
Cahaya Terindah
Dalam Kehadiran Sayyidina Rasulullah
–shollallahu ‘alaihi wasallam-
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Sebagai Nur (Cahaya) dari Allah
Allah s.w.t. berfirman:
يَا أَهْلَ ٱلْكِتَابِ قَدْ جَآءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيراً مِّمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ ٱلْكِتَابِ وَيَعْفُواْ عَن كَثِيرٍ قَدْ جَآءَكُمْ مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ
Maksudnya:
“Wahai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu, Rasul Kami, yang menjelaskan kepada kamu banyak dari isi Al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu, cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” [Surah Al-Maidah: 15]
Imam At-Tabari menafsirkan “nur” (cahaya) dalam ayat ini sebagai:
يعنـي بـالنور مـحمداً صلى الله عليه وسلم، الذي أنار الله به الـحقّ، وأظهر به الإسلام، ومـحق به الشرك فهو نور لـمن استنار به يبـين الـحقّ
Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan cahaya adalah Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam yang mana Allah menerangkan kebenaran dengan Baginda dan menzahirkan Islam dengan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- serta membasmi kesyirikan dengan Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda shollallahu ‘alahi wasallam adalah cahaya bagi sesiapa yang ingin mengambil cahaya daripadanya untuk menjelaskan kebenaran. [Tafsir At-Tabari]
Imam Ibn Ajibah r.a. menafsirkan juga cahaya daripada Allah s.w.t. sebagai Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian, beliau menjelaskan:
فالولي نور من نور الله، وسر من أسراره، يُخرج به من سبقت له العناية من ظلمات الحجاب إلى نور الشهود، ويهدي به من اصطفاه لحضرته تعالى طريق الوصول إليه.
Maksudnya:
Adapun seorang wali itu adalah cahaya daripada cahaya Allah (juga). Begitu juga dia adalah rahsia daripada rahsia-rahsia Allah s.w.t. yang mana Allah s.w.t. mengeluarkan dengan cahaya tersebut sesiapa yang telah ditetapkan bantuan Allah s.w.t. kepadaNya sejak azali, daripada kegelapan hijab kepada cahaya penyaksian lalu memberi hidayah kepada orang yang telah dipilihnya menuju hadrahNya dengan jalan yang dapat sampai kepadaNya. [Al-Bahr Al-Madid]
Maka, dengan maksud ini jugalah bererti Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya dan penghulu segala cahaya kerana Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah penghulu para wali dan setiap para wali perlu mengikuti cahaya Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Maka, Imam Al-Alusi menafsirkan cahaya dalam ayat ini dengan menyebut
{ قَدْ جَاءكُمْ مّنَ ٱللَّهِ نُورٌ } عظيم وهو نور الأنوار والنبـي المختار صلى الله عليه وسلم، وإلى هذا ذهب قتادة واختاره الزجاج
Maksudnya: “Telah datang kepada kamu daripada Allah cahaya…” iaitu cahaya yang agung iaitulah cahaya segala cahaya dan ia adalah Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang terpilih. Inilah pendapat Qatadah dan dipilih oleh Az-Zujaj. [Ruh Al-Ma’ani]
Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menegaskan lagi hakikat Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai cahaya yang menerangi kegelapan dalam firmanNya yang bermaksud:
“…Dan, untuk jadi penyeru kepada agama Allah, dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.” [Surah Al-Ahzab: 46].
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Adalah Cahaya Secara Hissi dan Maknawi
Sheikhuna Al-Allamah Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah berkata dalam kitab Al-Bayan:-
“Nabi Muhamad -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya dan sinar yang menerangi.
Dan tidak mengapa, jika anda mengatakan bahawa Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya selagimana Allah s.w.t. menyatakan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- dengan sifat itu dan menyebutnya cahaya.
Terdapat keterangan yang kuat di dalam hadis bahawa para Sahabat r.a mengatakan:
(( إن وجهه صلى الله عليه وسلم كالقمر )) رواه النسائ و الطبراني.
“Sesungguhnya wajahnya -shollallahu ‘alaihi wasallam- seperti rembulan.”
[Hadith riwayat An-Nasa’i, As-Sunnan Al-Kubra, vol. 5, hlm. 187, dan vol. 6, hlm. 155; Thabrani, Al-Mu’jam Al-Kabir, vol. 10, hlm. 147; dan Al-Hafizh Ibnu Hajar juga mengemukakan di dalam Al-Ishaabah, vol 6, hlm. 180.]
Dan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- sendiri telah menyampaikan bahawa ketika ibunya sedang mengandungkannya, “Dia (ibu Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-) melihat cahaya yang menerangi istana-istana Bushra di negeri Syam.”
[Ia diriwayatkan oleh Imam At-Thabari, Tarikh Ath-Thabari, vol. I, hlm. 458; Ibnu Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyah, vol. 1, hlm. 302; dan Abu Na’im, Hilyah Al-Awliya, vol. 10, hlm. 374.]
Para Sahabat r.a. memberitakan bahawa “Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- ketika memasuki kota Madinah, segala sesuatu bersinar terang darinya; dan ketika Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- wafat, segala sesuatu di sana gelap.”
[Hadith riwayat Imam Ahmad, Musnad Ahmad, vol. 3, hlm. 268; Imam At-Tirmizi, Sunan Tirmizi, vol. 5, 588; Imam Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, vol. I, hlm. 522; dan Ibnu Hibban, Sohih Ibnu Hibban, vol. 14, hlm. 601.]
Selain itu, masih banyak hadith dan atsar (pendapat Sahabat r.a) yang menerangkan bahawa Nabi Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya. Dan tidak sepatutnya kita menafikan bahawa cahaya tersebut adalah dalam bentuk fizikal kerana tidak ada yang bertentangan pada kenyataan bahawa Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersifat menerangi dan mempunyai cahaya yang berbentuk material (kebendaan) itu dengan prinsip dasar akidah. Sebagaimana hal itu tidak bertentangan dengan tabiat kemanusiaannya yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
Perkara yang dilarang adalah menafikan kemanusiaan dari diri Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- kerana menyalahi keterangan yang jelas di dalam Al-Quran. Allah s.w.t. berfirman:
“Katakanlah (hai Muhammad): Sesungguhnya aku manusia biasa sepertimana kamu, yang diwahyukan kepadaku....” [Surah Al-Khafi: 110].
Maka jalan selamat dalam masalah tersebut adalah kita menetapkan apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. pada diri Nabi-Nya, Nabi Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Dengan demikian, kita menetapkan bahawa Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya dan menerangi, sentiasa demikian, dan bahawa Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah manusia tanpa memperincikan dan membuat sebarang andaian.
Dan menetapkan cahaya fizikal bagi Nabi Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- itu tidak bertentangan dengan kenyataan bahawa Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah manusia. Rembulan misalnya, tabiat sebenarnya adalah bebatuan dan bersama itu ia juga mempunyai cahaya fizikal. Dan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- lebih baik dari bulan dan lebih baik dari seluruh makhluk Allah s.w.t..” –tamat nukilan-
Benarlah kata sya’ir:-
كملت محاسنه فلو أهدى السنا # للبدر عند تـمامه لم يخسـف
وعلـى تفنن واصفيه بوصـفه # يفنى الزمان و فيه ما لم يوصف
Maksudnya:
Sungguh sempurna sifat-sifat keluhurannya yang mana andai dia menghadiahkan cahaya,
Kepada bulan purnama, pasti takkan pernah bulan itu tertutup oleh gerhana.
Biarpun pelbagai cara dan gaya manusia menyifati Baginda,
Sehingga binasa zaman dan isinya namun,
masih banyak sifat Baginda yang belum disebutkan.
Sebagaimana Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah cahaya secara hissi (lahir) dan maknawi, maka sebegitu juga keindahan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- berbentuk hissi atau lahiriyyah dan maknawi atau sifat dan akhlak Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Antara keindahan maknawi Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- (yang pada hakikatnya tidak dapat diliputi oleh manusia lain) adalah seperti sifat rahmat, sifat belas kasihan dan segenap sifat-sifat kemuliaan yang lain.
Sesungguhnya Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Mempunyai Akhlak yang Agung
Allah s.w.t. berfirman:
وَإنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
Maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. [Surah Al-Qalam: 4]
Imam Athiyyah r.a. berkata:
أدب القرآن
Maksudnya: “Akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adalah adab Al-Qur’an” [riwayat At-Tabari dalam tafsirnya]
Imam Al-Junaid r.a. berkata
سُمِّيَ خلقه عظيماً لأنه لم تكن له همة سوى الله تعالى
Maksudnya: Dinamakan akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai akhlak yang agung kerana tiada yang menjadi keinginan (semangat) dan kehendak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam melainkan Allah” [riwayat Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya]
Ada sebuah hadith yang diriwayatkan dalam tafsir At-Tabari daripada Imam Qatadah yang menyebut:
سألت عائشة عن خُلُق رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقالت: كان خلقه القرآن
Maksudnya:
Saidatina Aisyah r.a. ditanya tentang akhlak Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam lalu beliau r.a. menjawab: “Akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adalah Al-Qur’an”. [Hadith ini diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya]
Imam At-Tabari meriwayatkan lagi suatu hadith juga daripada Qatadah juga yang hampir sama iaitu:
ذُكر لنا أن سعيد بن هشام سأل عائشة عن خُلُق رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالت: ألست تقرأ القرآن؟ قال: قلت: بلى، قالت: فإن خُلُق رسول الله صلى الله عليه وسلم كان القرآن.
Maksudnya:
Disebutkan kepada kami bahawasanya Sa’id bin Hisyam bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam lalu Saidatina Aisyah r.a. bertanya kembali: “Tidakkah kamu membaca Al-Qur’an?”. Beliau berkata: “Saya membaca Al-Qur’an”. Lalu Saidatina Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adalah Al-Qur’an”.
Lihat bagaimana Saidatina Aisyah r.a. mengungkapkan keagungan akhlak Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai Al-Qur’an yang merupakan kalam Allah. Ini menunjukkan kesempurnaan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam adalah suatu simbol dan tanda kepada sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t..
Tiada pujian yang lebih agung daripada pujian Allah s.w.t. terhadap akhlak dan sifat Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang disebutkan sendiri dalam Al-Qur’an iaitulah akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam suatu akhlak yang agung.
Dalam sebuah hadith yang lain, Saidatina Shafiyyah binti Huyaiy r.a. berkata:
" مَا رَأَيْت أَحَدًا أَحْسَن خُلُقًا مِنْ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "
Maksudnya:
Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih indah akhlaknya berbanding Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.
[hadith riwayat Imam At-Tabrani dan dikeluarkan oleh Imam Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari dalam mensyarahkan hadith no: 3295]
Imam Fakhruddin Al-Razi r.a. berkata:
فلم يبق للإنسان بعد هاتين القوتين شيء، فدل مجموع هاتين الآيتين على أن روحه فيما بين الأرواح البشرية كانت عظيمة عالية الدرجة، كأنها لقوتها وشدة كمالها كانت من جنس أرواح الملائكة.
Maksudnya:
Tidak ada lagi tersisa bagi seorang manusia setelah kedua-dua kekuatan ini (ilmu dan akhlak sebagaimana dalam Surah An-Nisa’: 113 dan Surah Al-Qalam ayat ke-4 yang dibincangkan ini). Maka, kedua-dua ayat ini (Surah An-Nisa’: 113 dan Surah Al-Qalam: 4) secara terhimpunnya menunjukkan bahawasanya roh Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam antara roh-roh manusia yang lain, maka ia (roh Nabi) adalah suatu roh yang agung dan tinggi darjatnya, kerana kekuatan rohaninya dan keagungan kesempurnaannya daripada jenis rohani malaikat (yang terpelihara daripada dosa). [Mafatih Al-Ghaib]
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang insan yang sempurna lagi menyempurnakan. Oleh sebab itulah, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dapat mendidik sebaik-baik generasi iaitulah generasi para sahabat r.a..
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إنما بُعِثْت لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak yang baik. [hadith riwayat Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Al-Hakim]
Ini menunjukkan bahawasanya, seseorang murobbi seharusnya sudah sempurna akhlak mereka sebagaimana para sahabat r.a. yang mentarbiah generasi tabi’in setelahmana mereka ditarbiah oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dan setelah akhlak mereka disempurnakan oleh penghulu segala murobbi iaitulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.
Mereka yang mewarisi akhlak Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bererti telah mewarisi cahaya keindahan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dalam bentuk maknawi. Mereka ini dikenali sebagai Wurrath Muhammad atau pewaris Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam Sebagai Rahmat
Allah s.w.t. berfirman:
وَما أرْسَلْناكَ إلاَّ رَحْمَةً للْعَالَـمِينَ
Maksudnya:
“Tidak Aku utuskan Dikau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat seluruh alam” [Surah Al-Anbiya: 107]
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasalam- bersabda:
إِنَّ اللَّهَ بَعَثَنِي رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah mengutuskan aku sebagai rahmat buat sekalian alam dan petunjuk bagi sekalian alam [Hadith riwayat Imam Ahmad no: 21275]
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda lagi:
وإنما بعثني رحمة للعالمين
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah mengutuskanku sebagai rahmat buat alam ini”
[Hadith riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan no: 4040 dan Imam Ahmad dalam Musnadnya no: 22593]
Bahkan, ketika Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- masih remaja, tanda-tanda Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai seorang rasul pembawa rahmat dapat dikesan oleh seorang rahib Yahudi. Ketika Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam mengikuti bapa saudaranya Abu Thalib berdagang di Syam, dalam perjalanan tersebut, rombongan itu bertemu dengan seorang rahib.
Lalu, rahib tersebut mengambil tangan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam seraya berkata:
هذا سيد العالمين هذا رسول رب العالمين يبعثه الله رحمة للعالمين
Maksudnya:
“Beliau ini adalah penghulu kepada seluruh alam. Pemuda ini adalah seorang rasul bagi Tuhan sekalian alam yang mana Allah akan utuskan Baginda sebagai rahmat buat alam ini”. [hadith riwayat Imam At-Tirmizi dalam Sunannya no: 3553]
Hadith ini menceritakan keistimewaan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sejak Baginda masih lagi seorang remaja dan belum lagi dilantik secara rasmi sebagai seorang rasul. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak yang jahil yang mengatakan bahawasanya keistimewaan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah setelah Baginda ditabalkan menjadi Rasul iaitu setelah berusia empat puluh tahun.
Ia tertolak dengan sejumlah hadith-hadith yang menetapkan keistimewaan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebelum itu lagi termasuklah sejak kelahiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- lagi dan setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Dalam hadith yang disebutkan tadi juga, menurut rahib tersebut, di antara tanda di mana dia mengetahui Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah seorang rasul walaupun belum dilantik secara rasmi, adalah tatkala melihat pohon dan batu bersujud kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- dan menurut rahib tersebut, kedua-duanya (pohon dan batu) tidak bersujud sebagai tanda hormat melainkan kepada seorang nabi.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai Nabi Rahmat
Dalam suatu peristiwa, diriwayatkan daripada Uthman bin Hunaif bahawasanya beliau berkata:
أن رجلا ضرير البصر أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال ادع الله أن يعافيني قال إن شئت دعوت وإن شئت صبرت فهو خير لك قال فادعه قال فأمره أن يتوضأ فيحسن وضوءه ويدعو بهذا الدعاء اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد نبي الرحمة إني توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى لي اللهم فشفعه فيّ
Maksudnya:
“Seorang lelaki yang rosak penglihatannya (buta) datang kepada Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam lalu beliau berkata:
“Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkanku”.
Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- menjawab:
“Jika kamu mahu, aku doakan. Sekiranya kamu mahu bersabar, kamu bersabarlah. Maka itu lebih baik bagimu.”
Dia berkata, “Doakanlah kepada Allah s.w.t.”.
Lalu Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- memerintahkan kepadanya untuk berwudhuk, benar-benar dalam melakukan wudhuk dan berdoa dengan doa ini (iaitu):-
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh (menghadapkan diri) kepadaMu dengan Nabi kami, Nabi rahmat. Aku bertawajjuh denganmu (sebagai wasilah) kepada Tuhanku pada hajatku ini semoga diperkenankan untukku. Ya Allah, berilah syafaat dengannya padaku.”
[Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, dan sebagainya]
Dalam hadith ini menceritakan bahawasanya Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- merupakan Nabi rahmat dan menjadi tempat mereka yang mempunyai masalah datang mengadu kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- untuk meminta petunjuk dan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan bantuan Allah s.w.t..
Bahkan, hadith ini juga menjelaskan betapa Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- merupakan syafaat kepada orang-orang beriman di hadapan Allah s.w.t. kerana inilah yang diajarkan sendiri oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dalam hadith ini. Hal ini sering menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah orang yang jahil kerana menganggap menjadikan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai wasilah atau syafaat di sisi Allah s.w.t. merupakan suatu kesyirikan.
Sheikh Al-Mubarakfuri dalam Tuhfahnya mensyarahkan hadith ini dengan berkata:
لَكِنْ فِي جَعْلِهِ شَفِيعًا لَهُ وَوَسِيلَةً فِي اِسْتِجَابَةِ الدُّعَاءِ مَا يُفْهَمُ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرِيكٌ فِيهِ
Maksudnya:
“Akan tetapi, pada menjadikan diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai syafi’ (pemberi syafaat) baginya (di sisi Allah) dan wasilah kepada istijabah Ad-Du’a (perkenannya doa) tidak difahami daripadanya bahawa Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- merupakan sekutu padaNya (Allah atau pada perkenan tersebut)”.
Hanya orang-orang yang jahil tentang mafhum syirik dalam neraca Islam sahaja menganggap wasilah atau syafaat sebagai syirik padahal tidak begitu. Oleh sebab itulah, adanya konsep tawassul dalam Islam selagimana kerangka tawassul tersebut menepati ajaran Islam.
Dalam lafaz yang diriwayatkan Imam An-Nasa’ie (dan Ahmad) berbunyi:
اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بمحمد نبي الرحمة يا محمد إني قد توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى اللهم شفعه في
Maksudnya:
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh (menghadapkan diri) kepadaMu dengan Nabi kami, Nabi rahmat. Wahai Muhammad (shollallahu ‘alaihi wasallam), aku bertawajjuh denganmu (sebagai wasilah) kepada Tuhanku pada hajatku ini semoga diperkenankan untukku. Ya ALlah, berilah syafaat baginya padaku.” [Hadith riwayat Imam An-Nasa’ie no: 1375]
Imam As-Sindi mensyarahkan perkataan “Wahai Muhammad” dengan berkata:
فِيهِ جَوَاز النِّدَاء بِاسْمِهِ فِي مَقَام التَّشَفُّع بِهِ لِأَنَّ الْمَقَام يُؤَدِّي مِنْ التَّعْظِيم مَا يُؤَدِّي بِهِ ذِكْره بِالْقَلْبِ وَفِيهِ أَنَّ إِحْضَاره فِي أَثْنَاء الدُّعَاء وَالْخِطَاب مَعَهُ فِيهِ جَائِز
Maksudnya:
“Padanya menunjukkan bolehnya memanggil nama Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan meminta syafaat dengannya kerana pada hal tersebut membawa daripada rasa mengagungkan (Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam) kepada mengingati Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dengan hati. Dalam petunjuk hadith ini juga menunjukkan bahawa menghadirkan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam ketika berdoa dan berbicara kepada Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pada doa tersebut juga diharuskan…” [Syarah Sunan Ibn Majah oleh Imam As-Sindi pada hadith tersebut]
Berdasarkan hadith dan penjelasan Imam As-Sindi terhadap hadith ini, menjelaskan betapa seseorang itu menjaga hubungan dirinya dengan Saidina Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dengan suatu hubungan yang hidup yang merasai kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Hadith ini juga menjelaskan betapa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sangat menyayangi umat Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam sehingga sudi membantu mereka yang memperlukan bantuan dengan bantuan Allah s.w.t..
Rahmat buat Seluruh Alam
Para ulama’ berselisih pendapat dalam menafsirkan ayat ke-107 daripada Surah Al-Anbiya’ tersebut berkenaan dengan “rahmat” Rasulullah shollallahu ‘alaih wasallam kepada alam tersebut.
Adakah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai rahmat buat seluruh alam yang merangkumi orang-orang beriman dan orang-orang kafir sekaligus atau sekadar untuk orang-orang beriman sahaja.
Pendapat Pertama: Rahmat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam Adalah Merangkumi Orang-orang Beriman dan Orang-orang Kafir
Imam At-Tabari meriwayatkan pendapat pertama ini dariapda sebahagian penafsiran ulama’ salaf antaranya tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. yang berkata
من آمن بـالله والـيوم الآخر كُتب له الرحمة فـي الدنـيا والآخرة، ومن لـم يؤمن بـالله ورسوله عُوفِـيَ مـما أصاب الأمـم من الـخَسْف والقذف.
Maksudnya:
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat akan diberi rahmat samada di dunia mahupun di akhirat. Adapun orang yang tidak beriman kepada Allah dan rasulNya akan dilepaskan daripada apa yang menimpa umat-umat terdahulu daripada siksaan dunia. [rujuk tafsir At-Tabari pada ayat ini]
Pendapat Kedua: Rahmat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kepada Orang-orang Beriman Secara Khusus
Pendapat ini juga diriwayatkan oleh Imam At-Tabari r.a. daripada beberapa ulama’.
Kesimpulan
Namun, Imam At-Tabari membuat kesimpulan dengan berkata:
وأولـى القولـين فـي ذلك بـالصواب القول الذي رُوي عن ابن عبـاس، وهو أن الله أرسل نبـيه مـحمداً صلى الله عليه وسلم رحمة لـجميع العالـم، مؤمنهم وكافرهم. فأما مؤمنهم فإن الله هداه به، وأدخـله بـالإيـمان به وبـالعمل بـما جاء من عند الله الـجنة. وأما كافرهم فإنه دفع به عنه عاجل البلاء الذي كان ينزل بـالأمـم الـمكذّبة رسلها من قبله.
Maksudnya:
Perkataan yang lebih utama kepada kebenaran adalah perkataan yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a. yang berkata bahawasanya Allah s.w.t. mengutuskan Nabi-Nya Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai rahmat bagi seluruh alam samada orang kafir mahupun orang Islam.
Adapun orang-orang beriman, maka Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam lalu Allah s.w.t. memasukkannya (orang beriman) dengan iman kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dan dengan beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah ke dalam syurga.
Adapun orang kafir, maka tertegah dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam akan bala yang menimpa di dunia sebagaimana umat-umat terdahulu yang mendustai para rasul mereka. [Tafsir At-Tabari]
Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu:
قال أبو هريرة رضي الله عنه: قيل يا رسول الله ادع على المشركين قال: إني لم أبعث لعانا وإنما بعثت رحمة
Maksudnya:
Saidina Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya, dikatakan kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-: “berdoalah keburukan ke atas musyrikin”. Lalu, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- menjawab: “Saya tidak diutuskan sebagai penglaknat, akan tetapi diutuskan sebagai rahmat”. [Sahih Muslim no: 4704]
Terlalu indahnya akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam kepada sesama manusia termasuklah kepada orang kafir sendiri apa lagi kepada sesama muslimin. Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak sanggup mendoakan keburukan dan kebinasaan ke atas orang-orang kafir yang memusuhi Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, apatah lagi kepada sesama mulimin. Lihatlah sahaja Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang sentiasa berakhlak mulia dan sangat mengasihi sesama manusia dengan kasih yang sangat luas dan menunjukkan juga betapa Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai rahmat buat seluruh manusia.
Imam Fakhrudddin Al-Razi menjelaskan bahawasanya, kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai rahmat dalam bidang keagamaan dan dalam bidang keduniaan. Ini kerana, dalam bidang keagamaan, sebelum kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-, manusia berada dalam kesesatan. Lalu, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- hadir membawa petunjuk kepada kebenaran.
Dalam bidang keduniaan pula, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- menjadi pendamai antara beberapa golongan yang sering bermusuhan dan berperang dan menjadi pentadbir yang memakmurkan alam ini.
Maka, jelaslah betapa Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai suatu rahmat yang mutlak dan umum di samping pembawa petunjuk Allah s.w.t. kepada makhluk-makhlukNya. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يا أيها الناس إنما أنا رحمة مهداة
Maksudnya:
Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya aku adalah rahmat dan pemberi petunjuk
[Hadith riwayat Imam Ad-Darimi no: 15 dan Imam Al-Baihaqi dalam Dala’il An-Nubuwwah]
Rahmat Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga untuk di dunia dengan syariat dan akhlak Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan di akhirat dengan syafaat, telaga Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan sebagainya.
Maka, ramai para ulama’ menegaskan betapa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam diutuskan sebagai rahmat yang umum kepada seluruh alam. Sebahagian mereka menegaskan bahawasanya malaikat juga mendapat rahmat dengan terutusnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan, sebahagian ulama’ menegaskan betapa kerasulan dan kenabian Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai asas kebaikan alam ini.
Imam Al-Alusi meriwayatkan dalam kitab Ruh Al-Ma’ani pada tafsir ayat ini dengan berkata:
في ))مفتاح السعادة((لابن القيم أنه لولا النبوات لم يكن في العالم علم نافع البتة ولا عمل صالح ولا صلاح في معيشة ولا قوام لمملكة ولكان الناس بمنزلة البهائم والسباع العادية والكلاب الضارية التي يعدو بعضها على بعض، وكل خير في العالم فمن آثار النبوة وكل شر وقع في العالم أو سيقع فبسبب خفاء آثار النبوة ودروسها فالعالم جسد روحه النبوة ولا قيام للجسد بدون روحه،
Maksudnya:
“Dalam Miftah As-Sa’adah karangan Ibn Al-Qayyim bahawasanya beliau berkata: “Kalau bukan kerana kenabian, maka tiadalah ilmu bermanfaat dalam alam ini, tiada amal soleh, tiada kebaikan dalam urusan kehidupan dan tiadalah teguh kerajaan (negara yang didiami oleh manusia), dan sudah semestinya manusia berada pada darjat binatang dan haiwan buas serta anjing yang menyakitkan yang saling bermusuhan sesama mereka. Setiap kebaikan dalam alam ini maka ianya daripada kesan-kesan kenabian dan segala keburukan dalam alam ini atau yang bakal berlaku adalah disebabkan tersembunyinya kesan kenabian dan terkuburnya ia. Maka, alam adalah jasad sedangkan ruh adalah kenabian. Maka, tiada teguh berdirinya jasad tanpa roh. [Tafsir Al-Alusi dalam ayat ini]
Rahmat yang Umum
Imam Mutawalli As-Sya’rawi berkata:
ومعنى: العالمين، كُلُّ ما سوى الله عز وجل: عالم الملائكة، وعالم الجن، وعالم الإنس، وعالم الجماد، وعالم الحيوان، وعالم النبات. لكن كيف تكون رسالة محمد صلى الله عليه وسلم رحمةً لهم جميعاً؟
قالوا: نعم، رحمة للملائكة فجبريل - عليه السلام - كان يخشى العاقبة حتى نزل على محمد قوله تعالى:
{ ذِي قُوَّةٍ عِندَ ذِي ٱلْعَرْشِ مَكِينٍ }التكوير: 20] فاطمأن جبريل عليه السلام وأَمِن.
ورسول الله صلى الله عليه وسلم رحمة للجماد؛ لأنه أمرنا بإماطة الأذى عن الطريق. وهو رحمة بالحيوان. وفي الحديث الشريف: " ما من مسلم يزرع زَرْعاً، أو يغرس غَرْساً فيأكلَ منه طيْرٌ أو إنسان أو بهيمة، إلا كان له به صدقة ".
وحديث المرأة التي دخلتْ النار في هِرَّة حبستْها، فلا هي أطعمتْها وسقتْها، ولا هي تركتها تأكل من خَشَاش الأرض.
وحديث الرجل الذي دخل الجنة؛ لأنه سقى كلباً كان يلهث يأكل الثرى من شدة العطش، فنزل الرجل البئر وملأ خُفَّه فسقى الكلب، فشكر الله له وغفر له، لأنه نزل البئر وليس معه إناء يملأ به الماء، فاحتال للأمر، واجتهد ليسقي الكلب.
وهكذا نالتْ رحمة الإسلام الحيوان والطير والإنسان، ففي الدين مبدأ ومنهج يُنظِّم كل شيء ولا يترك صغيرة ولا كبيرة في حياة الناس؛ لذلك فهو رحمة للعالمين
Maksudnya:
Makna Alamin di sini iaitulah seluruh selain Allah s.w.t., iaitu: Alam Malaikat, alam Jin, alam Manusia, alam benda-benda, alam haiwan dan alam tumbuh-tumbuhan. Akan tetapi, bagaimana risalah Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- menjadi rahmat kepada seluruhnya?
Mereka berkata: Benar. Rahmat buat Malaikat juga. Ini kerana Jibril a.s. sangat takut akan hari kesudahan iaitulah hari Akhirat sehinggalah Allah s.w.t. menurunkan sebuah ayat pada surah At-Takwir, ayat ke-20 lalu Jibril a.s. menjadi tenang dengan ayat tersebut.
Begitu juga Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai rahmat buat benda-benda kerana Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- menyuruh kita mengangkat perkara-perkara yang menyakitkan daripada jalanan. Bahkan, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga merupakan rahmat kepada haiwan kerana dalam hadith yang mulia ada menyebut: “Tiada seorang muslim yang menaman tanaman atau menabur benih tanaman, lalu ia dimakan oleh burung, manusia atau binatang, melainkan baginya daripada tanaman tersebut akan sedekah”.
Begitu juga hadith seorang wanita masuk neraka kerana mengurung seekor kucing lalu tidak pula memberi makan, minum dan tidak juga membebaskannya untuk mencari makanan sendiri. Begitu juga seorang pemuda yang masuk syurga kerana memberi minum seekor anjing yang meminta air daripadanya yang sedang sangat dahaga, bahkan lelaki itu sanggung turun ke dalam perigi lalu memenuhkan kasutnya dengan air untuk memberi minum kepada anjing tersebut. Allah s.w.t. menghargai perbuatan tersebut dan mengampuninya kerana sanggup turun ke dalam telaga walaupun dia tidak mempunyai sebarang bekas untuk meletakkan air kedalamnya, lalu dia membuat andaian dan berusaha juga untuk memberi minum anjing tersebut (walaupun dengan menggunakan kasutnya).
Begitulah haiwan, burung dan manusia semuanya mendapat rahmat Islam. Maka, pada agama, ada asas dan manhaj yang menyusun segala sesuatu dan tidak membiarkan walau sekecil-kecil perkara apatah lagi sebesar-besarnya, dalam kehidupan manusia (tanpa petunjuk murni), maka oleh kerana itulah, ia sebagai rahmat buat seluruh alam. [Tafsir Khawatir Muhammad Mutawalli As-Sya’rawi]
Rahmat dan Perhiasan bagi Alam
Seorang ulama’ besar bernama Imam Al-Isybili berkata tentang rahmat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam:
زين الله محمداً صلى الله عليه وسلم بزينة الرحمة فكان كونه رحمة وجميع شمائله رحمة وصفاته رحمة على الخلق
Maksudnya:
Allah memperhiasi Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam dengan perhiasan rahmat. Sesungguhnya kejadian Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat. Seluruh Syamail Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adlah rahmat dan sifat-sifat Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat ke atas para makhluk. [Tafsir At-Tahrir wa At-Tanwir oleh Imam Ibn ‘Asyur, pada ayat ke-107, Surah Al-Anbiya’]
Kemuncak Rahmat yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
Imam Ibn ‘Ajibah r.a. berkata dalam Al-Bahr Al-Madid dalam menafsirkan ayat tersebut dengan berkata:
ثم إن غاية الرحمة: الوصول إلى التوحيد الخاص؛ لأنه سبب الزلفى من الله والاختصاص، ولذلك أمره به، بعد أن جعله رحمة
Maksudnya:
Kemudian, adapun penghujung atau kemuncak rahmat itu sendiri adalah wusul (sampai) kepada tauhid khusus (menyaksikan Allah s.w.t. dengan mata hati atau ihsan) kerana ianya merupakan sebab mendekatkan seseorang kepada Allah s.w.t. dan menjadi ahli khusus di sisiNya. Oleh sebab itulah, Allah s.w.t. menyeru kepada tauhid tersebut setelah menjadikan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai rahmat”. [Al-Bahr Al-Madid]
Bergembiralah dengan Kehadiran Rahmat Allah dan AnugerahNya
Allah s.w.t. berfirman:
قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya:
Katakanlah: “Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan itu hendaklah mereka bergembira. (Kurnia Allah dan rahmatNya) itu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” [Surah Yunus: 58]
Imam As-Suyuti meriwayatkan:
وأخرج أبو الشيخ عن ابن عباس رضي الله عنهما في الآية قال: فضل الله العلم، ورحمته محمد صلى الله عليه وسلم
Maksudnya:
Abu As-Syeikh meriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a. tentang tafsiran ayat ini:
“Kurniaan Allah adalah Ilmu dan rahmat-Nya adalah (Saidina) Muhammad Shollallahu ‘alaihi wasallam”
[rujuk Ad-Durr Al-Manthur oleh Imam As-Suyuti. Ia juga diriwayatkan dalam Al-Bahr Al-Muhith oleh Imam Abu Hayyan.]
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.:
وَمَا أرْسَلنَاكَ إلا رَحْمَةً لِلعَالمِين
Maksudnya:
“Tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam) melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam” [Surah Al-Anbiya’: 107]
Dalam riwayat lain, Imam As-Suyuti menukilkan tafsir Saidina Ibn Abbas r.a. yang lain:
وأخرج الخطيب وابن عساكر عن ابن عباس رضي الله عنهما { قل بفضل الله } قال: النبي صلى الله عليه وسلم، { وبرحمته } قال: علي بن أبي طالب رضي الله عنه.
Maksudnya:
Imam Al-Khatib dan Al-Hafiz Ibn Asakir r.a. meriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a.:
((Katakanlah dengan kurniaan Allah…)), beliau berkata: (Kurnia Allah) ialah (Saidina) Nabi (Muhammad) shollallahu ‘alaihi wasallam,
sedangkan ((…dan rahmatNya…)), beliau berkata: (rahmat-Nya) ialah (Saidina) Ali r.a..
[ Rujuk Ad-Durr Al-Manthur dan Ruh Al-Ma’ani oleh Imam Al-Alusi]
Jadi, dalam suatu riwayat, Fadhl Allah (anugerah atau kurnia Allah) adalah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan dalam satu riwayat yang lain, rahmat Allah adalah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.
Apa yang penting adalah, ayat ini menggalakkan kita menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran dan kehadiran Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai rahmat dan anugerah Allah s.w.t..
Rahsia Puasa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Isnin
Sebuah hadith ada menyebut:
وسئل عن صوم يوم الاثنين قال ذاك يوم ولدت فيه ويوم بعثت أو أنزل علي فيه
Maksudnya:
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
“Hari tersebut aku dilahirkan dan hari tersebut aku dibangkitkan menjadi Rasul atau diturunkan ke atasku (wahyu) pada hari tersebut”
[Hadith riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya no: 1977 dan Imam Ahmad dalam Musnadnya no: 21498 dan 21501]
Majlis Para Sahabat r.a. dalam Mengingati Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam sebagai Anugerah Allah s.w.t.
Dalam hadith lain ada menyebut:
إن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج على حلقة يعني من أصحابه فقال ما أجلسكم قالوا جلسنا ندعو الله ونحمده على ما هدانا لدينه ومنّ علينا بك
قال آلله ما أجلسكم إلا ذلك قالوا آلله ما أجلسنا إلا ذلك قال أما إني لم أستحلفكم تهمة لكم وإنما أتاني جبريل عليه السلام فأخبرني أن الله عز وجل يباهي بكم الملائكة
Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam pernah keluar menuju suatu halaqah (dari kalangan para sahabat) maka Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bertanya:
“Apa yang menyebabkan kamu semua duduk (berhimpun)?”
Mereka menjawab:
“Kami duduk (bersama-sama) kerana berdoa kepada Allah s.w.t., bersyukur kepadaNya terhadap hidayahNya kepada agamaNya dan mengurniakan engkau (Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam) kepada kami.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bertanya semula:
“Demi Allah, kamu semua tidak duduk melainkan kerana itu?”
Mereka menjawab:
“Demi Allah, kami tidak duduk (berhimpun) melainkan kerana itu.”
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kemudian menjawab:
“Sesungguhnya aku tidak meminta kalian bersumpah sebagai tohmah kepada kamu (untuk membebankan kamu). Tetapi, Jibril a.s. telah datang kepadaku lalu memberitahuku bahawasanya Allah s.w.t. bermegah-megahan dengan kamu semua di hadapan para malaikat.”
[Hadith riwayat Imam An-Nasa’ie dalam As-Sunan (no: 5331) dan Imam Ahmad (no: 16232) dengan lafaz ini]
Ra’uf (belas kasih) dan Rahim (sayang) bagi Orang-orang Beriman
Firman Allah s.w.t.:
لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. [Surah At-Taubah: 128]
Ayat ini menyebutkan bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam daripada golongan kamu sendiri. Imam Al-Qurtubi menyebut:
{ مِّنْ أَنفُسِكُمْ } يقتضي مدحاً لنسب النبيّ صلى الله عليه وسلم وأنه من صميم العرب وخالصها.
Maksudnya:
((daripada golongan kamu sendiri)) yang mengandungi suatu pujian bagi nasab Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam kerana Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dari keturunan Arab yang asli lagi murni” [Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an]
Maksudnya, ayat ini bukan menceritakan tentang sudut kemanusiaan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana manusia biasa, tetapi menceritakan kemuliaan Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam yang berketurunan yang mulia sebagaimana diceritakan sendiri dalam hadith Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam:
إن الله ٱصطفى كنانة من ولد إسماعيل وٱصطفى قريشاً من كنانة وٱصطفى من قريش بني هاشم وٱصطفاني من بني هاشم
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari kalangan anak Ismail. Allah memilih Quraisy daripada bangsa Kinanah. Lalu, Allah memilih dari kalangan Quraisy, Bani Hasyim. Lalu Allah memilihku daripada Bani Hasyim.”
Maksudnya, Allah s.w.t. memilih Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam daripada keturunan yang termulia dari kalangan yang termulia. Maka, ia adalah suatu pujian bagi Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.
Para ulama’ menafsirkan ayat ini dengan menjelaskan betapa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sangat meninginkan umatnya agar mengikut petunjuk dan jalan Allah dan memeluk agama Islam. Ini kerana keprihatinan Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya agar mereka tidak masuk ke dalam api neraka.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. [riwayat Bukhari dan Muslim]
Imam Fakhruddin Al-Razi menjelaskan juga maksud Aziz alaihi dengan berkata:
يشق عليه مكروهكم، وأولى المكاره بالدفع مكروه عقاب الله تعالى، وهو إنما أرسل ليدفع هذا المكروه.
Maksudnya: Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam sangat rasa berat terhadap apa yang menimpa kamu dari apa yang tidak disukai oleh kamu. Adapun kesakitan dan penderitaan yang paling utama untuk ditegah darimu adalah siksa Allah s.w.t.. Maka, Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- diutuskan untuk menegah penderitaan ini daripada umatnya. [Mafatih Al-Ghaib]
Adapun maksud Harish alaikum, maka Imam Al-Razi berkata:
المراد حريص على إيصال الخيرات إليكم في الدنيا والآخرة.
Maksudnya: Maksud sangat inginkan di sini adalah agar kebaikan sampai kepada kamu (umat Baginda) samada di dunia mahupun di akhirat. [ibid]
Ada sebuah hadith turut menjelaskan keprihatinan dan kasih Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya:-
لما تلا قول الله عز وجل في إبراهيم)) رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ((وقول عيسى عليه السلام)) إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ((فرفع يديه وقال : اللهم أمتي أمتي وبكى ، فقال الله عز وجل : يا جبريل اذهب إلى محمد - وربك أعلم - فسله ما يبكيك ، فأتاه جبريل صلى الله عليه وسلم ، فسأله ، فأخبره رسول الله صلى الله عليه وسلم بما قال وهو أعلم ، فقال الله : يا جبريل اذهب إلى محمد فقل : إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوءك
Pada suatu ketika, Rasulullah - shollallahu ‘alaihi wasallam- membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
Kemudian Baginda -shollallahu ‘alahi wasallam- membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi -shollallahu ‘alahi wasallam- mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:
Ya Allah! Umatku! Umatku!
Lalu Allah s.w.t. berfirman kepada Jibril a.s.:
“Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad -sememangnya Allah lebih Mengetahui- tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.”
Maka Jibril as menemui Nabi -shollallahu ‘alahi wasallam-, lalu bertanya kepada Baginda - shollallahu ‘alaihi wasallam- dan Baginda - shollallahu ‘alaihi wasallam- mengkhabarkan kepada Jibril a.s. sebab tangisannya.
Maka Allah berfirman kepada Jibril a.s.:
“Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.”
[Hadith riwayat Imam Muslim]
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi - shollallahu ‘alaihi wasallam- terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda - shollallahu ‘alaihi wasallam- menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. [Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi 2/438]
Berdasarkan keprihatinan Rasulullah -shollallahu ‘alahi wasallam- ini, lalu Allah s.w.t. memberikan dua nama daripada nama-namaNya yang indah kepada Rasulullah shollallahu ‘alahi wasllam sebagaimana disebutkan dalam ayat ini iaitu Ar-Ra’uf dan Ar-Rahim.
Imam Fakhruddin Al-Razi menyebut:
قوله: { بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ } قال ابن عباس رضي الله عنهما: سماه الله تعالى باسمين من أسمائه.
Maksudnya:
Adapun pada firmanNya: “dengan orang-orang beriman, Baginda Rauf (belas kasihan) dan Rahim (kasih sayang)…” maka Ibn Abbas r.a. berkata: “Allah s.w.t. menamakan Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam dengan dua daripada nama-namaNya. [Mafatih Al-Ghaib]
bersambung...