
Penjelasan Ringkas:
Tentang Perkataan Saidina Ibn Abbas (r.a.)
((الكرسي موضع القدمين))
Pendahuluan
Sebahagian Mujassimah menisbahkan tafsiran “Al-Kursi sebagai tempat letak kaki Allah” kepada Saidina Ibn Abbas r.a.. Lalu, mereka menggunakan perkataan tersebut untuk menetapkan kelaziman-kelaziman jisim kepada Allah s.w.t. seperti “berkaki” dan “bertempat”. Padahal, bukan sahaja kedudukan perkataan tersebut sekadar berbentuk Mauquf (terhenti kepada sahabat r.a.) dan Ahaad yang tidak dijadikan hujah asas dalam masalah aqidah, ianya juga berbentuk Mutasyabihat yang tidak boleh difahami dengan makna zahir. Lebih-lebih lagi, walaupun riwayat-riwayat samada daripada Saidina Ibn Abbas r.a. mahupun Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. tersebut diterima (sedangkan sanad-sanad riwayat tersebut tidak kuat juga, bahkan menyalahi dalil-dalil yang lebih qat’ie), maka ianya tidak menyebut langsung perkataan tempat letaknya kaki Allah iaitu dengan penambahan lafaz Allah s.w.t.. Ia sekadar menyebut:
الكرسي موضع القدمين
maksudnya: “Al-Kursi, tempat dua kaki”, secara umum. Oleh sebab itulah, sebahagian ulama’ bertoleransi dalam perkatan ini lalu menjelaskan bahawa, ia kembali kepada perbahasan Al-Kursi dari sudut bahasa semata-mata, bukan tafsiran sebenar bagi Al-Kursi ketika dinisbahkan kepada Allah s.w.t..
Hal ini sangat jelas sebagaimana dalam kitab-kitab Tafsir yang muktabar, di mana, perkataan yang dinisbahkan kepada Saidina Ibn Abbas r.a. tidak dijadikan tafsiran bagi kalimah Al-Kursi dalam surah Al-Baqarah ayat ke-255 (iaitulah Ayat Al-Kursi). Ini menunjukkan bahawa, sebahagian Mufassirin tidak mengira perkataan ini sebagai tafsiran bagi lafaz Al-Kursi dalam konteks ayat Al-Kursi tersebut kerana tidak selayaknya maksud itu secara zahir dinisbahkan kepada Allah s.w.t..
Walaupun sebahagian ulama’ lain seperti Imam Ibn Jarir At-Tabari menyebut riwayat ini dalam tafsirannya, tetapi tidak pula menguatkan pendapat ini tetapi menguatkan tafsiran lain yang juga dinisbahkan kepada Saidina Ibn Abbas r.a. yang mana ianya mempunyai sanad yang kuat dan bertepatan dengan ajaran murni Islam.
Sebahagian ulama’ juga menilai jalan-jalan periwayatan perkataan tersebut sehingga akhirnya membongkar kepincangan atau kekeliruan di dalam jalan-jalan tersebut, sebagaimana disentuh secara umum oleh Al-Muhaddith Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari di dalam kitab beliau Fath Al-Mu’in dan Sheikh Hasan As-Saqqaf di dalam buku beliau yang berjudul I’lam Ath-Thaqalain.
Permulaan Perbincangan: Perkataan Al-Muhaddith Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari r.a. tentang Perkataan Ini
Al-Allamah Al-Muhadddith Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari r.a. menjelaskan hal ini dengan berkata:
Riwayat ini (Al-Kursi sebagai tempat letak kaki) daripada Abu Musa r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Jarir At-Tabari dalam tafsirnya. Begitu juga dinisbahkan kepada As-Sa’di. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dalam kitab Ad-Da’awat dalam Sunannya no: 70. Adapun berkenaan sanadnya, maka para ulama’ berbincang dan meperkatakan tentang sanadnya. Begitu juga Ibn Khuzaimah meriwayatkan dengan sanad yang dhaif. Maka, di sisiku, ianya tidak thabit sedangkan golongan Hasyawiyyah berhujah dengannya, maka berwaspadalah.
Hadith-hadith Mauquf dan Maqtu’ tidak dijadikan hujah (asas) dalam masalah fiqh, bagaimana penulis ini (Al-Harawi) berhujah dalam masalah aqidah?” [Fath Al-Mu’in: 28-32]
Komen Imam As-Suyuti r.a.: Ianya Adalah Kiasan
Imam As-Suyuti r.a. menjelaskan makna perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. (jika diterima riwayat sekalipun) dengan berkata:
“Ianya sekadar dalam bentuk Isti’arah (pinjaman kata untuk perumpamaan) kerana Maha Suci Allah daripada sebarang Tasybih.” [Ad-Durr Al-Manthur pada tafsiran Ayat Al-Kursi]
Andainya Al-Kursi yang dijelaskan sebagai tempat letak kaki sekalipun di sisi Saidina Ibn Abbas r.a. dan sebagainya, maka, ianya merujuk kepada makna Al-Kursi dari sudut bahasa, bukan merujuk kepada maknanya pada ayat ini, apatah lagi merujuk kepada tempat letak kaki Allah s.w.t. Maha Suci Allah s.w.t. daripada sifat keanggotaan.
Lihatlah, Imam At-Tabari meriwayatkan banyak perkataan para ulama’ dalam menjelaskan makna Al-Kursi dari sudut bahasa, tanpa mengaitkannya dengan konteks yang dimaksudkan dalam ayat Al-Kursi tersebut. Imam At-Tabari meriwayatkan:
الذي يجعل الـملوك علـيه أقدامهم.
Maksudnya:
“(Al-Kursi-Nya yang diletakkan di bawah Arasy. Maksud Al-Kursi itu sendiri adalah) sesuatu yang mana raja-raja menjadikannya sebagai tempat letak kaki-kaki mereka.” [Tafsir At-Tabari dalam tafsir Surah Al-Baqarah: 255]
Ini menunjukkan, setiap makna “tempat letak kaki” yang disenaraikan oleh Imam At-Tabari merujuk kepada maknanya dari sudut bahasa sahaja, bukan dinisbahkan kepada Allah s.w.t.. Oleh itu, kita dapati, lafaz Saidina Ibn Abbas r.a. menyebut:
الكرسي موضع القدمين
Maksudnya: “Al-Kursi adalah tempat dua kaki”. Ia jelas tidak menisbahkan dua kaki kepada Allah s.w.t..
Tidak mungkin Saidina Ibn Abbas r.a. bermaksud untuk mengatakan Al-Kursi adalah tempat letak kaki Allah s.w.t. kerana tafsiran sebenar perkataan Kursi Allah yang sesuai bagi ayat ini adalah: Ilmu Allah, berdasarkan tafsiran beliau (Ibn Abbas r.a.) sendiri dengan riwayat yang lain dan juga tafsiran Imam Sa’id bin Jubair r.a..
Imam Ibn Jarir At-Tabari menyebut tafsiran sebenar Kursi Allah:
حدثنا أبو كريب وسلـم بن جنادة، قالا: ثنا ابن إدريس، عن مطرف، عن جعفر بن أبـي الـمغيرة، عن سعيد بن جبـير، عن ابن عبـاس: { وَسِعَ كُرْسِيُّهُ } قال: كرسيه: علـمه.
Maksudnya: “Abu Kuraib dan Salm bin Junadah memberitahu kepada kami, bahawa mereka berkata, Ibn Idris telah memberitahu kami, daripada Mutraf daripada Ja’far bin Abi Mughirah daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a.: “luas kerusiNya…” Maka, Ibn Abbas r.a. berkata: “Kursi-Nya adalah ilmu-Nya”. [Tafsir At-Tabari, Tafsir Zad Al-Masir dan sebagainya dalam tafsiran Ayat Kursi].
Jika di sisi Saidina Ibn Abbas r.a., Kursi Allah bererti ilmu Allah s.w.t., bagaimana beliau dalam masa yang sama memahami ianya (Kursi Allah) adalah tempat letak sifat anggota Allah bernama kaki. Tidak mungkin difahami sesuatu yang maknawi (iaitulah ilmu) menjadi tempat letak sesuatu yang Hissi (mempunyai jisim) seperti kaki. Ini menguatkan lagi kefahaman Imam As-Suyuti bahawasanya, apa yang dimaksudkan tempat letak kaki bagi maksud Al-Kursi adalah kiasan semata-mata.
Imam Ibn ‘Adil Al-Hanbali r.a. berkata dalam tafsirnya tentang riwayat “Al-Kursi adalah tempat letak kaki”:
وأمّا ما روي عن سعيد بن جبير عن ابن عباس أنه قال : الكرسيُّ : موضع القدمين فمن البعيد أن يقول ابن عباس هو موضع القدمين لأن الله سبحانه وتعالى منزه عن الجوارح .
Maksudnya:
“Adapun apa yang diriwayatkan daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. bahawasanya beliau berkata: Al-Kursi adalah tempat letak kaki, maka, sangat jauh (tidak mungkin) Saidina Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Al-Kursi adalah tempat letak kaki (bagi Allah) kerana Maha Suci Allah s.w.t. dan Allah Maha Tinggi lagi suci daripada sifat keanggotaan seperti kaki dan sebagainya. [Tafsir Ibn Adil]
Komen Imam Ibn ‘Adil Al-Hanbali ini juga hampir sama dengan ulasan Al-Mujaddid Imam Fakhruddin Al-Razi dalam tafsirnya Mafatih Al-Ghaib.
Dalam riwayat yang menyebut bahawasanya Al-Kursi adalah tempat letak kaki sahaja, namun tidak pula ianya secara spesifik dinisbahkan kepada Allah s.w.t.. Ini menunjukkan, Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki, maka ianya dari sudut bahasa sahaja, sebagaimana difahami oleh sebahagian ulama’. Jika ianya dinisbahkan kepada Allah s.w.t., maka, ianya bermaksud ilmu sebagaimana riwayat kebanyakan ulama’ tafsir.
Dasar Pegangan Aqidah Tanzih
Aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah sejak zaman salaf sehinggalah zaman ini adalah, menyucikan atau menafikan daripada Allah s.w.t., sebarang sifat-sifat kekurangan dan sifat-sifat makhluk yang baharu, termasuklah menafikan tempat dan keanggotaan daripada Allah s.w.t..
Allah s.w.t. tidak bertempat biarpun Dia istiwa’ atas Arasy kerana istiwa’ Allah tidak bermaksud bertempat atau menetap. Allah s.w.t. tidak beranggota dengan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan sebagainya biarpun Dia menisbahkan ‘ain, yadd dan sebagainya kepada-Nya, kerana tidak semestinya setiap nisbah itu adalah sifat bagi yang dinisbahkan dan tidak juga boleh difahami lafaz-lafaz tersebut dengan maknanya yang zahir yang membawa kepada maksud keanggotaan dalam bahasa Arab. Inilah aqidah murni As-Salaf As-Sholeh lalu diikuti oleh majoriti ulama’ Islam di zaman khalaf yang dikenali sebagai Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah.
Saidina Ali k.r.w.j. berkata:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan Arasy, sebagai tanda kekuasaanNya, bukan sebagai tempat untuk Dia duduki” [Al-farq bainal firaq: 333]
Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Husein r.a. (94 H) berkata:
“Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” [Ittihaf Saadah Al-Muttaqin: 4/380]
Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata:
“Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum Dia menciptakan makhluk. Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya. [Al-Fiqh Al-Absath: 25]
Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata:
“Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau zatNya.” [Ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24].
Bahkan, sebahagian para ulama’ salaf juga secara jelas menafikan keanggotaan daripada Allah s.w.t..
Imam At-Tohawi (321H) berkata juga:
“Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat.” [Matn Al-Aqidah At-Tohawiyah]
Berdasarkan matan aqidah Imam At-Tohawi ini menunjukkan bahawasanya, aqidah Imam Abu Hanifah (150 H), Imam Abu Yusuf Al-Ansari dan Imam Muhammad bin Hasan As-Syaibani juga menafikan sebarang had, sempadan, batasan, keanggotaan dan sifat-sifat alat bagi zat Allah s.w.t. kerana berdasarkan Imam At-Tohawi, matan (teks) aqidah yang ditulisnya adalah aqidah ketiga-tiga imam tersebut.
Penjelasan Imam Al-Baihaqi Tentang Perkataan Ibn Abbas r.a.
Imam Al-Qurtubi menukilkan bahawa Imam Al-Baihaqi r.a. menyebut dalam menafsirkan perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. dengan berkata:
قال البيهقيّ: قد روينا أيضاً في هذا عن ابن عباس وذكرنا أن معناه فيما يُرى أنه موضوع من العرش موضع القدمين من السرير، وليس فيه إثبات المكان لله تعالى.
Maksudnya: “Imam Al-Baihaqi berkata: Telah kami riwayatkan juga di sini dariapda Ibn Abbas r.a. dan kami sebutkan bahawasanya, maksud perkataan tersebut ebagaimana diriwayatkan adalah: Al-Kursi merupakan suatu tempat daripada Arasy yang merupakan suatu tempat letak kaki daripada hamparan singgahsana, dan tiada difahami di sini untuk menetapkan tempat bagi Allah s.w.t..” [Al-Jami’e Li Ahkam Al-Qur’an oleh Imam Al-Qurtubi].
Imam Al-Baihaqi r.a. berkata dalam kitab Al-Asma’ wa As-Sifat dalam bab Ma Ja’a fi Al-Arasy wa Al-Kursi:
“Bukanlah makna perkataan orang-orang Islam: Allah istawa’ atas Arasy tidak bermaksud bahawasanya Allah s.w.t. menyentuh Arasy itu, atau mendiaminya, atau bertempat di mana-mana posisis daripada Arasy tersebut. Akan tetapi, Allah s.w.t. terpisah daripada sekalian makhluk, sedangkan apa yang disebutkan hanyalah perkhabaran yang perlu dihentikan daripada mendalaminya dan perlulah kita menafikan terus tatacara daripada-Nya, kerana tiada yang menyerupai-Nya sedangkan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. [m/s: 549, Cetakan Al-Maktabah At-Taufiqiyyah, Kaherah]
Imam Al-Baihaqi r.a. kemudian mendatangkan dalil daripada hadith sahih menafikan tempat bagi Allah s.w.t. yang berbunyi:
Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:
اللهم أنت الأول فليس قبلك شيء وأنت الآخر فليس بعدك شيء وأنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء
Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Engkau Maha Awal yang tiada sesuatupun sebelumMu. Engkau Maha Akhir yang tiada sesiapapun sebelumMu. Engkau Maha Zhahir yang tiada sesuatupun di atasMu. Engkau Maha Bathin yang tiada sesuatupun di bawahMu. [Hadith riwayat Imam Muslim (4/2084), Imam At-Tirmizi (5/518) dan Imam Abu Daud (4/312)]
Lalu, Imam Al-Baihaqi menjelaskan: “Jika tiada sesuatupun di atas Allah dan tiada sesuatupun di bawah Allah, maka jelaslah bahawasanya Allah s.w.t. tidak bertempat.” [Al-Asma’ wa As-Sifat: 554]
Ini menunjukkan, Al-Kursi itu, kalaupun ianya bermaksud tempat letak kaki dari sudut bahasa, namun tidak bermakna Allah s.w.t. menciptakannya untuk meletakkan suatu “anggota” bernama kaki yang dinisbahkan kepada zatNya. Na’uzubillah. Begitu juga, Allah s.w.t. menciptakan para malaikat untuk bertugas dalam kerajaan-Nya bukan kerana Dia lemah untuk mentadbir alam ini bersendirian, tetapi sekadar menzahirkan keagungan dan kebesaranNya. Begitu juga dengan ciptaan Al-Kursi, bukan untuk diri-Nya, tetapi untuk menzahirkan keagunganNya.
Hal ini sebagaimana disebut oleh Saidina Ali r.a.:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan Arasy, sebagai tanda kekuasaanNya, bukan sebagai tempat untuk Dia duduki” [Al-farq bainal firaq: 333]
Oleh yang demikian, sebahagian ulama’ memahami Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki, hanya dalam bentuk kiasan. Imam Ibn Athiyyah berkata:
في قول أبي موسى «الكرسي موضع القدمين» يريد هو من عرش الرحمن كموضع القدمين من أسِرة الملوك
Maksudnya: “Pada perkataan Abu Musa: “Al-Kursi tempat kedua-dua kaki”, maka yang dimaksudkan adalah, Al-Kursi jika dinisbahkan dengan Arasy Allah yang Maha Pemurah umpama tempat letak kaki bagi singgahsana raja-raja. [ibid]
Oleh sebab itulah, kita perlu kepada asas tanzih dalam benak hati kita bahawasanya Allah s.w.t. tidak bersifat dengan sifat-sifat baharu (hawadith) termasuklah Allah s.w.t. tidak bertempat. Asas aqidah inilah yang memastikan seseorang tidak sesat atau salah faham dalam berinteraksi dengan nas-nas. Asas inilah yang tidak dipegang oleh para Mujassimah ketika berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat sebegini lalu menyesatkan mereka sehinggakan mereka menyesatkan orang-orang lain dengan fahaman Tajsim mereka. Na’uzubillah…
Cuba kita perhatikan pegangan para ulama’ antaranya pendirian Imam Al-Qurtubi dan sebagainya. Beliau berkata:
و ))ٱلْعَلِيُّ ((يراد به علو القدر والمنزلة لا علو المكان؛ لأن الله منزَّه عن التحيُّز. وحكى الطبريّ عن قوم أنهم قالوا: هو العلِيّ عن خلقه بارتفاع مكانه عن أماكن خلقه. قال ٱبن عطية: وهذا قول جهلةٍ مجسِّمين
Maksudnya: ((Allah Maha Tinggi)). Yang dimaksudkan dengan ketinggian di sini adalah ketinggian kedudukan dan status, bukan ketinggian dari sudut tempat, kerana Allah s.w.t. Maha Suci daripada bertempat. Imam At-Tabari menceritakan daripada suatu golongan bahawasanya mereka berkata: “Allah Maha Tinggi daripada para makhlukNya dengan ketinggian tempat berbanding tempat-tempat para makhluk-Nya. Maka, Ibn Athiyyah mengatakan: “Itulah perkataan orang-orang jahil lagi Mujassimah”… [ibid]
Oleh itu, benarlah juga pendirian Imam As-Suyuti r.a. yang berkata terhadap riwayat Ibn Abbas r.a. ini:
“Ianya sekadar dalam bentuk Isti’arah (pinjaman kata untuk perumpamaan) kerana Maha Suci Allah daripada sebarang Tasybih.” [Ad-Durr Al-Manthur pada tafsiran Ayat Al-Kursi sebagaimana sudah dinukilkan sebelum ini]
Imam Al-Alusi juga menegaskan bahawasanya, kebanyakan ulama’ khalaf berpegang bahawasanya, tafsiran Ibn Abbas r..a versi “tempat letak kaki” ini hanyalah bentuk kiasan, sebagaimana disebut dalam tafsir beliau Ruh Al-Ma’ani.
Antara Ulama’ Tafsir yang Menguatkan Pendapat “Al-Kursi Adalah Ilmu Allah”
Imam At-Tabari menguatkan pendapat bahawasanya, Kursi Allah bererti ilmu Allah s.w.t.. Ia adalah daripada perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. sendiri. Imam Al-Qurtubi juga menukilkan tarjih Imam At-Tabari r.a.. Bahkan, beliau juga mendatangkan riwayat daripada Imam Al-Baihaqi r.a.:-
وروينا عن ٱبن مسعود وسعيد بن جبير عن ابن عباس في قوله ))وسع كرسيه(( قال: علمه.
Maksudnya:
Imam Al-Baihaqi r.a. berkata: Kami meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dan Sa’id bin Juabir daripada Ibn Abbas r.a. pada firman Allah yang bermaksud: “Luas Kursi-Nya” maka Ibn Abbas r.a. berkata: Ilmu-Nya. [Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an]
Pendapat ini juga disebut oleh Imam Ibn Kathir daripada Imam Ibn Abi Hatim, Imam At-Tabrani dalam kitab As-Sunnah daripada riwayat Ibn Hajar dalam Taghliq At-Ta’liq (4/185), Fath Al-Bari (8/48) melalui jalan Abd bin Humaid dan sebagainya. Imam Ibn Athiyyah juga menyebutkan tafsiran ini dalam kitab tafsir beliau lalu menjelaskan Tarjih Imam At-Tabari iaitu: Kursi-Nya adalah ilmuNya.
Imam Ibn Jarir At-Tabari menyebutkan sebagaimana sebelum ini:-
حدثنا أبو كريب وسلـم بن جنادة، قالا: ثنا ابن إدريس، عن مطرف، عن جعفر بن أبـي الـمغيرة، عن سعيد بن جبـير، عن ابن عبـاس: { وَسِعَ كُرْسِيُّهُ } قال: كرسيه: علـمه.
Maksudnya: “Abu Kuraib dan Salm bin Junadah memberitahu kepada kami, bahawa mereka berkata, Ibn Idris telah memberitahu kami, daripada Mutraf daripada Ja’far bin Abi Mughirah daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a.: “luas kerusiNya…” Maka, Ibn Abbas r.a. berkata: “Kursi-Nya adalah ilmu-Nya”. [Tafsir At-Tabari, Tafsir Zad Al-Masir dan sebagainya dalam tafsiran Ayat Kursi].
Adapun Imam Sa’id bin Jubair, maka beliau adalah antara ulama’ tabi’in yang agung. Begitu juga Ja’far bin Abi Mughirah, di mana menurut Imam Ahmad dan Imam Ibn Hibban, beliau adalah Thiqah sebagaimana disebutkan dalam Tahzib At-Tahzib (1/388).
Imam Ibn Hibban r.a. menilai riwayat Ja’far bin Abi Mughirah daripada Ibn Jubair sebagai riwayat dengan sanad yang sahih sebagaimana dalam Sahih Ibn Hibban (9/516). Begitu juga Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (9/516), Imam Ad-Dhiya’ dalam Al-Mukhtarah (10/99) dan Imam Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari (10/253).
Begitu juga Imam As-Syaukani juga ada menukilkan:
وقال بعض السلف إن الكرسي هنا عبارة عن العلم
Maksudnya: Sebahagian Salaf berkata, makna Al-Kursi di sini bermaksud sebagai ilmu” [Fath Al-Qadir pada ayat Kursi ini]
Lihatlah menurut Imam As-Syaukani, ketika membahaskan tentang maksud Al-Kursi dalam konteks ayat ini, maka sebahagian salaf mengatakan bahawasanya, maksudnya adalah ilmu.
Imam At-Tabrani juga memberi tafsiran pertama bagi Al-Kursi dalam ayat ini sebagaimana disebutkan:
قال ابن عباس: ))كُرْسِيُّهُ: عِلْمُهُ((
Maksudnya: “Ibn Abbas r.a. berkata: “Kursi-Nya adalah ilmu-Nya” [Tafsir At-Tabrani]
Imam As-Suyuti r.a. juga mendatangkan tafsiran Ibn Abbas r.a. ini:
وأخرج عبد بن حميد وابن جرير وابن المنذر وابن أبي حاتم والبيهقي في الأسماء والصفات عن ابن عباس قال: كرسيه علمه،
Maksudnya: “Abd bin Humaid, Ibn Jarir At-Tabari, Ibn Munzir, Ibn Abi Hatim dan Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa As-Sifat meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a.: “Ibn Abbas berkata: Kursi-Nya adalah ilmu-Nya”. [Ad-Durr Al-Manthur]
Imam Al-Bukhari r.a. juga meriwayatkan perkataan Imam Sa’id bin Jubair:
وقال ابن جبير : كرسيه علمه
Maksudnya: “Ibn Jubair berkata: “Kerusi-Nya adalah ilmuNya”. [Kitab At-Tafsir (8/199) dalam kitab Fath Al-Bari sebelum hadith no: 4535]
Imam Sufian At-Thauri r.a. juga meriwayatkan:
عن جعفر عن سعيد بن جبير في قوله جل وعز وسع كرسيه السموات والأرض قال علمه
Maksudnya: “Daripada Ja’far daripada Sa’id bin Jubair pada firman Allah s.w.t.: ((وسع كرسيه السموات والأرض )) maka beliau (Sa’id bin Jubair r.a.) berkata: Ilmu-Nya”. [Rujuk Tafsir At-Thauri yang diselia oleh Lajnah Ulama’ di bawah Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut]
Al-Mufassir Imam Al-Mawardi r.a. juga antara ulama’ yang menguatkan pendapat dan tafsiran ini dengan berkata:
فدلت هذه الشواهد، على أن أصح تأويلاته، ما قاله ابن عباس، أنه علم الله تعالى.
Maksudnya: “Maka berdasarkan beberapa petunjuk tersebut (yang beliau sebutkan dalam tafsirnya), maka ta’wil yang paling sahih adalah apa yang dikatakan oleh Ibn Abbas r.a.. [An-Nukat wa Al-‘Uyun]
Begitu juga dalam tafsir Al-Jalalain (oleh Imam Al-Mahalli dan Imam As-Suyuti) yang menguatkan pendapat bahawasanya Al-Kursi yang dimaksudkan adalah ilmu Allah s.w.t..
Al-Kursi dalam Bahasa Arab
Imam Az-Zujaj berkata:
الكُرْسي في اللغة الشيء الذي يُعْتَمَد عليه ويُجْلَس عليه
Maksudnya: “Al-Kursi dalam bahasa Arab bererti sesuatu yang disandarkan di atasnya dan diduduki di atasnya”. [Lisan Al-‘Arab]
Oleh yang demikian, Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki juga adalah cabang daripada makna asal dari sudut bahasa iaitu tempat disandarkan seuatu di atasnya. Tetapi, Saidina Ibn Abbas r.a. menjelaskannya dari sudut bahasa serta dari sudut amalan dan tradisi seuatu golongan juga (terutamanya dalam golongan bangsawan dan raja-raja), yang menjadikan Al-Kursi sebagai tempat letaknya kaki di bawah singgahsana.
Namun, tafsiran Al-Kursi dengan maksud ilmu juga ada sandarannya dalam bahasa Arab.
(( والكرسي ؛ بالضم وبالكسر : السرير والعلم ((
Maksudnya: “Al-Kursi, dengan dhommah dan kasr: As-Sarir (sesuatu tempat diletakkan sesuatu padanya) atau Ilmu.” [Al-Qamus Al-Muhith: 1/537]
Jika dinilai, ilmu itu lebih dekat dengan makna Al-Kursi dari sudut bahasa Arab berbanding tempat pijakan kaki sebagaimana versi kedua tafsiran Al-Kursi oleh Ibn Abbas r.a., walaupun Abu Manshur menguatkan makna versi kedua ini [Lisan Al-Arab]
Nisbah Tempat Letak Kaki kepada Allah?
Seseorang yang cuba juga mengambil riwayat Saidina Ibn Abbas r.a. dan Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. tentang maksud Al-Kursi dari sudut bahasa tersebut, maka dia juga perlulah adil dalam menukilkannya. Dalam banyak riwayat yang berbentuk sedemikian, hanya disebutkan:
الكرسي موضع القدمين
Maksudnya: “Al-Kursi, tempat dua kaki”.
Tidak ada pun Saidina Ibn Abbas r.a. menisbahkan dua kaki tersebut kepada Allah s.w.t. secara jelas. Malah, tidak juga beliau menisbahkan Al-Kursi dalam riwayat ini, kepada Allah s.w.t.. Ini menunjukkan, Saidina Ibn Abbas r.a. hanya menafsirkan perkataan Al-Kursi dari sudut bahasa sahaja sebagai tempat letak dua kaki, bukan dengan maksud khusus dalam ayat Kursi tersebut.
Mungkin ada yang meriwayatkan daripada tafsir Ibn Kathir di mana beliau berkata bahawasanya: Syuja’ bin Makhlad berkata dalam tafsirnya dengan sanad bersambung kepada Saidin Ibn Abbas r.a. bahawasanya, Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- ditanya tentang tafsir “luas kursi-Nya…” maka Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- menjawab: “Kursi-Nya adalah tempat kedua-dua kaki-Nya…”.
Ia bukan sahaja diriwayatkan dalam Tafsir Ibn Kathir, malah juga dalam Al-Bidayah wa An-Nihayah dengan sanad: Daripada Abi Ashim, daripada Sufian daripada Ammar Ad-Duhni daripada Muslim Al-Bathin daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. daripada Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Imam Ibn Al-Jauzi berkata:
هذا الحديث وهم شجاع بن مخلد في رفعه ... وكان ابن عباس يفسر معنى الكرسي وأنه موضع قدمي الجالس
Maksudnya: “Ini dinilai sebagai hadith adalah waham (kekeliruan) di sisi Syuja’ bin Makhlad dalam menangkatnya kepada Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-… Sebenarnya, Ibn Abbas r.a. menafsirkan makna Al-Kursi bahawasanya ia adalah tempat letak kaki seseorang yang duduk…”. [Rujuk Al-Ilal Al-Mutanahiyyah jilid 1, m/s 4 dan 22]
Maka, ada dua kepincangan daripada riwayt Syuja’ ini iaitu:
Pertama: Ianya tidak diangkat sebagai hadith Rasulullah –shollallahu ‘alahi wasallam-, tetapi terhenti kepada Saidina Ibn Abbas r.a..
Kedua: Saidina Ibn Abbas r.a. tidak menisbahkan kaki kepada Allah s.w.t. tetapi menyebutnya secara umum (القدمين), sedangkan dalam riwayat Syuja’, secara jelas menisbahkan kepada Allah s.w.t.. Bahkan, Imam Ibn Jauzi r.a. menjelaskan bahawasanya, Saidina Ibn Abbas r.a. memaksudkan secara bahasa sahaja tentang makna Al-Kursi, iaitu tempat letak kaki orang yang duduk. Ia berbentuk umum.
Bahkan, Imam Ibn Kathir sendiri mengganggap riwayat ini adalah suatu yang salah (وهو غلط ) sebagaimana dalam tafsirnya. Imam Al-‘Uqaili juga menganggap riwayat ini dinisbahkan kepada Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagai suatu kesalahan. [Rujuk Ad-Dhu’afa’ sebagaimana disebut dalam Tahzib At-Tahzib (2/248)]
Riwayat yang lebih kuat adalah tanpa menisbahkan kaki kepada Allah s.w.t.. Maka, biarpun Syuja’ bin Makhlad terpercaya, namun, riwayatnya menyalahi riwayat yang lebih kuat.
Ia berbeza dengan perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. dengan makna ilmu. Lihatlah tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. yang sebenar tentang Kursi-Nya (Allah) dalam riwayat lain:
قال: كرسيه: علـمه.
Maksudnya: “Kursi-Nya bererti ilmu-Nya”.
Jadi, bezakanlah antara tafsiran dari sudut bahasa (versi tempat letak kaki) dengan tafsiran dari sudut konteks ayat. Dalam riwayat pertama, Saidina Ibn Abbas r.a. hanya menyebut Al-Kursi dengan lafaz umum, yang menunjukkan ianya membahaskan tentang makna Al-Kursi secara umum dalam bahasa Arab. Bahkan, beliau juga menyebut: “tempat dua kaki”, juga secara umum, tanpa menisbahkan kepada Allah s.w.t.. Jadi, ia jelas menunjukkan tafsiran Al-Kursi dengan tempat letak dua kaki hanyalah dari sudut bahasa semata-mata, bukan khusus kepada ayat Al-Kursi yang dibahaskan.
Dalam riwayat kedua pula, Saidina Ibn Abbas r.a. secara jelas menyebut Kursi-Nya dan perkataan ilmu-Nya. Maka, ini secara jelas menunjukkan bahawasanya Saidina Ibn Abbas r.a. sedang menafsirkan ayat Al-Kursi yang dibincangkan.
Oleh itu, jika Kursi dinisbahkan kepada Allah s.w.t., maka, sudah pasti maksudnya bukan lagi tempat letak kaki Allah s.w.t., bahkan di sisi Saidina Ibn Abbas r.a., maksudnya adalah ilmu Allah, kerana Maha Suci Allah daripada sifat keanggotaan seperti kaki dan sebagainya.
Bukan masalah sanad perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. ini yang diperbincangkan pada peringkat ini. Akan tetapi, maksudnya yang cuba difahami dengan makna zahir juga ditolak. Oleh sebab itulah, ramai para ulama’ tafsir menguatkan pendapat Saidina Ibn Abbas r.a. yang pertama iaitulah, Al-Kursi dengan makna Ilmu-Nya kerana Al-Kursi dengan makna zahir tempat letak kaki bagi Allah s.w.t. adalah tidak selayaknya.
Ketika berinteraksi dengan nas ini, maka Abu Ubaid Al-Qasim berkata ketika ditanya tentang maknanya:
لا يُفسر هذا ، ولا سمعنا أحداً يفسره
Maksudnya: “Ia tidak ditafsirkan dan kami tidak mendengar sesiapa menafsirkannya”. [As-Sifat: 57 oleh Ad-Darqutni, Syarh As-Sunnah: 311 oleh Al-Khallal dan sebagainya.]
Lihatlah betapa di sisi Abu Ubaid Al-Qasim sendiri, tafsiran Ibn Abbas r.a. terhadap Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki tidak ditafsirkan, bahkan tiada ulama’ salaf yang beliau dapati, menafsirkan perkataan Ibn Abbas r.a. tersebut. Adalah suatu keganjilan jika kita fahami tafsiran Ibn Abbas r.a. ini sebagai tafsiran bagi Al-Kursi dalam ayat Al-Kursi.
Persoalan lain yang timbul dari ungkapan Imam Abu Ubaid ini adalah: kedudukan perkataan Al-Kursi dalam ayat ini adalah antara nas-nas mutasyabihat (kesamaran maknanya). Namun, adakah Ibn Abbas r.a. menafsirkan perkataan Al-Kursi ini dengan tafsiran yang juga berbentuk mutasyabihat (kesamaran) juga sehingga tidak boleh menafsirkan tafsiran Ibn Abbas r.a. pula, sebagaimana di sisi Imam Abu Ubaid. Ini menunjukkan bahawasanya, Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki bukanlah tafsiran berdasarkan konteks ayat Al-Kursi tersebut, tetapi sekadar menjelaskan maksud Al-Kursi dari sudut bahasa Arab sahaja. Oleh sebab itulah Imam Abu Ubaid menganggap tafsiran itu masih kesamaran.
Apa yang menyebabkan perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. bahawa Al-Kursi itu sebagai tempat letak kaki sebagai suatu kesamaran yang tidak diperincikan dan diperjelaskan oleh para ulama’ Salaf sebagaimana menurut Abu Ubaid Al-Qasim?
Jika kita lihat semula perincian perkataan Abu Al-Qasim, maka kita akan dapati secara jelas, mengapa para ulama’ salaf tidak menafsirkan atau menjelaskan nas-nas mutasyabihat termasuklah perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. ini. Imam Abu Al-Qasim berkata:
ولكن إذا قيل كيف وضع قدمه وكيف ضحك ؟ قلنا : " لا يُفسر هذا ، ولا سمعنا أحداً يفس
Maksudnya: “Akan tetapi, jika dikatakan, bagaimana Allah meletakkan kaki-Nya dan bagaimana Allah ketawa? Maka kami katakan: “Ia (nas-nas mutasyabihat tersebut) tidak ditafsirkan dan kami tidak mendengar seseorang pun menafsirkannya”. [ibid]
Ada dua isi penting daripada perkataan Abu Al-Qasim iaitu:
Pertama: Perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya Al-Kursi adalah tempat letak kaki merupakan antara nas-nas mutasyabihat. Maka, nas-nas mutasyabihat tidak boleh difahami dengan makna zahir berdasarkan majoriti ulama’ samada salaf mahupun khalaf.
Kedua: Ketika perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. dinisbahkan kepada Allah, iaitu tempat letak kaki Allah, maka ianya sudah membawa kepada kesamaran, sehingga para ulama’ salaf tidak mampu atau tidak tergamak lagi untuk memperincikan atau menjelaskannya kerana zahirnya mustahil bagi Allah s.w.t.. Oleh kerana itulah, tidak wajar kita mengubah lafaz asal Saidina Ibn Abbas r.a. yang sekadar berkata:
الكرسي موضع القدمين
Maksudnya: “Al-Kursi adalah tempat dua kaki”.
Perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. ini tidak langsung menisbahkan kepada Allah s.w.t. secara jelas, tetapi sekadar menyebut makna Al-Kursi dari sudut bahasa Arab secara umum sebagaimana dijelaskan sebelum ini. Ataupun, ianya dalam bentuk kiasan sepertimana dipegang oleh Imam As-Suyuti, Imam Al-Alusi dan Imam Al-Razi.
Perkataan “موضع القدمين” (Tempat Letak Dua Kaki) Bukan Tafsiran Bagi Kursi Allah di Sisi Kebanyakan Ahli Tafsir
Apabila kita fahami, perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. versi “tempat letak dua kaki” itu disebut secara umum, serta asas aqidah murni Islam yang digariskan oleh para ulama’ bahawa Allah s.w.t. tidak beranggota dan tidak bertempat, maka, sudah pastilah,ungkapan Saidina Ibn Abbas r.a. versi ini bukanlah tafsiran bagi Kursi Allah dalam ayat Al-Kursi. Oleh sebab itulah juga, kita dapati Imam Ibn Al-Jauzi r.a. tidak mendatangkan tafsiran Ibn Abbas r.a. ini dalam kitab tafsir beliau yang berjudul Zad Al-Masir. Beliau berkata:
وفي المراد بالكرسي ثلاثة أقوال. أحدها: أنه كرسي فوق السماء السابعة دون العرش.... والثاني: أن المراد بالكرسي علم الله تعالى. رواه ابن جبير عن ابن عباس. والثالث: أن الكرسي هو العرش، قاله الحسن.
Maksudnya:
“Adapun pada makna Al-Kursi (dalam konteks ayat ini) maka ada tiga perkataan:
Pertama: Al-Kursi adalah suatu yang berada di atas langit yang ketujuh di bawah Arasy. (Ini tafsiran Ibn Abbas daripada riwayat Atha’).
Kedua: Maksud Al-Kursi adalah ilmu Allah s.w.t.. Ini adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jubair daripada Ibn Abbas r.a..
Ketiga: Al-Kursi itu adalah Arasy itu sendiri, sebagaimana dikatakan oleh Al-Hasan. [Zad Al-Masir pada tafsiran ayat Al-Kursi]
Imam Ibn Al-Jauzi tidak mungin tidak tahu tentang tafsiran Ibn Abbas r.a. ini kerana beliau sendiri ada membincangkan perkataan Ibn Abbas r.a. (tentang tempat letak kaki) ini dalam kitab Al-Ilal Al-Mutanahiyyah dan Daf Syubah At-Tasybih. Beliau tidak menyebutnya dalam tafsir beliau kerana tidak meletakkan riwayat tersebut sebagai suatu tafsiran terhadap ayat ini secara khusus, tetapi di sisi beliau, ianya sekadar penjelasan terhadap makna Al-Kursi dari sudut bahasa sahaja. Kalau perkataan Ibn Abbas r.a. tentang Al-Kursi sebagai tempat letaknya kaki adalah tafsiran ayat Al-Kursi, maka Imam Ibn Al-Jauzi r.a. sudah pasti menyenaraikan pendapat ini dalam tafsiran Al-Kursi dalam tafsirnya. Namun, beliau tidak meletakkannya dalam tafsiran beliau terhadap Al-Kursi menunjukkan di sisi beliau juga, tempat letak kaki bukanlah tafsiran bagi Al-Kursi dalam ayat ini.
Antara para ulama’ mufassir yang tidak menyebut tafsiran Ibn Abbas r.a. versi ini (Al-Kursi sebagai tempat letaknya kaki) adalah seperti Imam An-Nasafi (w: 710 H) dalam tafsirnya Madarik At-Tanzil wa Haq’iq At-Ta’wil, Imam Al-Khazin (w: 725 H) dalam tafsirnya Lubab At-Ta’wil fi Ma’ani At-Tanzil dan Imam Al-Baghawi r.a. yang juga tidak mendatangkan perkataan ini walaupun menyebut tafsiran-tafsiran lain dalam tafsir beliau Ma’alim At-Tanzil. Imam As-Showi juga tidak menyebut tafsiran Ibn Abbas r.a. versi “tempat letak kaki” ini dalam Hasyiyah beliau terhadap tafsir Al-Jalalain, begitu juga ianya tidak disebutkan dalam kitab tafsir Al-Jalalain. Begitu juga perkataan ini tidak disebut dalam Tafsir As-Siraj Al-Munir oleh Imam As-Syirbini r.a.. Mereka semua (Imam An-Nasafi, Imam Al-Khazin, Imam Al-Baghawi, Imam Al-Showi dan sebagainya) tetap meriwayatkan tafsiran Ibn Abbas r.a. tetapi bukan versi “tempat letak kaki”, namun sebaliknya mereka meriwayatkan tafsiran Ibn Abbas r.a. versi: “Al-Kursi adalah ilmu Allah”.
Ini menunjukkan, di sisi sebahagian para mufassirin, tafsiran Ibn Abbas r.a. walaupun mempunyai kekuatan sanadnya, tetapi tidak berbentuk tafsiran dalam konteks ayat Al-Kursi, tetapi sekadar penjelasan terhadap makna Al-Kursi dari sudut bahasa semata-mata. Oleh kerana itulah, mereka tidak meletakkan tafsiran versi “tempat letak kaki” ini dalam kitab-kitab tafsir mereka. Wallahu a’lam…
Imam Abu Hayyan r.a. (w: 754 H) pula menafsirkan “tempat letak kaki…” bagi maksud Al-Kursi sebagai tempat letak dua kaki malaikat. Beliau berkata:
وقيل: الكرسي موضع قدمي الروح الأعظم، أو: ملك آخر عظيم القدر.
Maksudnya: “Dikatakan juga, Al-Kursi adalah tempat letaknya dua kaki Ar-Ruh Al-A’zhom (malaikat) atau malaikat lain yang sangat besar”. [Al-Bahr Al-Muhith] Tafsiran ini diambil daripada ta’wilan Imam Al-Razi r.a. dalam Mafatih Al-Ghaib.
Penilaian Sanad Terhadap Perkataan “Tempat Pijakan Dua Kaki”
Sebagaimana di sisi Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari r.a.,perkataan ini diriwayatkan dengan banyak riwayat yang terputus sanadnya,ataupuntidak bersambung kepada Saidina Rasulullah-shollallahu ‘alahi wasallam-. Bahkan, Imam Al-Razi r.a. menilai ianya suatu yang tidak dapat diterima.
Jika kita lihat antara riwayat-riwayat bagi perkataan tersebut, maka didapati ianya melalui dua sahabat r.a., iaitulah Saidina Abu Musa Al-Asy’ari dan Saidina Ibn Abbas r.a..
Riwayat Abu Musa Al-Asy’ari r.a..
Perkataan ini dinisbahkan kepada Saidina Abu Musa Al-Asy’ari sebagaimana dalam riwayat Imam At-Tabari dalam tafsirnya, dan Imam Al-Baihaqi r.a. dalam Al-Asma’ wa As-Sifat. Sanadnya adalah seperti berikut: Iaitu melalui jalan Salamah bin Kahil daripada Umarah bin Umair daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a..
Sheikh Hasan As-Saqqaf membuat ulasan tentang sanad ini dengan berkata bahawasanya, Umarah bin Umair tidak pernah bertemu dengan Abu Musa Al-Asy’ari kerana beliau hanya meriwayatkan daripada anaknya iaitu Ibrahim bin Abi Musa Al-Asy’ari r.a. sebagaimana dalam Tahzib Al-Kummal (21/256) dan Tahzib At-Tahzib (7/369). Maka, sanad perkataan ini adalah terputus.
Riwayat Ibn Abbas r.a..
Dalam riwayat Ibn Abbas r.a. pula, ianya diriwayatkan melalui jalan Ammar Ad-Duhni daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. sebagaimana dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (12/39) susunan Imam At-Tabrani.
Namun, dalam riwayat lain pula, Ammar Ad-Duhni meriwayatkannya daripada Muslim Al-Bathin daripada Sa’id bin Jubair sebagaimana dalam Al-Mustadrak (2/282), As-Sunnah (1/301) Tarikh Al-Baghdadi (9/251) dan Al-Ilal Al-Mutanahiyyah (1/22).
Namun, dalam tafsir At-Tabari pula, riwayat dengan jalan sanad ini terhenti kepada Muslim Al-Bathin sahaja. Imam Ibn Jarir At-Tabari berkata: Telah memberitahu kepada kami Ahmad bin Ishaq lalu berkata, Abu Ahmad Az-Zabiri telah memberitahu kepada kami daripada Sufian daripada Ammar Ad-Duhni daripada Muslim Al-Bathin bahawa dia berkata: “Al-Kursi tempat letaknya dua kaki”.
Jika dinilai riwayat Imam At-Tabrani pula, ia menyebutkan bahawa Ammar Ad-Duhni meriwayatkan terus daripada Sa’id bin Jubair tanpa melalui Muslim Al-Bathin. Sedangkan, Ad-Duhni tidak pernah meriwayatkan sesuatu pun daripada Sa’id bin Jubair sebagaimana disebutkan dalam Tahzib Al-Kamal (21/210) dan Jamie’ At-Tahsil.
Di samping itu, biarpun Ammar Ad-Duhni atau Muslim Al-Bathin, mereka tersendiri dalam riwayat ini daripada Ibn Abbas r.a. tanpa ada riwayat-riwayat yang lain yang menguatkannya. Maka, ia berbentuk Ahaad yang tidak kuat untuk dijadikan hujah dalam masalah aqidah, apatah lagi sekadar Mauquf (terhenti kepada sahabat r.a.) malah mutasyabihat pula.
Bahkan, menisbahkan perkataan ini daripada Sa’id bin Jubair juga tidak sekuat riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya bahawasanya, Sa’id bin Jubair berkata: “Al-Kursi adalah ilmu”. Maka, riwayat ini lebih sahih.
Saidina Ibn Abbas r.a. dan Imam Sa’id bin Jubair yang dikatakan meriwayatkan perkataan Al-Kursi sebagai tempat letak dua kaki dalam masa yang sama mempunyai riwayat lain dengan perkataan: “Al-Kursi adalah ilmu-Nya”. Maka, di sini juga tempat penilaian para ulama’ dalam masalah ini.
Kesimpulan: Penjelasan Imam Fakhruddin Al-Razi dalam Permasalahan Ini
Al-Allamah Al-Mujaddid Al-Mufassir Al-Imam Fakhruddin Al-Razi r.a. berkata dalam tafsir Mafatih Al-Ghaib:
وأما ما روي عن سعيد بن جبير عن ابن عباس رضي الله تعالى عنهما أنه قال: موضع القدمين، ومن البعيد أن يقول ابن عباس: هو موضع قدمي الله تعالى وتقدس عن الجوارح والأعضاء، وقد ذكرنا الدلائل الكثيرة على نفي الجسمية في مواضع كثيرة من هذا الكتاب، فوجب رد هذه الرواية أو حملها على أن المراد أن الكرسي موضع قدمي الروح الأعظم أو ملك آخر عظيم القدر عند الله تعالى.
Maksudnya:
“Adapun riwayat daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. bahawasanya beliau berkata: Al-Kursi adalah: “tempat letak dua kaki…”, maka ia sangat tidak mungkin Ibn Abbas r.a. berkata sedemikian (dengan maksud): ia (Al-Kursi) adalah tempat letak dua kaki Allah s.w.t. sedangkan Maha Suci Allah daripada keanggotaan dan bahagian. Kami telah menyebutkan banyak dalil dalam menafikan kejisiman di banyak bahagian dalam kitab tafsir ini. Maka, wajib menolak riwayat ini (kerana bertentangan dengan dalil yang lebih kuat) atau membawanya kepada makna iaitu Al-Kursi adalah tempat letak dua kaki Ar-Ruh Al-A’zhom atau malaikat lain yang besar kedudukannya di sisi Allah s.w.t..” [Mafatih Al-Ghaib dalam tafsiran Ayat Al-Kursi]
Penutup
Para ulama’ berbeza pendapat tentang makna Al-Kursi dalam ayat Al-Kursi tersebut. Sebahagian ulama’ menguatkan tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. bahawa Kursi-Nya bermaksud, ilmu-Nya. Ia sering dikuatkan oleh Imam At-Tabari dan sebagainya.
Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Kursi bermaksud tempat letak kaki. Ia dari sudut bahasa. Tiada nas yang sharih (jelas) lagi sahih yang dimaksudkan oleh Saidina Ibn Abbas r.a. dan Saidina Abu Musa Al-Asy’ari bahawasanya, Al-Kursi adalah tempat letak kaki Allah s.w.t.. Mereka hanya menyebut makna zahir bagi Al-Kursi adalah tempat letak kaki sebagaimana kebiasaan digunakan dalam bahasa Arab.
Tafsiran ketiga pula adalah, Al-Kursi adalah suatu makhluk yang berada di bahagian tertentu pada Arasy. Ini adalah tafsiran yang kuat tetapi tanpa menetapkan ianya tempat bagi Allah s.w.t. atau bagi sebahagian anggota Allah yang bernama kaki. Bahkan, sebagaimana menurut Imam As-Suyuti, Al-Kursi dengan maksud tempat letak kaki adalah kiasan sahaja bagi Allah s.w.t.. Imam Al-Baihaqi r.a. dan Imam Al-Qurtubi r.a. turut menegaskan perkara yang sama iaitu, tidak memahami daripada Al-Kursi bahawasanya Allah s.w.t. itu bertempat. Bahkan, di sisi Imam Ibn Athiyyah r.a., seseorang yang memahami Al-Kursi dan Arasy sebagai tempat bagi Allah s.w.t. adalah seorang jahil lagi Mujassim.
Imam Al-Mawardi membuat kesimpulan tentang tafsiran Al-Kursi dalam tafsir An-Nukat wa Al-Uyun:-
{ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ } في الكرسي قولان:
أحدهما: أنه من صفات الله تعالى .
والثاني: أنه من أوصاف ملكوته.
فإذا قيل إنه من صفات ففيه أربعة أقاويل: أحدها: أنه علم الله، قاله ابن عباس. والثاني: أنه قدرة الله. والثالث: ملك الله. والرابع: تدبير الله.
وإذا قيل إنه من أوصاف ملكوته ففيه ثلاثة أقاويل: أحدها: أنه العرش، قاله الحسن. والثاني: أنه سرير دون العرش. والثالث: هو كرسي تحت العرش، والعرش فوق الماء
Maksudnya:
“Al-Kursi itu mengandungi dua tafsiran:
Pertama: Ianya sebagai sebahagian daripada sifat Allah s.w.t..
Kedua: Ianya sebagai sebahagian daripada sifat kerajaan Allah s.w.t..
JIka dikatakan ianya sebahagian daripada sifat Allah s.w.t., maka ada empat pendapat:
Pertama: Ilmu Allah. Ini pendapat Ibn Abbas r.a..
Kedua: Kekuasaan Allah.
Ketiga: Milik Allah s.w.t..
Keempat: Pentadbiran Allah s.w.t..
Jika dikatakan ianya daripada jenis kerajaan Allah s.w.t., maka ada tiga pendapat:
Pertama: Ianya bermaksud Arasy itu sendiri. Ini pendapat Imam Al-Hasan.
Kedua: Ia adalah hamparan singgahsana di bawah Arasy.
Ketiga: Ianya adalah Kursi di bawah Arasy sedangkan Arasy pula di atas air.” [An-Nukat wa Al-‘Uyun]
Namun, Imam Al-Mawardi menguatkan pendapat bahawasanya Al-Kursi adalah ilmu Allah s.w.t. sebagaimana Imam At-Tabari r.a.. Samada para ulama’ yang menguatkan pendapat Al-Kursi sebagai ilmu Allah atau menguatkan pendapat bahawasanya Al-Kursi adalah makhluk yang diciptakan di bawah Arasy dan sebagainya, mereka tetap bersepakat dengan pegangan Tanzih iaitulah, Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak beranggota kerana kedua-duanya adalah sifat-sifat baharu yang tidak layak bagi Allah s.w.t..
Oleh yang demikian, para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah telah membuat kesimpulan tentang tafsiran Ibn Abbas r.a. versi “tempat letaknya kaki” ini dengan beberapa pendirian:
Pertama: Tafsiran tersebut hanyalah kiasan. Ini dipegang oleh Imam As-Suyuti dan kebanyakan ulama’ khalaf sebagaimana disebut oleh Imam Al-Alusi dalam Ruh Al-Ma’ani.
Kedua: Ianya adalah tafsiran bagi kalimah Al-Kursi dari sudut bahasa, bukan penjelasan terhadap makna Al-Kursi dalam konteks ayat. Oleh kerana itulah, Saidina Ibn Abbas r.a. tidak menisbahkan Al-Kursi kepada Allah s.w.t., begitu juga tempat letak kaki kepada-Nya secara jelas. Bahkan, disebabkan demikianlah, ramai para ulama’ tidak menyebut riwayat ini dalam kitab-kitab tafsir mereka pada ayat berkenaan. Antara mereka adalah: Imam An-Nasafi, Imam Al-Khazin, Imam Al-Baghawi, Imam As-Showi, Imam As-Syirbini dan sebagainya.
Ketiga: Sebahagian ulama’ tidak menisbahkan tempat letak kaki tersebut kepada Allah s.w.t. tetapi sebaliknya menisbahkannya kepada malaikat dan sebagainya. Ia adalah pendapat Imam Al-Razi dan Imam Abu Al-Hayyan.
Keempat: Sebahagian ulama’ menolak riwayat tersebut disebabkan ianya menyalahi dalil yang lebih kuat. Ini juga menjadi salah satu pendapat Imam Al-Razi dan dipegang oleh Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari sebagaimana dalam Fath Al-Mu’in.
Kelima: Ramai para ulama’ tafsir menguatkan tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. versi “Al-Kursi adalah ilmu Allah” berbanding tafsirannya versi “tempat letaknya kaki”. Antara mereka adalah Imam At-Tabari, Imam Al-Mawardhi dan sebagainya. Begitu juga dalam Tafsir Al-Jalalain dan Hasyiyah As-Showi.
Keenam: Ia adalah perkataan sahabat r.a.. Ia tidak sampai kepada tahap boleh menjadikan hujah asas dalam sesuatu masalah aqidah yang Usul, apatah lagi lafaz zahirnya bertetangan dengan nas-nas qat’ie yang menafikan kelaziman-kelaziman jisim daripada Allah s.w.t. (tajsim dan tasybih).
Ketujuh: Ramai para ulama’ tafsir tidak memasukkan perkataan Saidina Ibn Abbas r.a. berkenaan tempat letak kaki ini dalam kitab-kitab tafsir mereka dalam menafsirkan kalimah Al-Kursi dalam ayat Al-Kursi. Antara mereka adalah: Imam Al-Mahalli, Imam As-Suyuti (dalam tafsir Al-Jalalain) Imam An-Nasafi, Imam Al-Khazin, Imam Al-Baghawi, Imam As-Syirbini, Imam Al-Showi dan sebagainya.
Apa yang penting, kita mengetahui bahawa, asas pendirian-pendirian para ulama’ sebagaimana telah disebutkan adalah: Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak beranggota kerana kedua-duanya adalah kelaziman yang baharu.
Maka, hendaklah kita melihat asas aqidah As-Salaf yang menjadi pegangan para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Imam At-Tohawi (321H) berkata juga ketika menjelaskan tentang aqidah Imam Abu Hanifah (150 H) dan anak muridnya:
“Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).” [matan Aqidah Tohawiyah]
Adakah Imam At-Tahawi r.a. dan para ulama’ sebelum beliau yang menafikan tempat dan anggota daripada Allah s.w.t. tidak cukup “salafi” berbanding para pengaku salafi akhir zaman ini yang berpegang dengan fahaman Allah s.w.t. bertempat dan beranggota, (walaupun bagi mereka anggota dan tempat yang tidak seperti makhluk)? Sudah pastilah, pendirian kita yang tegas untuk mengikut pegangan para ulama’ salaf yang benar-benar salaf dari sudut zaman dan pendirian berbanding mengikut para pengaku yang padahal hanya mengikut segelintir individu sebelum mereka yang pernah wujud dalam lipatan sejarah Islam sepanjang zaman.
Amat menghairankan, ketika mana membincangkan tentang ayat-ayat Al-Qur’an, ada pihak yang tidak terlebih dahulu merujuk kitab-kitab tafsir yang disusun oleh para mufassirin yang diakui keahlian mereka dalam bidang tafsir, tetapi lebih senang merujuk individu-individu tertentu yang tidak pernah mempunyai sebarang karangan berbentuk tafsir Al-Qur’an secara keseluruhan, hanya kerana individu-individu tersebut mempunyai kerangka fahaman yang sama dengan mereka. Bukankah setiap bidang ada ahlinya? Maka, dalam bidang tafsir juga, para ahlinya adalah para Mufassirin, khususnya mereka yang dipegang oleh majoriti ulama’ dan kitab-kitab tafsir mereka mendapat penerimaan ramai ulama’.
Hatta dalam satu bidang yang sama, seperti bidang fiqh misalnya, namun dalam sesuatu mazhab yang berbeza, maka bagi seseorang untuk mengetahui dan mendalami pendapat sesuatu mazhab dalam satu masalah, maka lebih utama dia merujuk kitab-kitab karangan ulama’ mazhab yang dimaksudkan tersebut, walaupun kitab-kitab karangan ulama’ yang berbeza mazhab mungkin ada membahaskan mazhab yang dimaksudkan, namun sekadar berbentuk perbandingan, bukan secara spesfik, mendalam dan penuh keahlian.
Seseorang yang ingin mengkaji pendapat mazhab As-Syafi’e dalam sesuatu masalah misalnya, sudah pasti merujuk kitab-kitab karangan fuqaha’ Syafi’iyyah seperti karangan Imam As-Syafi’e r.a. sendiri, Imam Al-Muzani, Imam Al-Buwaithi, Imamul Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Rafi’e, Imam An-Nawawi, Imam Ibn Hajar Al-Haitami, Imam Ar-Ramli, Imam Al-Hisni dan sebagainya. Itu lebih utama daripada merujuk kitab-kitab karangan Fuqaha’ Hanabilah atau Fuqaha’ Malikiyyah untuk mengetahui pendirian mazhab As-Syafi’e dalam sesuatu masalah, kerana fokus dan keahlian para Fuqaha’ Syafi’iyyah terhadap mazhab mereka lebih tinggi berbanding ahli fiqh yang bermazhab selain mazhab mereka terhadap mazhab mereka (As-Syafi’e).
Begitu juga dalam bidang yang berbeza-beza. Maka, sudah pastilah dalam bidang tafsir Al-Qur’an, seseorang perlu terlebih dahulu merujuk kitab-kitab tafsir sebelum kitab-kitab yang lain dan mengutamakan kajiannya dengan merujuk perbahasan para Mufassirin yang muktabar yang sudah menulis kitab-kitab tafsir secara lengkap berbanding individu-individu yang tidak dikenali dari kalangan para Mufassirin atau tidak mempunyai kitab-kitab tafsir khusus dalam penafsiran Al-Qur’an secara lengkap. Oleh sebab itulah ketika cuba menyoroti masalah tafsiran Ibn Abbas r.a. ini, kita perlu rujuk terlebih dahulu kitab-kitab tafsir yang muktabar selain kitab-kitab lain karangan para ulama’ muktabar juga, sebagai perbandingan dan penguat hujah. Setiap bidang ada ahlinya yang diperakui di sisi para ulama’ Islam. Ini perlu difahami oleh setiap penuntut ilmu sebelum terjun ke dalam bidang yang lebih mendalam iaitulah bidang kajian ilmiah, perbahasan dan sebagainya.
Semoga Allah s.w.t. menjaga aqidah umat Islam daripada kepincangan, kesesatan dan penyelewangan dan menyelamatkan mereka (dan kami semua) daripada ancaman golongan pinggiran (syaz) terutamanya dalam bidang aqidah. Amiin…
Wallahu a’lam…
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
‘Amalahullahu bi lutfiHi Al-Khafiy
* * * *
Rujukan:
Al-Qur’an dan Kitab-kitab Tafsir
- Al-Qur’an Al-Karim
- Tafsir Al-Thauri
- Tafsir At-Tabari Imam At-Tabari
- Tafsir At-Tabrani oleh Imam At-Tabrani
- An-Nukat wa Al-‘Uyun oleh Imam Al-Mawardi
- Tafsir Ibn Adil oleh Imam Ibn Adil Al-Hanbali
- Mafatih Al-Ghaib oleh Imam Fakhruddin Al-Razi
- Tafsir Al-Qur’an Al-Karim oleh Imam Fairuzabadi
- Ad-Durr Al-Manthur oleh Imam As-Suyuti
- Fath Al-Qadir oleh Imam As-Syaukani
- Al-Jami’e Li Ahkam Al-Qur’an oleh Imam Al-Qurtubi
- Ma’alim At-Tanzil oleh Imam Al-Baghawi
- Tafsir Al-Jalalain oleh Imam Al-Mahalli dan Imam As-Suyuti
- Madarik At-Tanzil wa Haq’iq At-Ta’wil oleh Imam An-Nasafi
- Lubab At-Ta’wil fi Ma’ani At-Tanzil oleh Imam Al-Khazin
- Tafsir As-Siraj Al-Munir oleh Imam As-Syirbini r.a.
- Al-Bahr Al-Muhith oleh Imam Al-Alusi
Kitab-kitab Hadith dan Ulum-Hadith
- Sahih Muslim oleh Imam Muslim bin Al-Hajjaj
- Sunan Abi Daud oleh Imam Abu Daud
- Sunan At-Tirmizi oleh Imam At-Tirmizi
- Sahih Ibn Hibban oleh Imam Ibn Hibban
- Musnad Ahmad oleh Imam Ahmad bin Hanbal
- Al-Mustadrak oleh Imam Al-Hakim
- Al-Ilal Al-Mutanahiyyah oleh Imam Ibn Al-Jauzi
- Fath Al-Bari oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani
- Taghliq At-Ta’liq ‘ala Sahih Al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani
- Tahzib At-Tahzib oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani
- Tahzib Al-Kummal oleh Imam Al-Mizzi
Kitab-kitab Aqidah
- Al-Fiqh Al-Absath oleh Imam Abu Hanifah
- Al-Aqidah At-Tohawiyah oleh Imam At-Tahawi
- Al-Farq bain Al-Firaq oleh Imam Abdul Qahir Al-Baghdadi
- Al-Asma’ wa As-Sifat oleh Imam Al-Baihaqi
- Ittihaf Saadah Al-Muttaqin oleh Imam Murtada Az-Zabidi
- Fath Al-Mu’in oleh Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari
- I’lam Ath-Thaqalain oleh Sheikh Hasan As-Saqqaf
Kitab-kitab Lughah
- Lisan Al-‘Arab oleh Imam Ibn Manzhur
- Al-Qamus Al-Muhith oleh Imam Fairuzabadi