
Gelombang Memperkasa Pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah di Malaysia
Pendahuluan
Penulis baru membaca suatu berita berkenaan dengan Seminar Amalan Tariqat di Negeri Selangor di Sinar Harian (bertarikh 12 Fabuari 2010, S2). Di samping itu juga, penulis terbaca perkembangan tentang Mesyuarar Majlis Raja-raja Melayu ke-220 yang berlangsung kelmarin dan semalam yang mana antara isi perbincangan adalah berkenaan dengan Isu kalimah Allah. Ia merupakan suatu perkembangan yang sangat sihat di Malaysia khususnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, umat Islam khususnya di Malaysia menghadapi seribu satu cabaran dan ancaman, samada ancaman tersebut berbentuk serangan pemikiran mahupun dalam bentuk-bentuk yang lain. Para ulama’ di Malaysia yang memahami Islam dengan kefahaman yang sahih (dengan kefahaman Ahlus-Sunnah wal Jamaah) terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mempertahankan umat Islam Malaysia daripada cabaran-cabaran tersebut.
Umat Islam di Malaysia mempunyai latar belakang dan sejarahnya yang tersendiri. Mereka adalah generasi warisan umat Islam Nusantara suatu ketika dahulu, yang dipimpin (sudut agama mereka) oleh para ulama’ Nusantara yang mempunyai hubungan keilmuan (sanad ilmy) dengan para ulama’ besar dari Tanah Haramain dan Mesir khususnya.
Oleh sebab itulah, acuan dan kefahaman agama dalam masyarakat awam Islam di Malaysia mempunyai suatu jati diri yang tersendiri yang disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai Syakhsiyyah Islamiyyah. Jati diri keislaman (Syakhsiah Islamiyyah) dalam masyarakat Islam di Malaysia justeru sangat utuh serta membentuk suatu kesatuan dalam kalangan mereka, di bawah naugangan Raja-raja Melayu.
Para Ulama’ Nusantara dan Syakhsiyyah Islamiyyah Masyarakat Islam di Malaysia
Jati diri keislaman yang merangkumi keseragaman bentuk kefahaman agama secara umum dalam bidang-bidang ilmu agama yang utama merupakan antara ciri-ciri keistimewaan sesebuah negara yang diurus dengan baik oleh institusi ulama’ sesebuah tempat tersebut.
Ia kembali kepada sikap pro-aktif para ulama’ yang terlibat sebagai qadhi atau mufti dalam sesebuah negara Islam tersebut dalam memelihara keseragaman bentuk kefahaman agama Islam dalam masyarakat awam Islam, bagi mengelakkan pertembungan dan kegusaran dalam masyarakat awam, kerana jauh daripada penguasaan ilmu-ilmu agama secara mendalam.
Shakhsiyyah Islamiyyah dalam erti kata ini bukan sekadar wujud di Malaysia, malah ianya wujud di sebahagian negara-negara Islam yang lain seperti Maghribi yang kuat mempertahankan keseragaman kefahaman agama iaitu mazhab Asy’ari dalam Aqidah dan mazhab Maliki dalam fiqh, di tanah Hindi (Pakistan dan India) yang berpegang dengan mazhab Hanafi secara kebanyakan, Arab Saudi yang berpegang teguh dengan pegangan Aal Sheikh (yang berpegang dengan mazhab Hanbali selagi tidak bertentangan dengan pegangan Ibn Taimiyyah. Jika bertentangan, maka mereka berpegang dengan pegangan Ibn Taimiyyah yang tidak bertentangan dengan pegangan Muhammad Abdul Wahab. Jika bertentangan, maka mereka berpegang dengan pegangan dan kefahaman Muhammad Abdul Wahab), Iran yang berpegang dengan aliran Syiah Imamiyyah dan sebagainya.
Di Nusantara khususnya di Malaysia, para ulama’ Nusantara sudah membentuk keseragaman dalam memahami bidang agama agar masyarakat awam Islam boleh merujuk terus kepada bentuk keseragaman dan kesatuan dalam kefahaman tersebut, kerana para ulama’ di sisi orang-orang awam adalah seperti merujuk kepada nas itu sendiri, sebagaimana ditekankan oleh Imam As-Syatibi dan sebahagian ulama’ usul fiqh. Bahkan, sebahagian usuliyyun (ulama’ usul fiqh) menegaskan bahawa mazhab masyarakat awam adalah mengikut mazhab mufti mereka.
Jadi, Syakhsiyyah Islamiyyah yang dipegang secara kukuh dalam masyarakat Islam di Malaysia sejak zaman berzaman adalah pegangan ahlus-sunnah wal jamaah secara umumnya, dan secara spesifiknya, mengikut mazhab Al-Asy’ari dalam aqidah dan mazhab As-Syafi’e dalam fiqh, sesuai dengan ijtihad para mufti mereka. Adapun ijtihad-ijtihad dan fatwa para mufti yang tidak berlandaskan mazhab As-Syafi’e dalam sesuatu masalah furu’, maka ianya kembali kepada pentarjihan para mufti tersebut dan ijtihad mereka. Ia tidak menafikan pegangan umum kepada mazhab As-Syafi’e dalam bidang fiqh, melainkan di sisi mereka yang jahil tentang ilmu usul fiqh.
Sheikh Abdullah Fahim r.h.l. ada menyebut tentang keseragaman kefahaman bidang agama dalam masyarakat awam Islam di Malaysia dengan berkata:
“Bismilla’hir’Rahmani’r-rahim. Al-hamdulillah, wassolatu wassalam ala sayyidina Muhammadin wa ala alihi wa ashabih (Amma ba’du)
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an (secara sepakat). Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ijma’an.
Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (yahrumu kharqul ijma’).
Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya
Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin'.
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla' (yang agung), diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.”
[rujuk “Abdullah Fahim- Ulama’ Mahir Ilmu Falak” oleh Al-Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah]
Kepentingan Mempertahankan Syakhsiyyah Islamiyyah
Dalam menghadapi ancaman fahaman-fahaman luar yang liar, terutamanya fahaman-fahaman yang menyesatkan, maka para ulama’ perlu mempertahankan keseragaman kefahaman agama dalam masyarakat awam Islam. Ini kerana, masyarakat awam Islam di Malaysia tidak seharusnya didedahkan dengan perbezaan-perbezaan pendapat dalam bidang fiqh mahupun bidang aqidah kerana mereka (masyarakat awam) tidak mampu berinteraksi dengan perselisihan pendapat dalam bidang keilmuan kerana tidak menguasai Asbab Al-Ikhtilaf (sebab-sebab berselisih pendapat) dan adab Al-Ikhtilaf (tatatertib dalam berselisih pendapat). Bahkan, mereka sendiri tidak memahami apa itu dalil qat’ie dan apa itu dalil zhonni dalam pembendaharaan fiqh Islam.
Jadi, perselisihan pendapat tidak banyak menguntungkan masyarakat awam, malah ianya boleh membawa kepada sebab perpecahan terutamanya apabila timbul kecenderungan untuk mengkafirkan, mensyirikkan, menuduh bid’ah dalam sesama muslim. Ini adalah salah satu daripada banyak faktor-faktor yang mengundang kepada perpecahan dan polemik dalam masyarakat awam Islam.
Oleh sebab itulah, seorang tokoh ilmuwan terkenal iaitu Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Al-Azhari ketika datang ke Malaysia, beliau melihat ciri-ciri keistimewaan yang dimiliki oleh masyarakat awam Islam di Malaysia ini, lalu menekankan kepentingan mempertahankan Syakhsiyyah Islamiyyah ini.
Disebutkan dalam islamonline.net di bawah tajuk:“القرضاوي يدعو ماليزيا للتمسك بشخصيتها الإسلامية” (Maksudnya: Al-Qaradhawi mengajak Malaysia agar berpegang dengan jati diri keislamannya) antaranya:
الدوحة- دعا العلامة الشيخ يوسف القرضاوي ماليزيا إلى المحافظة على شخصيتها الإسلامية المتمثلة في مذهبها الشافعي وعقيدتها الأشعرية للوقوف أمام أي تسلل فكري من الخارج.
Maksudnya:
“Dhoha- Al-Allamah As-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada negara Malaysia agar menjaga syakhsiyyah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya As-Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang Al-Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar.
Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia semalam iaitu (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, Sheikh Al-Qaradhawi mengajak Perdana Menteri dan para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.
Kemudian disebutkan:
وعقب رئيس الوزراء الماليزي على كلام الشيخ القرضاوي، مؤكدا حرص حكومته على أن تبقى الشخصية الإسلامية الماليزية بعيداً عن الخلافات المذهبية التي تشتت ولا تجمع.
Maksudnya:
Perdana Menteri memberi ulasan terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi dengan menegaskan bahawasanya kerajaan akan terus mengekalkan jati diri (syakhsiyyah) keislaman negara Malaysia agar jauh daripada perselisihan mazhab yang memecah-belahkan umat dan tidak menyatukan mereka.
[Rujukan: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1260258249444&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout ]
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bab mempertahankan keistimewaan dan keseragaman kefahaman agama dalam masyarakat awam Islam di Malaysia (yang disebut oleh beliau sebagai Syakhsiyyah Islamiyyah Maliziyyah) dilihat senada dengan saranan yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Fahim sebelum ini. Ini menunjukkan bahawasanya, para ulama’ yang mencapai peringkat kematangan dalam ilmu pasti melihat sudut kepentingan keseragaman kefahaman ini khususnya dalam masyarakat awam Islam dalam menjaga kesatuan mereka.
Maka, segala usaha untuk menjelaskan jati diri keislaman atau Syakhsiyyah Islamiyyah di Malaysia adalah sangat digalakkan dan disokong kerana ianya bertepatan dengan saranan para ulama’ khususnya para ulama’ Nusantara yang melihat struktur masyarakat awam Islam di Malaysia secara lebih dekat. Jati diri tersebut adalah manhaj Asy’ari dari sudut aqidah, mazhab Syafi’e dari sudut fiqh dan masyrab asas Al-Ghazali dari sudut tasawwufnya.
Keseragaman dan kesatuan manhaj dalam memahami agama bagi orang-orang awam bukanlah suatu kejumudan sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang jahil, tetapi ianya adalah sebuah kekuatan dalam menjaga kesatuan masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia. Keseragaman fahaman umum dalam masyarakat awam Islam bukanlah suatu perkara yang baru, malah banyak negara Islam terlibat mempertahankan unsur ini termasuklah di Arab Saudi sendiri.
Mempertahankan Tradisi Kesufian yang Sahih
Dalam arus modenisasi yang semakin memuncak, serta kemunculan golongan jahil yang bersuara melahirkan lagi kejahilan mereka dengan mengkritik dan menghentam ilmu tasawwuf dan kesufian secara mutlak tanpa sebarang pengecualian, maka ilmu Tasawwuf dan amalan tarikat kesufian yang sahih (berpandukan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah) sudah semakin terhakis dalam masyarakat awam Islam, sedangkan ianya suatu ketika dahulu adalah amalan kebanyakan masyarakat awam Islam yang dipimpin oleh para ulama’ besar di serata Nusantara.
Tidak dapat dinafikan bahawasanya, pengaruh luaran sedikit-sebanyak turut meminggirkan ilmu tasawwuf dan tradisi kesufian daripada medan dakwah dalam masyarakat awam Islam. “Tradisi kesufian” dan ilmu tasawwuf dianggap suatu perkara yang ganjil oleh kebanyakan masyarakat awam Islam di Malaysia, suatu ketika dahulu. Ini disebabkan modul-modul yang mereka dapati dalam perbincangan-perbincangan mereka dengan beberapa individu yang memimpin perbincangan tersebut, tanpa latar belakang keilmuan agama yang jelas. Perkembangan ini banyak membuahkan beberapa kekeliruan terhadap asas-asas kefahaman Islam yang sahih, khususnya melibatkan Syakhsiyyah Islamiyyah Maliziyyah. Padahal, kepentingan tasawwuf dan tariqat kesufian ini dijelaskan sendiri oleh Dr. Burhanuddin El-Helmy dalam buku beliau Simposium Tasawwuf dan Tariqah.
Namun, tradisi kesufian terus dipertahankan oleh para ulama’ pondok khususnya, yang mewarisi tradisi keilmuan daripada para ulama’ Nusantara. Biarpun tradisi ini terasing dalam masyarakat awam Islam moden, namun ianya mempunyai kekuatan yang tersendiri. Di sesetengah negeri, khususnya Negeri Sembilan, tradisi kesufian sahih terus dipertahankan.
Sejak kebelakangan ini pula, wujud suatu perkembangan positif, di mana para ulama’ kembali menyedari hakikat betapa Syakhsiyyah Islamiyyah atau keseragaman kefahaman agama dalam masyarakat awam Islam sudah semakin tercarik dan wujud beberapa perpecahan dalam masyarakat dalam beberapa peringkat. Perselisihan ilmiah ini jika dinilai dari sudut keilmuan semata-mata, maka ianya dianggap sebagai jalan kepada keterbukaan dalam bidang ilmu agama. Namun, dari sudut yang lain, perselisihan ilmiah dalam bidang agama jika melibatkan orang-orang awam bukanlah suatu yang positif, malah ianya akan membawa kepada kemunculan golongan jahil yang liberal atau agresif (suka menyalahkan pendapat ulama’ lain atau membid’ahkan pendapat ulama’ lain). Ini kerana, mereka tidak menguasai kerangka dan asas keilmuan Islam lalu tidak memahami cara para ulama’ berinteraksi dengan masalah-masalah khilafiyyah.
Pada 12-14 Ogos 2004, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus mengadakan Munaqashah Sufi Peringkat Kebangsaan 2004.
Antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah seperti:
- Martabat Tujuh (dibentangkan oleh Dr. Uthman El-Muhammady)
- Tariqat Naqsyabandiyyah: Perkembangan dan Sumbangan Ikhwannya di Malaysia
- Nur Muhammad (Dr. Abdul Manam bin Mohamad)
- Al-Syaykh Ibn ‘Arabi dan Pemikiran Wahdat Al-Wujud (oleh Prof Dr. Ahmad Umar Hasyim, Mantan Reaktor Al-Azhar)
- Tawassul dan Wasilah dalam Tariqat Tasawwuf (Dr. Sulaiman bin Ibrahim, UKM)
Munaqashah tersebut berjaya merungkai beberapa kekeliruan persepsi terhadap ilmu tasawwuf dan beberapa tokoh sufi yang terkenal. Ia merupakan suatu lembaran baru ke arah memurnikan semula kefahaman masyarakat awam Islam di Malaysia tentang amalan tariqat kesufian dan ilmu tasawwuf itu sendiri.
Setelah itu, tercetusnya idea untuk mewujudkan suatu enakmen khusus dalam memelihara amalan tariqat ini khususnya di Negeri Sembilan Darul Khusus. Ia adalah sebuah perkembangan yang sangat baik khususnya dalam memantau tariqat-tariqat sufi dengan neraca keilmuan yang murni.
Antara siri penerangan terhadap kepentingan ilmu Tasawwuf yang sahih yang lain adalah pada tahun 2007. Di mana, pad 22 Disember tahun tersebut, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah menganjurkan Seminar Tasawwuf Negeri Sembilan yang bertajuk “Tarbiyyah Ruhiyyah Asas Kesatuan Ummah” di Allson Klana Resort, Seremban yang dirasmikan oleh Al-Marhum Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman.
Pada seminar tersebut, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah melancarkan buku Bahjah An-Nufus yang ditahqiq oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri. Antara pembentang kertas kerja pada seminar tersebut adalah Dr. Zakaria Stapa (Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM), Dr. Jahid Sidek, Prof Madya Dr. Zarrina binti Saari (Jabatan Aqidah dan Pemikiran, UM) dan Dr. Abdul Manam bin Muhammad (pensyarah Universiti Darul Iman). Pada seminar tersebut juga dibincangkan mengenai Enakmen Tarekat Tasawwuf di Negeri Sembilan yang bertujua memelihara dan memulihara amalan tarikat khususnya di Negeri Sembilan.
Sebelum itu, iaitu pada tahun 2006 lagi, Enakmen Tarekat Tasawwuf peringkat Negeri Sembilan (yang digubal pada tahun 2005 lalu dipinda pada tahun 2008) mula dilaksanakan. Ia bagi menjaga dan memelihara tarikat-tarikat kesufian dan memantau aktiviti-aktiviti pengamalnya dengan pemantauan mereka yang ahli dalam bidang tersebut (Jilsah Turuq Sufiyyah).
Enakmen Tarekat Tasawwuf Negeri Sembilan ini boleh didapati sepenuhnya di laman web:
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/1bd6f3d12f3c32f448257535001ac838?OpenDocument
Adapun contoh borang (TT1) untuk berdaftar dalam Enakmen tersebut adalah sebagaimana boleh didapati di alamat ini:
http://muftins.com/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=4&tmpl=component&format=raw&Itemid=144
Jabatan Agama Perak juga dikatakan ingin merintis ke arah pengenalan terhadap enakmen yang hampir sama tersebut. Ia dikenali sebagai Enakmen Kawalan Tarekat yang dikatakan akan dilaksanakan pada tahun 2008 namun masih tidak diketahui sejauhmana perkembangannya.
Rujuk:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Rentetan daripada itu juga, seminar-seminar penerangan terhadap ilmu tasawwuf dan kesufian juga terus digiatkan. Pada tahun 12 Disember 2009, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama IKIM, ABIM, Yayasan Sofa dan Darul Hasani telah mengadakan Seminar Sufi 2009 di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.
Antara objektif seminar adalah untuk meningkatkan kefahaman yang tepat mengenai tasawwuf menurut pandangan syara’ mengembalikan kefahaman tasawuf sebagai metod tarbiah dan dakwah di dalam Islam dan menyelesaikan permasalahan penyelewengan akidah yang bertopengkan ajaran tasawuf dan tarekat yang berleluasa di kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Ia dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah, Dato’ Haji Wan Zahidi bin Wan Teh. Antara pembentang kertas kerja adalah Dr. Jahid Sidek (Ahli Jilsah Sufiyyah Jabatan Mufti Negeri Sembilan), Ustaz Salehuddin sebagai wakil bagi Sheikh Muhammad Fuad Al-Maliki (Yayasan As-Sofa Negeri Sembilan), Sheikh Rahimuddin Nawawi Al-Bantani (Pengetua Darul Hasani, Mesir) dan Al-Murobbi Sheikh Yusuf Al-Bakhour Al-Hasani (Mantan Pengetua Pusat Islam Toronto, Kanada merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Luban).
Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan dapat memberi banyak maklumat yang berguna kepada masyarakat awam Islam tentang ukuran ilmu tasawwuf yang sahih yang semakin terasing dalam masyarakat. Bahkan, pembentang menjelaskan tentang perkembangan ilmu tasawwuf serta kepentingannya menurut para ulama’ muktabar.
Pada 11 Febuari 2010 pula, Jabatan Agama Islam Selangor pula menganjurkan Seminar Amalan Tariqat Negeri Selangor bertempat di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri, Shah Alam.
Antara pembentang kertas kerja adalah Dr. Uthman El-Muhammady (Fellow Amat Utama, Akademik ISTAC, UIAM) dan Sheikh Dato’ Haji Mohd. Murtadza bin Haji Ahmad (Bekas Mufti Negeri Sembilan) lalu dilanjutkan dengan forum yang dianggotai oleh tiga orang panel iaitu, Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd. Tamyes bin Abdul Wahid (Mufti Selangor), Dr. Abdul Manam bin Muhammad (pensyarah UDIM) dan Dr. Zulkifli Al-Bakri (AJK Fatwa Negeri Sembilan).
Ia adalah suatu lagi usaha di bawah jabatan agama negeri dalam menjelaskan kedudukan amalan tarikat khususnya di Selangor. Ia merupakan kesinambungan daripada beberapa siri seminar sufi dan tasawwuf yang telah dibuat oleh beberapa jabatan agama sesetengah negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hasan Ali, kemungkinan Selangor juga akan mengikut jejak langkah Negeri Sembilan yang telah mengadakan Enakmen khas bagi menentu dan menapis hanya tariqat yang tidak bertentangan dengan alirah fahaman al-Sunnah wal Jamaah sahaja yang dibenarkan oleh Negeri Sembilan.
[Rujuk: http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story6786366.asp ]
Ia suatu perkembangan yang sangat positif kerana selama ini amalan tariqat kesufian sering dinilai secara serkap jarang tanpa suatu badan yang khusus yang dianggotai oleh mereka yang ahli dalam bidang tasawwuf, untuk memantaunya secara adil dalam kerangka keilmuan yang jelas.
Ia merupakan suatu usaha dalam mencontohi penubuhan Al-Majlis Al-A’la li At-Turuq As-Sufiyyah di Mesir, yang dianggotai oleh para ulama’ sufi yang mempunyai keahlian dalam bidang ilmu tasawwuf secara mendalam, dalam menilai isu-isu berkenaan tariqat kesufian dan kelompok sufi khususnya di Mesir.
Mempertahankan Pegangan dan Syakhsiyyah Islamiyyah di Malaysia daripada Ancaman Fahaman-fahaman Luar
Di samping itu juga, antara kecenderungan yang positif juga dapat dilihat pada kesungguhan sesetengah jabatan agama negeri dalam mempertahankan manhaj Al-Asy’ari dalam aqidah dan mazhab Syafi’e dalam fiqh, daripada serangan fahaman luar yang sekurang-kurangnya mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat awam Islam.
Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur dengan kerjasama Yayasan Sofa dan Yayasan Pendidikan Cheras juga ada merintis sebuah seminar yang besar melibatkan beberapa ulama’ dari negara-negara Arab. Ia bertujuan menjelaskan siapakah sebenarnya Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan kepentingan dalam menjaga kemurniannya.
Seminar tersebut diadakan pada 25-28 Ogos 2006 yang bertempat di Dewan Jubli Perak, Bandar Kuantan, Pahang. Seminar tersebut bertajuk “Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurnian Aqidah”. Antara yang terlibat adalah mufti-mufti kebanyakan negeri di Malaysia dan mufti-mufti negara Asia Tenggara. Ia dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Abdullah Badawi. Antara pembentang keras kerja adalah Sheikhna Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah (mufti Republik Arab Mesir), Al-Allamah Sheikh Muhammad Mukhtar Al-Salami (bekas Mufti Tunisia), Dr. Ahmad Badruddin Hasun (Mufti Syria), Dr. Umar Abdullah Kamil, Sheikh Usamah Al-Sayyid Muhammad Al-Azhari, Al-Allamah Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh, Dr. Faruq Hamadah, Al-Muhaqqiq Sheikh Sa’id Abdul Latif Fudah (ulama’ Jordan), Sheikh Sayyid Ahmad Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani dan sebagainya.
Pada 23 September 2006, Bahagian Pengurusan Dakwah JAIS dengan kerjasama ABIM telah menganjukan Seminar Penjelasan Ajaran Sesat (Pemikiran Islam Liberal) peringkat Negeri Selangor di Dewan Bankuet Seri Bestari Hotel Intekma Resort and Convention Centre, Shah Alam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang berbahagia Tuan Haji Aluwi bin Parman, Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga, JAIS, mewakili Sahibus Saadah, Pengarah JAIS.
Antara yang terlibat adalah Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Pengerusi Akedemi Kajian ketamadunan), Dato’ Ugi Suharto (pensyarah UIAM), Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran (pensyarah UIAM), Ustaz Yusri bin Muhammad (mantan Presiden ABIM) dan Encik Zainal Abidin bin Jalil (dari Kementerian Keselamatan dalam Negara, JPM).
Pada 12 Disember 2007 pula, Jabatan Mufti Negeri Johor telah mengadakan suatu program Multaqa Penjelasan Isu-isu Aqidah dan Syariah di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. Ia dirasmikan oleh Mufti Johor pada ketika itu iaitulah SS Dato’ Noh Gadut (kini mantan Mufti Johor). Ia dikatakan disertai oleh lebih kurang 4000 hadirin.
Antara pembentang kertas kerja adalah seperti Dr. Uthman El-Muhammady (Fellow Amat Utama ISTAC), Ustaz Zamihan Al-Ghari (Penolong Pengarah ILIM), Ustaz Mahfuz Muhammad dan Sheikh Dr. Abdul Rahman ‘Amasyh dari Lubnan.
Program itu mendedahkan sedikit sebanyak tentang perkembangan dan ancaman fahaman luaran yang menyelinap masuk ke dalam negara Malaysia khususnya berkaitan dengan fahaman Wahabi.
Pada 1 Novermber 2008, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Bahagian Dakwah JAWI pula telah mengadakan Seminar Kemantapan Aqidah 2008 dengan membincangkan beberapa bentuk ancaman fahaman luaran yang mampu menggugat kemantapan aqidah murni masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia.
Ia dihadiri juga oleh SS Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan dan dirasmikan oleh Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM). Antara pembentang kertas kerja adalah Ustaz Ahmad Faisal (UM), Dr. Abdul Razak As-Sa’di (UIA), Ustaz Mahfuz Al-Khalil dan Ustaz Muhammad Arifin bin Ismail.
Ia mengupas banyak isu antaranya adalah berkenaan dengan perselisihan antara salaf dengan khalaf, nas-nas mutasyabihat, perkembangan pemikiran khawarij dan sebagainya. Ia merupakan antara usaha membendung kesesatan dan fahaman yang ektrim dalam masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia.
Pada 7 Fabuari 2009, Seminar Pembinaan Ummah dan Membasmi Murtad dengan bertemakan: “Mengurangkan Kekeliruan, Mengukuhkan Kefahaman” yang dianjurkan oleh Mahallah Representative Committee (MRC), Foundation Students Coordination Council (FSCC) dengan kerjasama JAKIM, JAWI dan Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Ia dirasmikan oleh KP JAKIM. Antara pembentang kertas kerja adalah seperti Ustaz Zamihan Mat Zin, Ustaz Mahfuz bin Muhammad dan Ustaz Ahmad Faidzurrahim. Kemudian, program dilanjutkan dengan sesi suai kenal bersama ulama’ yang melibatkan Sheikh Afeefuddin Al-Jailani dan Al-Habib Al Zaenal Abidin Al-Hamid.
Pada tahun 2009 juga, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JAWI sekali lagi menganjurkan Seminar Pemurnian Aqidah 2009 yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan.
Ia dirasmikan oleh SS Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan sendiri dan disertai oleh tiga pembentang kertas kerja iaitu, Haji Mohammad Arifin Ismail (berkaitan Islam Liberal), Dr. Khalif Muammar (berkenaan Kesetaraan Gender), dan Dr. Anis Malik Taha dari UIA. Ia lebih menjurus kepada menjelaskan kepincangan fahaman Liberal yang diperjuangkan oleh sesetengah kelompok dalam masyarakat Islam.
Pada 24 Januari 2010, suatu wacana ilmiah telah diadakan iaitulah Wacana Pemikiran dan Pembangunan Ummah siri Pertama yang bertemakan: “Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyuun” yang dianjurkan oleh MUAFAKAT Malaysia dengan kerjasama JAIS. Ia diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah, Jalan Duta.
Antara pembentang kertas kerja adalah Al-Fadhil (Dr.) Uthman El-Muhammady (Fellow Amat Utama ISTAC) dan Al-Fadhil Dr. Asmadi Muhammad Na’im (Pensyarah UUM).
Pada 4 Febuari 2010 pula, Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Muslim Johor dengan kerjasama YADIM dan UTHM (Universiti Tun Hussein Onn) telah menganjurkan program Multaqa Ulama’ dan Ilmuan. Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Antara pembentang kertas kerja pada program tersebut adalah seperti Dr. Uthman El-Muhammady dan Datuk Nakhaie Ahmad (Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia).
[Rujuk: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm ]
Demikianlah sebahagian program-program yang melibatkan pihak-pihak yang berkenaan yang sempat disebutkan di sini dalam usaha mempertahankan keseragaman kefahaman agama dalam masyarakat Islam di Malaysia seterusnya membendung ancaman fahaman luaran yang membawa penyakit perpecahan dalam masyarakat awam Islam.
Kesimpulan
Semoga seminar-seminar sebegini terus ditingkatkan agar masyarakat awam Malaysia mendapat kesedaran dan mengenali jati diri keislaman asal masyarakat Islam di Malaysia (Syakhsiyyah Islamiyyah) seterusnya mempertahankannya dalam rangka untuk menjaga kesatuan dalam masyarakat Islam.
Kita lihat di mana sesetengah negara yang dicemari perpecahan dari sudut fahaman dalam agama sehingga membawa kepada pergaduhan dan pertumpahan darah, seperti pertembungan antara kaum sunni dan syiah di sesetengah tempat dan sebagainya, yang menjadi pengajaran kepada kita betapa pentingnya aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat awam Islam di bawah suatu keseragaman kefahaman terhadap agama yang dipimpin oleh para mufti dan qadhi yang bertanggungjawab dalam masyarakat Islam di bawah naungan Ulil-Amr iaitulah Raja-raja Melayu.
Masyarakat awam Islam di Malaysia wajar diberi pendedahan semula tentang Syakhsiyyah Islamiyyah yang telah lama wujud di Malaysia setelahmana para ulama’ Nusantara terdahulu mewariskannya kepada generasi kita hari ini samada melalui sistem pendidikan pondok, karya-karya mereka (kitab-kitab jawi khususnya) dan sebagainya. Semangat perpaduan di bawah keseragaman umum dalam kefahaman agama di sisi masyarakat awam Islam di Malaysia merupakan suatu kekuatan dalam menjaga kegemilangan mereka. Bagi ahli ilmu yang memahami maksud perselisihan pendapat dalam bidang keilmuan Islam, maka mereka sendiri sudah pasti memahami tanggungjawab keilmuan mereka untuk menjaga masyarakat awam Islam daripada perpecahan dengan menjauhi polimik menyalahkan pendapat-pendapat ijtihadiyyah yang diamalkan dalam masyarakat awam yang merujuk kepada mufti mereka. Keluasan ilmu itu bukan pada menyalahkan pendapat dan ijtihad ulama’ lain dalam masalah furu’ tetapi mampu menjaga adab perselisihan pendapat dan tahu bahawasanya masyarakat awam mengikut mufti tempat mereka.
Imam Al-Ghazali r.a. berkata:
يجب على العوام اتباع المفتى اذ دل الاجماع على وجوب اتباع العامى لمفتيه
Maksudnya:
“Wajib bagi orang-orang awam mengikut mufti kerana ianya telah ditunjuki oleh ijma’ bahawa wajib seorang awam mengikut muftinya” [Al-Mustasfa: 2/387]
Imam As-Syathibi ada berkata:
فتاوي المجتهدين بالنسبة إلى العوام-أي: غير المجتهدين- كالأدلة الشرعية بالنسبة إلى المجتهدين...والمقلد غير عالم، فلايصح له إلا سؤال أهل الذكر، وإليهم مرجعه في أحكام الدين على الإطلاق…
Maksudnya:
“Fatwa-fatwa para ulama’ Mujtahidin (ulama’ yang mampu menggali hukum terus daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah) bagi orang-orang awam –mereka yang tidak mujtahid- adalah umpama dalil-dalil syariat di sisi para ulama’ mujtahidin… Orang yang bertaqlid tidaklah seorang ‘alim (berilmu), maka tidak boleh baginya melainkan bertanya kepada ahli-zikr (ulama’). Dan, kepada merekalah (para ulama’) rujukannya (orang yang awam) dalam hukum agama secara mutlak…” [Al-Muwafaqat: 4/292]
Sheikh Hasanain Makhluf berkata:
ولذلك اشتهر قولهم العامى لا مذهب له، ففى البحر فى باب قضاء الفوائت ))وإن كان عاميا ليس له مذهب معين فمذهبه فتوى مفتيه((
“Oleh yang demikian, telah terkenal perkataan mereka (para ulama’ usul fiqh): “Orang awam tidak ada mazhab baginya”. Dalam kitab Al-Bahr pada bab Qadha’ Al-Fawa’it ada menyebut: “Jika seseorang itu awam, maka tiada mazhab tertentu baginya. Maka, mazhabnya adalah fatwa muftinya…”
[Rujuk: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528602206 ]
Ahli ilmu bukanlah orang yang sentiasa menyalahkan semua pendapat yang tidak bersesuaian dengan pendapatnya, apa lagi sampai membid’ahkan pendapat-pendapat sebahagian ulama’, tetapi bersikap meraikan adab-adab ikhtilaf selagimana ianya dalam masalah furu’(cabang) yang berteraskan dalil-dalil zhonni (tidak muktamad). Jadi, semua pihak termasuk ahli ilmu perlulah bersama-sama dengan pihak berkenaan dalam menjaga keseragaman kefahaman umum agama dalam masyarakat awam Islam iaitu mazhab Asy’ari dari sudut aqidah, mazhab As-Syafi’e dari sudut fiqh (secara umum) dan penjelasan Imam Al-Ghazali r.a. dalam bidang tasawwuf.
Wallahu a’lam…
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullah bi Lutfihi Al-Khafiy