempunyai dalil (sandaran) syar’ie (menurut ukuran syarak) samada secara umum mahupun secara khusus, bukanlah suatu sikap yang lahir daripada Tajdid, tetapi budaya membid’ahkan perkara-perkara tersebut itu sendiri adalah suatu bid’ah yang besar. Begitu juga sikap menyalahi kefahaman As-Sawad Al-A’zhom terhadap agama khususnya dalam perkara-perkara usul (asas) juga bukanlah suatu Tajdid tetapi sebaliknya suatu bid’ah dholalah juga.
Kepincangan dalam memahami Tajdid juga adalah pada kecenderungan untuk berpegang dengan pendapat-pendapat syaz dalam fiqh terutamanya pendapat-pendapat yang bercanggah dengan Ijma’ para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Hal ini perlu ditegaskan kerana ianya boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam Islam yang mudah terpengaruh dengan slogan-slogan indah tetapi di sebalik slogan tersebut mengandungi kesesatan atau kerosakan yang nyata di sisi ahli ilmu yang muhaqqiq (teliti).
Antara kepincangan dalam perlaksanaan Tajdid dari sudut ilmu Usul Fiqh pula adalah terlalu menggunakan kaedah “Sad Az-Zara’ie” (menutup jalan kepada sesuatu yang mudarat atau perkara haram) sewenang-wenangnya sehingga mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. malah mengharamkan apa yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.. Sesetengah pihak cenderung mengharamkan ziarah maqam para wali dan solihin, melarang bermusafir untuk menziarahi maqam-maqam termasuklah maqam Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- atas alasan untuk mencegah syirik dan penyembahan para wali. Kalaulah ziarah maqam boleh membawa kepada syirik, maka Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah orang yang pertama melarangnya.
Antara kepincangan dalam memahami Tajdid juga adalah kecenderungan untuk menafsirkan Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan tafsiran yang menyalahi maksud sebenar kedua-duanya sebagaimana yang difahami oleh As-Sawad Al-A’zhom berdasarkan ukuran manhaj sahih. Maka, keinginan golongan Liberal yang cuba menafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu atau atas dasar emosional dan persepsi semata-mata hanyalah membawa kepada kerosakan dalam masyarakat Islam dan bukan membawa kepada kebaikan.
Sebahagian orang mendakwa bahawasanya Al-Qur’an dan As-Sunnah sahaja yang ma’shum (terpelihara), sedangkan para ulama’ yang mentafsirkan kedua-duanya tidak ma’shum. Jadi, sebagaimana para ulama’ yang tidak ma’shum boleh menafsir Al-Qur’an dan hadith, mereka (orang awam) juga yang tidak ma’shum pun boleh menghuraikan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Ini adalah ungkapan golongan yang jahil tentang penjagaan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Allah s.w.t. memelihara Al-Qur’an dan As-Sunnah melalui para ulama’. Memang benar, para ulama’ secara individu tidak ma’shum, tetapi institusi ulama’ itu sendiri mempunyai peranan penting dalam menjaga sumber agama, manhaj berinteraksi dengan sumber agama dan kefahaman yang sahih terhadap sumber agama sudah tentulah dipelihara dalam konsep As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri. Jadi, institusi ulama’ itu melalui konesp As-Sawad Al’Azhom dan At-Talaqi bi Al-Qabul sebagai penjaga Al-Qur’an dan As-Sunnah dari sudut riwayah dan dirayah juga dipelihara oleh Allah s.w.t. walaupun cara pemeliharaan Allah s.w.t. terhadap kedua-duanya (sumber agama dan institusi ulama’) berbeza bentuknya.
Oleh sebab itulah, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menjanjikan bahawasanya umat Islam tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Apa yang dimaksudkan dengan mereka yang tidak berhimpun dalam kesesatan sudah semestinyalah para ulama’ (ahl Al-Zikr) bagi umat Islam. Adapun lafaz “tidak akan berhimpun” merujuk kepada “majoriti” ulama’ di setiap zaman kerana dalam hadith lain juga menyebut tentang kebenaran bersama As-Sawad Al-A’zhom atau majoriti (ulama’ Islam).
Maka, konsep As-Sawad Al-A’zhom dalam institusi ulama’ dan konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam turath (karya) merupakan suatu struktur yang memelihara nas-nas agama dari sudut riwayat (keasliannya) mahupun dirayah (kefahamannya yang benar) berdasarkan hadith tidak berhimpun umat Islam dalam kesesatan dan hadith As-Sawad Al-A’zhom. Dalam institusi ulama’lah tersimpannya disiplin ilmu yang menjadi alat untuk seseorang memahami nas-nas atau sumber agama. Kalau institusi ulama’ boleh diperkecilkan atas alasan ulama’-ulama’ secara individunya tidak ma’hsum, maka apa gunanya kema’shuman Al-Qur’an dan As-Sunnah tanpa cara memahami kedua-duanya yang tersimpan dalam institusi ulama’ sejak zaman-berzaman tersebut, yang merupakan para pewaris Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-?
Andai konsep As-Sawad Al-A’zhom dalam insititusi ulama’ Islam ini diragui dalam mana-mana peringkat zaman bererti silsilah keilmuan Islam yang diwarisi sejak zaman berzaman sudah hilang “keasliannya” kerana ilmu agama yang sampai kepada generasi hari ini adalah melalui warisan para ulama’ secara riwayah mahupun dirayah (kefahaman).
Institusi ulama’ As-Sawad Al-A’zhom memainkan peranan penting dalam membentuk manhaj-manhaj dalam memelihara ilmu-ilmu agama samada riwayah (berkaitan dengan sumber agama) mahupun dirayah (berkaitan dengan kefahaman tentang agama).
Ilmu Rijal (menilai kedudukan perawi hadith) misalnya disusun oleh para ulama’ hadith kerana kepentingan ilmu tersebut dalam menjaga keaslian sumber agama iaitulah hadith. Andai manhaj yang bernama ilmu Ar-Rijal (atau ilmu Al-Jarh wa At-Ta’dil) ini diragui kerana ianya disusun oleh para ulama’ yang bukan ma’shum, bererti hadith-hadith yang sampai kepada generasi hari ini juga diragui kerana hadith-hadith tersebut dipelihara oleh ilmu atau manhaj yang disusun oleh para ulama’ yang tidak ma’shum (dipelihara).
Bahkan, Al-Qur’an juga diriwayatkan secara sanad (ilmu Qiraat) yang mana ianya dipelihara oleh para ulama’ sejak zaman berzaman. Andaikata para ulama’ tidak perlu dirujuk kerana tidak ma’shum, lalu ilmu Qiraat dan sanadnya juga tidak perlu dirujuk. Kalau begitu, atas dasar apa keaslian nas Al-Qur’an dinilai dan diterima, kalau bukan melalui penilaian para ulama’ berdasarkan manhaj yang mereka susun?
Sudah pasti, sumber agama seperti Al-Qur’an dan As-Sunnah yang dipelihara melalui manhaj para ulama’ dalam menyusun ilmu-ilmu untuk berkhidmat dalam menjaga kedua-duanya menunjukkan manhaj ulama’ yang mendapat penerimaan majoriti ulama’ juga adalah dipelihara. Bahkan, “kefahaman sahih” terhadap kedua-duanya juga dipelihara berdasarkan kaedah berinteraksi dengan kedua-duanya secara sahih yang disusun oleh para ulama’ tersebut. Maka, insititusi ulama’ adalah pintu kepada masyarakat Islam dalam memahami agama melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan kefahaman yang sahih.
Perselisihan para ulama’ dalam penafsiran Al-Qur’an dan As-Sunnah bukan disebabkan tidak menguasai manhaj interaksi dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah secara sahih, tetapi kerana keadaan nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah itu sendiri yang mengandungi unsur zhonni Ad-Dilalah (kesamaran maknanya) yang membawa kepada perselisihan pendapat dalam memahaminya. Ia berbeza dengan golongan awam yang berinteraksi dengan kedua-dua sumber tersebut tanpa manhaj berinteraksi dengannya secara sahih lalu bercanggah dengan kefahaman yang sahih secara mutlak.
Sedangkan, perselisihan sesama para ulama’ yang menguasai manhaj sahih tersebut tidak membawa kepada percanggahan yang ketara (dalam masalah usul) dan tidak membawa kepada saling mengingkari antara sesama ulama’ selagimana perbezaan pendapat tersebut tetap berteraskan manhaj sahih dalam berinteraksi dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang disusun oleh institusi ulama’ As-Sawad Al-A’zhom. Bahkan, konsep Ijma’ juga sangat berperanan dalam menjaga perselisihan pendapat agar tidak keluar dari kerangka manhaj sahih yang disusun oleh para ulama’ As-Sawad Al-A’zhom.
Oleh yang demikianlah, kita menekankan konsep memahami nas-nas agama melalui para ulama’ muktabar kerana merekalah yang mewarisi manhaj sahih dalam berinteraksi dengan kedua-duanya (Al-Qur’an dan As-Sunnah). Ini yang gagal difahami oleh sesetengah awam yang cenderung untuk menafsir Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan pendapat sendiri kerana beranggapan mereka sama seperti para ulama’ juga yang berhak menafsirkan nas dengan akal fikiran sendiri.
Maka, kepentingan insitusi ulama’ sebagai rujukan bagi memahami nas-nas agama juga disebut dalam Al-Qur’an. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu (merujuk) kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui (secara istinbath) oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka…” (Surah Ali Imran: 83)
Imam Fakhruddin Al-Razi mentafsirkan ayat ini dengan menyebut:
“Ayat ini menunjukkan kepada beberapa perkara iaitu:
Pertama: Adanya hukum-hukum semasa yang tidak diketahui (hukumnya) melalui nas (Al-Qur’an dan As-Sunnah) tetapi hanya diketahui melalui Istinbath (penggalian hukum dan ijtihad).
Kedua: Istinbath (penggalian hukum) adalah suatu hujah dalam hukum Islam.
Ketiga: orang awam perlu bertaqlid (merujuk) kepada para ulama’ dalam mengetahui hukum-hukum semasa.” [Mafatih Al-Ghaib pada Surah Ali Imran: 83]
Imam At-Tabari meriwayatkan beberapa tafsiran para ulama’ bahawasanya Ulil Amri dalam ayat tersebut adalah para ulama’, antaranya:-
Imam Qatadah menafsirkan Ulil Amri dalam ayat ini sebagai para ulama’.
Imam Ibn Juraij menafsirkan Ulil Amri dalam ayat ini sebagai Uli Al-Fiqh fi Ad-Din wa Al-Aql (mereka yang memahami agama dan berakal cerdas). [tafsir At-Tabari]
Ayat ini diturunkan dalam menceritakan peristiwa khusus tetapi kebanyakan para ulama’ memahaminya dengan makna yang lebih umum iaitulah berkaitan dengan merujuk para ulama’ dalam memahami nas-nas dan dalam mendapatkan ketentuan hukum semasa. Ayat ini menjelaskan kepentingan institusi ulama’ dalam memahami nas dan memahami hukum itu sendiri.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyanyangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami”.
[Hadith riwayat Imam Ahmad]
Antara penghormatan terhadap para ulama’ adalah dengan memahami kedudukan institusi ulama’ dalam menjaga dan memelihara ajaran Islam yang murni melalui disiplin ilmu dan manhaj yang telah mereka susun dan mendapat penerimaan oleh majoriti ulama’ Islam.
Oleh yang demikian, bagi orang-orang awam, fahamilah kedudukan institusi ulama’. Dua sumber agama yang disepakati dalam syariat Islam selain Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah Ijma’ dan Qiyas yang juga sangat berkait rapat dengan institusi ulama’. Jadi, sudah tentu kefahaman para ulama’ yang menguasai disiplin ilmu alat tidak sama seperti kefahaman orang-orang awam yang tersendiri.
يـقولون هذا عندنا غيرُ جائزٍ #فمن أنتم حتى يكونَ لكم عندُ
Maksudnya:
Mereka (orang-orang awam) berkata “di sisi kami ini tidak boleh”,
Sedangkan siapa kamu semua sehingga boleh berkata “di sisi (kami)”?
Kesimpulan Perbahasan
Perbahasan ini cuba merumuskan tentang tradisi pewarisan ilmu Nabawi yang diamalkan dalam masyarakat Islam khususnya dalam institusi ulama’ Islam sejak zaman salaf sehinggalah hari ini. Maka, apa yang kita dapati adalah beberapa isi penting iaitu:-
- Ilmu Agama Islam ini adalah suatu ilmu yang diwariskan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- secara pewarisan kepada para pewaris Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dari kalangan para ulama’ yang mempunyai silsilah keilmuan yang bersambung kepada Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
- Hal ini menunjukkan kepentingan para ulama’ sebagai rujukan dalam memahami agama Islam bagi orang-orang awam kerana para ulama’lah yang mewarisi ilmu Nabawi.
- Ilmu Nabawi itu sendiri mempunyai dua jenis iaitulah ilmu Mashdar (sumber) iaitu berkaitan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah (secara riwayah) dan ilmu berkaitan dengan manhaj sahih dalam memahami kedua-duanya (iaitu secara Dirayah/kefahaman). Seseorang ulama’ ialah orang yang mewarisi kedua-dua jenis ilmu tersebut secara lengkap.
- Ini juga menunjukkan tentang kepentingan sanad keilmuan atau silsilah ilmu dalam bidang agama kerana seseorang yang ingin mewarisi ilmu Nabawi secara lengkap (dari sudut riwayah dan dirayah) perlu mengambilnya daripada para pewaris Nabawi tersebut yang mewarisinya secara bersilsilah juga yang bersambung kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
- Dalam mengambil ilmu agama, seseorang itu perlu mengetahui dari siapa dia mengambil ilmu agama. Ini menunjukkan kepentingan keahlian seseorang Mu’allim (pengajar ilmu agama) tersebut di mana antara bukti keahlian beliau dalam mengajar ilmu agama adalah, beliau mendapat izin mengajar ilmu agama (Izin Tadris) daripada guru beliau yang juga memiliki izin mengajar yang bersambung sampai kepada para ulama’ salaf.
- Hal ini membezakan tradisi pembelajaran ilmu agama yang diamalkan oleh para ulama’ salaf sehinggalah para ulama’ hari ini secara tradisional, dengan budaya pembelajaran agama di institusi pengajian tinggi yang tidak mempunyai sistem talaqqi bersanad dan tidak mempunyai penilaian dari sudut kelayakan secara tradisi sebenar (tradisi pewarisan ilmu Nabawi yang asal).
- Maka, penilaian seperti sijil-sijil kesarjanaan seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Ijazah Kedoktoran (PhD) dan sebagainya tidak mempunyai nilai kelayakan sebenar menerusi cara menilai kelayakan seseorang menurut tradisi pewarisan ilmu Nabawi yang asal, yang diamalkan oleh para ulama’ salaf dan khalaf dari kalangan As-Sawad Al-A’zhom. Oleh sebab itulah, konsep pembelajaran secara talaqqi bersanad terus dipertahankan kerana ianya adalah penilaian asal dalam keahlian seseorang pengajar ilmu agama (atau ulama’). Mungkin sahaja kaedah sijil kesarjanaan moden ini dianggap sebagai rujukan bagi institusi-institusi pengajian tinggi, namun bukanlah rujukan di sisi para ulama’ Islam yang sebenar kerana tidak mempunyai sanad keilmuan. Oleh sebab itulah, para ulama’ yang lahir daripada sistem pengajian pondok, madrasah atau sistem pengajian bertalaqqi selalunya lebih berilmu secara bersepadu berbanding mereka yang lahir dari sistem pengajian tinggi moden yang hanya menguasai ilmu secara terpisah atau cabang.
- Perbezaan antara golongan ulama’ Muktabar (As-Sawad Al-A’zhom) dengan golongan-golongan sesat adalah pada sanad keilmuan mereka dan penguasaan mereka terhadap ilmu Nabawi secara lengkap (secara Riwayah dan Dirayah) yang mana kesepaduan tersebut dikenali sebagai penguasaan ilmu Nabawi secara manhaji.
- Perbahasan ini juga menekankan kepentingan konsep As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam) dalam institusi ulama’ Islam yang menggerakkan agenda atau tradisi pewarisan ilmu Nabawi ini di samping konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan oleh kebanyakan para ulama’) dalam tradisi tersebut.
- Perbahasan ini juga turut menjelaskan perkembangan ilmu-ilmu agama dalam catatan sejarah dan penghayatan terhadap konsep isnad (sandaran) ilmu dalam tradisi Ta’lim Dini (pembelajaran ilmu-ilmu agama).
- Di samping itu juga, kita dapati bagaimana berkembangnya budaya intelektual para ulama’ Islam dengan perkembangan ilmu-ilmu agama serta karya-karya tulisan mereka yang membantu dalam menudahkan para ulama’ generasi berikutnya berinteraksi dengan nas-nas agama secara Riwayah dan Dirayah. Perkembangan tersebut juga mencetuskan budaya Turath Islami yang berbentuk karangan-karangan para ulama’ dalam bidang agama.
- Bahkan, dalam memahami Turath Islami juga memerlukan kepada konsep pewarisan yang lengkap bertunjangkan budaya isnad (sandaran) kepada penulis asal kitab agar dapat menilai keaslian karangan tersebut di sisi penulis asalnya serta memahaminya dengan maksud yang dikehendaki oleh penulis kitab tersebut. Sanad yang bersambung kepada kitab-kitab ulama’ dikenali sebagai Al-Athbat dan sebagainya.
- Dalam tradisi penyebaran dan perkembangan ilmu-ilmu agama dengan kefahaman yang sahih, maka, kewujudan Madrasah-madrasah sangat memainkan peranan yang penting dalam memberi sumbangan keilmuan terbaik dalam masyarakat Islam. Madrasah-madrasah boleh dikatakan sebagai penghubung antara para ulama’ dengan para penuntut ilmu dalam meneruskan proses pewarisan ilmu Nabawi secara sempurna menerusi tradisi asal amalan As-Salaf As-Sholeh. Bahkan, Madrasah yang mempertahankan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah juga sangat penting dalam menghadapi cabarang arus pemikiran fahaman-fahaman yang sesat pada sesuatu zaman.
- Dalam tradisi keilmuan Islam juga wujud konsep Tajdid yang mana ianya memberi sumbangan terhadap masyarakat Islam awam dalam melaksanakan agama mereka sebaiknya. Maka, disebabkan konsep Tajdid ini sangat penting, maka ianya perlu difahami dengan kefahamannya yang sebenar menerusi metolodogi dan kerangka asasnya yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Kita boleh memahami kerangka asas Tajdid daripada apa yang dilakukan oleh para Mujaddid terdahulu yang diakui sudut Tajdid mereka dalam masyarakat Islam, agar kita tidak tertipu dengan para pendakwa Tajdid yang melakukan usaha Tafsid (pemusnahan) samada secara sedar ataupun tidak.
Demikianlah sedikit sebanyak kesimpulan yang dapat disimpulkan daripada keseluruhan perbahasan di atas. Ianya suatu perkara yang sangat penting khususnya bagi para penuntut ilmu agama kerana jika tradisi pewarisan ilmu Nabawi ini tidak difahami sebagaimana yang difahami oleh As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam sejak zaman salaf sehinggalah hari ini), maka mereka akan meninggalkan tradisi ini lalu tidak dapat mewarisi ilmu agama dengan sempurna.
Hal ini berlaku kepada sesetengah penuntut ilmu agama yang kini terlibat dengan menyebarkan ilmu agama lalu dikenali sebagai ulama’, tetapi menerusi neraca penilaian sebenar keilmuan Islam, mereka tidak menguasai ilmu agama secara sepadu. Ini sangat merugikan institusi ulama’ Islam kerana kemunculan ramai ilmuwan agama yang bersifat sebagai ahli akedemik semata-mata yang hanya mempunyai “maklumat” berbanding sebagai seorang ulama’ yang mewarisi “ilmu Nabawi” secara lengkap.
Peringatan ini bukanlah suatu perkara baharu, tetapi sudah disebutkan oleh para ulama’ salaf dan khalaf, bahkan ianya terus diulang oleh para guru kami dalam kebanyakan majlis ilmu mereka. Ini menunjukkan kepada kepentingan tradisi pewarisan ilmu Nabawi secara sempurna iaitu dengan sistem talaqqi bersanad ini yang hanya boleh didapati melalui sistem pembelajaran secara tradisional seperti pengajian pondok, talaqqi di masjid-masjid seperti Masjid Al-Azhar di Mesir, Madrasah-madrasah Sunniyyah dan sebagainya.
Di samping perbahasan tentang mengambil ilmu agama secara sahih daripada golongan ahli ilmu yang muktabar, masih ada suatu perbahasan lain yang juga sangat penting yang tidak dimuatkan dalam keterbatasan skop perbahasan ini, iaitulah berkaitan penyatuan antara Ta’lim dengan Tarbiah dalam sistem pendidikan Islam yang sempurna. Ini kerana, natijah atau kemuncak daripada mempelajari ilmu agama itu sendiri selain daripada untuk menyampaikannya kepada orang lain adalah untuk mengamalkannya dalam hubungan diri kepada Allah s.w.t..
Maka, perbahasan tentang kaedah hubungan Ta’lim dan Tarbiah ini dalam sistem pendidikan Islam tidak disentuh secara terperinci di sini kerana ianya memerlukan suatu perbahasan khusus yang lebih luas kerana perkembangannya yang sangat meluas dalam pelbagai aspek. Apa yang boleh diringkaskan adalah, penyatuan Ta’lim dan Tarbiah ini dipikul tugasnya oleh para murobbi sufi yang merupakan suatu golongan ulama’ yang terlibat secara langsung dalam bidang tarbiah.
Mudah-mudahan di kesempatan yang akan datang, kita dapat membahaskan mengenainya secara dasarnya, bagi membantu para penuntut ilmu memahami manhaj perkembangan pendidikan Islam tradisi warisan Nabawi secara lengkap. Ini bagi membolehkan mereka memasuki untaian tradisi warisan ini dengan berguru kepada para ulama’ yang telah melalui sistem pendidikan Islam warisan Nabawi ini.
Semoga Allah s.w.t. membantu para penuntut ilmu agama khususnya dalam mewarisi ilmu-ilmu warisan Nabawi dengan tradisi pewarisan ilmu Nabawi yang sahih dan menyeluruh daripada para ulama’ amilin yang telah sebati dalam tradisi tersebut lalu mereka adalah penghubung antara para penuntut ilmu dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam sistem pewarisan ilmu Nabawi ini. Ilmu itu bukan sekadar maklumat di dada-dada kitab, tetapi adalah suatu yang hidup di dalam sanubari para empunyanya setelah mewarisi ilmu agama daripada pewaris-pewaris ilmu Nabawi yang setelah itu menjadi Muwarrisin (orang-orang yang mewariskan) ilmu agama secara adil dan teliti serta berakhlak sebagaimana akhlak Saidina Al-Mustafa -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Ilmu yang hidup dalam jiwa para empunyanya seterusnya menjadi cahaya dalam menerangi laluan mereka menuju Ar-Rafiq Al-A’la bersama-sama rombongan junjungan teragung Saidina Al-Mustafa wa Al-Mujtaba -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
-Wallahu a’lam bi Showab -
Khadim Thullab Al-Ilm
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafiy
* * * *
Rujukan
Al-Qur’an dan Tafsir:-
- Al-Qur’an Al-Karim
- Tafsir At-Tabari oleh Imam At-Tabari
- Tafsir Mafatih Al-Ghaib oleh Imam Fakhruddin Al-Razi
- Tafsir Al-Khazin oleh Imam Al-Khazin
Kitab-kitab Hadith dan Ulum Hadith:-
- Sahih Al-Bukhari (dengan syarah daripada Fath Al-Bari)
- Sahih Muslim (dengan syarah oleh Imam An-Nawawi r.a.)
- Kitab-kitab Sunan
- Musnad Imam Ahmad
- Musnad Ad-Dailami
- Al-Mustadrak oleh Imam Al-Hakim
- At-Tamhid oleh Imam Ibn Abdil Bar
- Al-Faidh Al-Qadir oleh Imam Al-Munawi
- Al-Muhaddith Al-Fashil oleh Imam Al-Ramahramzi
- Al-Ilma’ oleh Qadhi Iyadh Al-Maliki
- Al-Kifayah oleh Imam Al-Khatib
- Al-Jami’e Li Akhlak Ar-Rawi wa Adab As-Sami’e oleh Imam Al-Khatib Al-Baghdadi
- Al-Muqizhah oleh Imam Az-Zahabi
- Tadrib Ar-Rawi oleh Imam As-Suyuti
- Ar-Raf’u Wa At-Takmil oleh Imam Muhammad Abdul Hay Al-Laknawi
- Al-Isnad min Ad-Din oleh Sheikhu Sheikhna Sayyidi Abdul Fattah Abu Ghuddah
Kitab-kitab Fiqh dan Ulum Fiqh:-
- Ar-Risalah oleh Imam As-Syafi’e
- Al-Majmu’ oleh Imam An-Nawawi
- Hasyiyah Ala Kanz Al-Raghibin oleh Imam Ahmad Shihabuddin Al-Qalyubi
- Al-Fatawa Al-Hadithiyyah oleh Imam Ahmad ibn Hajar Al-Haithami
- Hasyiyah Al-Buhuti ‘Ala Al-‘Iqna’ oleh Imam Al-Buhuti Al-Hanbali
- Kasyaf Al-Qana’ Syarh ‘Ala Al-‘Iqna’ oleh Imam Al-Buhuti
- Al-Muwafaqat oleh Imam As-Syathibi
- Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih oleh Imam Al-Khatib
- Minhaj As-Sunnah oleh Sheikh Ibn Taimiyyah
- Al-Madkhal ila Al-Mazahib Al-Arba’ah oleh Sheikhna Sahib As-Samahah Dr. Ali Jum’ah
- Al-Fiqh Al-Islami Baina Al-Asholah wa At-Tajdid oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
- Dirasat fi Al-Ikhtilafat Al-‘Ilmiyyah oleh Dr. Muhammad Abu Al-Fath Al-Bayyanuni
Kitab-kitab Aqidah dan Usuluddin:-
- Al-Luma’ oleh Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari
- Maqalat Islamiyyin oleh Imam Al-Asy’ari
- Kitab At-Tauhid oleh Imam Abu Manshur Al-Maturidi
- Al-Iqtishod fi Al-I’tiqad oleh Imam Al-Ghazali
- Iljam Al-‘Awam oleh Imam Al-Ghazali
- Asas At-Taqdis oleh Imam Fakhruddin Al-Razi
- Syarh Al-Mawaqif oleh Imam Al-Iji
- Risalah Fi Ar-Rad ‘ala Ibn Taimiyyah fi Mas’alah Hawadith la Awwala Laha oleh Imam Baha’uddin Al-Ikhmimi Al-Misri As-Syafi’e
Kitab-kitab Sejarah, Tabaqat, Athbat dan Lughah:-
- Tazkirah As-Sami’e wa Al-Mutakallim fi Adab Al-‘Alim wa Al-Muta’allim oleh Imam ibn Jama’ah
- Manqib Imam As-Syafi’e oleh Imam Al-Baihaqi
- Lisan Al-‘Arab
- Jami’e Bayan Al-Ilm wa Fahdlihi oleh Imam Abu Umar ibn Abdil Bar An-Namri Al-Qurtubi
- Tahzib Al-Asma’ wa Al-Lughat oleh Imam An-Nawawi r.a.
- Mu’id An-Ni’am oleh Imam Taj ad-Din As-Subki r.a.
- Tabaqat As-Syafi’iyyah Al-Kubra oleh Imam As-Subki r.a.
- Tabaqat As-Syafi’iyyah oleh Imam Ibn Kathir
- Fihras Al-Faharis oleh Al-Muhaddith Al-Kabir Abdul Hai Al-Kattani
- Kifayah Al-Mustafid oleh Al-Muhaddith Sheikh Mahfuz At-Tarmasi
- Fiqh Ahl Al-‘Iraq wa Hadithuhum oleh Sheikh Zahid Al-Kauthari
- Tazkirah Al-Bahith Al-Mutath fi Syu’un wa Tarikh Ar-Rubat oleh Sheikh Al-Habib Abdullah bin Hasan Bal Faqih Al-‘Alawi
- An-Nur Al-Abhar fi Tabaqat Syuyukh Al-Jami’e Al-Azhar oleh Sheikh Muhyiddin At-Thu’mie
- Mu’jam As-Syuyukh oleh Sheikhna Usamah Al-Azhari
- Al-Mustalah At-Tarbawi fi At-Turath Al-‘Arabi oleh Ustaz Az-Zubair Al-Maghribi
Buku-buku Lain
- Folloq Jesus or Follow Paul oleh Dr. Roshan Enam
- Christianity: Myth or Message oleh Prof. Dr. Ahmad Zidan
Risalah-risalah Ilmiah
- Dharurah At-Tajdid wa Dhowabituhu oleh Dr. Khalid Abdullah As-Syu’aib
- Risalah-risalah karangan Ustaz Wan Abdullah Shaghir
- Pengaruh Fiqh Mazhab Syafi’i dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini oleh Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady
- Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami oleh Ustazuna Mohd Zaidi Abdullah
- Sistem Pengajian Tradisi dan Institusi Pondok oleh Ustaz Mohd Zaidi bin Abdullah
- TRADISI PENGANUGERAHAN IJAZAH DALAM PENDIDIKAN ISLAM Oleh Dr. Mesut Idriz Suntingan dan Terjemahan : Hairil Irza Ramli