Join MultiplyOpen a Free ShopSign InHelp
MultiplyLogo
SEARCH
Blog EntryOct 19, '10 10:35 AM
for everyone

Tradisi dan Falsafah Ilmu dalam Al-Qur’an

 

 

Fasal Pertama: Tradisi Ilmu dan Berfikir

 

Dasar dan Manhaj Ilmiah dalam Al-Qur’an

 

Al-Qur’an juga menyeru ke arah pembangunan budaya intelektual dalam masyarakat Islam. Ia adalah antara pendorong utama dalam membangunkan bidang ilmu pengetahuan. Al-Qur’an mementingkan konsep pembuktian ke arah kebenaran dan hakikat, bukan sekadar dakwaan, khayalan, mitos dan hipotisis.

 

Seruan ke Arah Realiti

 

Allah s.w.t. juga mengingatkan manusia agar berpijak di bumi yang nyata dan memahami sesuatu secara realitinya. Oleh yang demikian, Al-Qur’an banyak mengkritik mereka yang masih hidup dalam khayalan dan persepsi paslu terutamanya dalam masalah ketuhanan. Ketika ilmu pengetahuan sudah semakin berkembang, bagaimana masih ada lagi manusia yang boleh menyembah makhluk-makhluk atau objek yang tidak pernah memberi sebarang manfaat atau mudarat kepada manusia.

 

Oleh yang demikian, Al-Qur’an mengingatkan hakikat pengabdian yang sebenar adalah kepada Tuhan yang menciptakan seluruh alam ini termasuklah diri manusia dan segala objek-objek di sekeliling mereka. Allah s.w.t. berfirman:

 

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari maupun bulan, tapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika ialah yang kamu hendak sembah. (Surah Fussilat: 37)

 

Sekalian makhluk Allah s.w.t. adalah bukti keagungan Allah s.w.t.. Namun, ramai manusia masih terkeliru dengan makhluk sehingga melupakan Allah s.w.t., Tuhan Maha Benar di sebalik kejadian makhluk-makhlukNya.

 

Ini juga menunjukkan betapa Islam menolak asas pemikiran Sophisme yang menafikan kebenaran mutlak dalam kewujudan ini. Al-Qur’an menjelaskan betapa alam semesta dan kewujudan makhluk ini mempunyai asas kebenarannya yang mutlak dan menunjukkan kebenaran hakiki tentang ketuhanan Allah s.w.t..

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُواْ فِيۤ أَنفُسِهِمْ مَّا خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلاَّ بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى وَإِنَّ كَثِيراً مِّنَ ٱلنَّاسِ بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ لَكَافِرُونَ

 

Maksudnya:

 

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan kebenaran dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan Pertemuan dengan Tuhannya. (Surah Ar-Rum: 8)

 

Kejadian makhluk diciptakan dengan kebenaran dan merujuk kepada kewujudan dan kekuasaan Tuhan yang Maha Benar. Dengan demikian, tertolaklah fahaman golongan yang menafikan kebenaran secara mutlak atau menganggap kebenaran itu sesuatu yang tidak dapat dibuktikan.

 

Alam ciptaan Allah s.w.t. mempunyai fungsi dan tujuan yang tersendiri dalam mencerminkan sifat kebijaksanaan Allah s.w.t.. Fungsi dan peranan setiap makhluk adalah bukti kebijaksaan Allah s.w.t. itu sendiri. Allah s.w.t. mengingatkan hal ini dalam firman-Nya:

 

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka. (Surah Shad: 27)

 

Allah s.w.. berfirman:

 

Dan tidaklah Kami ciptakan Iangit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main (Surah Al-Anbiya’: 16)

 

Peringatan ini menjadi asas pendorong ke arah penyelidikan saintifik dalam meneroka setiap fungsi sesuatu di sekeliling manusia. Ini menunjukkan Al-Qur’an menjadi pedoman dan pendorong dalam bidang kemajuan dan penyelidikan saintifik di samping ilmu-ilmu yang lain.

 

Konsep Ilmu Bersepadu

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

1. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan,

2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,

4. yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam

 

(Surah Al-‘Alaq: 1-4)

 

Malah, berdasarkan ayat tersebut juga kita fahami bahawasanya, Islam menggalakkan kita menuntut ilmu yang bersifat bersepadu (intergrated knowladge) yang mana setiap ilmu tersebut mendekatkan diri kita kepada kewujudan dan keagungan Allah s.w.t., bukan menjauhkan kita daripada konsep ketuhanan sebagaimana sifat ilmu yang cuba dikembangkan oleh masyarakat Barat moden iaitulah ilmu yang terpisah (departmentalised knowladge).

 

Isyarat kesepaduan ilmu ini didapati pada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: “bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”, yang menunjukkan bahawasanya, ilmu itu semestinya sesuatu yang mendekatkan dirimu kepada Maha Pencipta itu sendiri (taqarrub).

 

Konsep Pemikiran Islam

 

Banyak saranan dalam Al-Qur’an yang mengajak kepada berfikir. Bahkan, Islam tidak menolak kepentingan berfikir untuk mencari kebenaran malah menekankan kepentingan membuktikan kebenaran dan menetapkan adanya kebenaran mutlak yang hakiki.

 

Al-Qur’an menyebut:

 

Katakanlah: "Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar". (Surah Al-Baqarah: 111)

 

Dalam masalah keagamaan dan prinsip ajaran sesuatu agama juga, Islam menyeru kepada konsep pembuktian ke arah kebenaran, terutamanya kepada Ahlul-Kitab yang mengaku mengikut Allah s.w.t., padahal telah mengubah ajaran Allah s.w.t. lalu sudah menjauhi ajaran sebenar para rasul a.s..

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

Semua makanan adalah halal bagi Bani Israil melainkan makanan yang diharamkan oleh Israil (Ya'qub) untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah: "(Jika kamu mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat), Maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah Dia jika kamu orang-orang yang benar".(Surah Ali Imran: 93)

 

Begitu juga kepada mereka yang menyembah tuhan-tuhan selain Allah s.w.t. hanya kerana mengikut nenek-moyang mereka melakukannya, walaupun setelah nyata bukti bahawa tuhan-tuhan sembahan mereka tidak pernah mampu memberi mudarat dan manfaat sama sekali. Allah s.w.t. turut mengkritik budaya tidak mahu berfikir untuk mencari kebenaran tetapi lebih rela untuk mengikut apa sahaja yang dilakukan oleh nenek-moyang mereka terutamanya dalam masalah ketuhanan.

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

Kemudian mereka mengambil tuhan-tuhan selain daripada-Nya (untuk disembah), yang tuhan-tuhan itu tidak menciptakan apapun, bahkan mereka sendiri diciptakan dan tidak Kuasa untuk (menolak) sesuatu kemudharatan dari dirinya dan tidak (pula untuk mengambil) suatu kemanfaatanpun dan (juga) tidak Kuasa mematikan, menghidupkan dan tidak (pula) membangkitkan. (Surah Al-Furqan: 3)

 

Al-Qur’an Membuktikan Kebenarannya

 

Dalam bentuk penghujahan, banyak ayat Al-Qur’an menyebut tentang bukti kebenaran Al-Qur’an yang cuba dipersoalkan oleh para musuh Islam. Ini juga menjadi petunjuk jelas di mana Al-Qur’an mengajar umat Islam agar membuktikan kebenaran Islam dengan segenap hujah yang mampu mereka rangka dan susun dalam usaha untuk mengalahkan tohmahan musuh-musuh Islam di samping menjelaskan kebenaran Islam itu sendiri.

 

Allah s.w.t. berfirman

 

Ataukah mereka mengatakan: "Dia (Muhammad) membuat-buatnya". sebenarnya mereka tidak beriman. (33) Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimah yang semisal Al Quran itu jika mereka orang-orang yang benar. (34) (Surah At-Thur: 33-34)

 

Allah s.w.t. berfirman lagi:

 

Bahkan mereka mengatakan: "Muhammad telah membuat-buat Al Quran itu", Katakanlah: "(Kalau demikian), Maka datangkanlah sepuluh surat-surat yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar". (Surah Hud: 13)

 

Allah s.w.t. berfirman lagi:

 

Atau (patutkah) mereka mengatakan "Muhammad membuat-buatnya." Katakanlah: "(Kalau benar yang kamu katakan itu), maka cubalah datangkan sebuah surah seumpamanya dan panggillah siapa-siapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang yang benar." (Surah Yunus: 38)

 

Allah s.w.t. berfirman lagi:

 

Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (saja) yang seumpama Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) ,dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24) (Surah Al-Baqarah: 23-24)

 

Al-Qur’an menggunakan manhaj dialog dan pembuktian ke arah kebenaran dengan mencabar orang-orang yang meragui Al-Qur’an sebagai wahyu Allah s.w.t., agar mendatangkan suatu kitab seumpama Al-Qur’an, atau suatu surah sahaja seumpama Al-Qur’an, dari sudut ketinggian seni bahasanya, keluasan ilmunya dan penghayatannya yang mendalam.

 

Demikianlah antara asas-asas pembangunan bidang ilmu pengetahuan yang dibentangkan dalam Al-Qur’an iaitulah konsep pembuktian ke arah kebenaran dan mencari hujah-hujah dan bukti terhadap kebenaran sesuatu agar orang-orang lawan akan menerima hakikat kebenaran tersebut dengan minda yang terbuka. Begitu juga, kaedah pembuktian (istidlal) ini adalah antara intipati dalam perkembangan bidang ilmu pengetahuan itu sendiri.

 

Bentuk-bentuk Tafakkur dalam Al-Qur’an

 

Al-Qur’an menyebut banyak kepentingan dalam bertafakur atau berfikir. Antara bentuk-bentuk tafakur terebut adalah:

 

Berfikir (tafakur) tentang nikmat Allah s.w.t. agar bersyukur kepadanya:-

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 

Allah-lah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat berlayar padanya dengan seizin-Nya dan supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. (Surah Al-Jathiyyah: 12)

 

Berfikir tentang hikmah Allah s.w.t. di sebalik kejadian alam:-

 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 

(Orang-orang bertaqwa adalah) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring serta memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini (langit dan bumi) dengan sia-sia…” (Surah Ali Imran: 191)

 

Berfikir tentang hakikat diri dan hari kemudian:-

 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. dan Sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan Pertemuan dengan Tuhannya. (Surah Ar-Rum:8)

 

Berfikir tetaang hakikat dunia yang sementara:-

 

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

 

Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya karena air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-permliknya mengira bahwa mereka pasti menguasasinya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.  (Surah Yunus: 24)

 

 

Fasal Kedua: Falsafah Ilmu

 

Al-Qur’an dan Falsafah Ilmu

 

Falsafah ilmu adalah suatu yang membahaskan tentang trilogi ilmu iaitu yang melibatkan ontologi, epistemologi dan aksiologi ilmu. Adapun ontologi ilmu adalah suatu perbahasan berkaitan ruang lingkup dan hukum ilmu. Epistemologi ilmu pula menyentuh tentang bagaimana memperoleh ilmu tersebut, masalah kebenaran dan ciri-cirinya serta metodologinya. Sedangkan aksiologi ilmu pula membahaskan tentang nilai ilmu dan para ulama’ dan ilmuwan.

 

Falsafah itu sendiri berkait rapat dengan berfikir tetapi dengan beberapa ciri iaitu:

 

  • Berfikir secara radikal, iaitu secara mendalam sehingga ke akar umbi sesuatu.
  • Berfikir secara universal, iaitu secara umum dan meluas.
  • Berfikir secara integral, iaitu bersepadu secara lengkap pada setiap bahagiannya.

 

Namun, apabila ianya digunakan dalam istilah falsafah ilmu, maka ianya lebih menjurus kepada perbahasan tentang ilmu itu sendiri, samada hakikat ilmu, sumber ilmu, hukum dan kaedah ilmu serta nilai ilmu dan ahli ilmu. Ia dirangkum dalam perbahasan trilogi yang menjadi kerangka dan komponen utama bagi perbahasan secara berfalsafah.

 

Al-Qur’an adalah pentunjuk daripada Allah s.w.t. yang menjelaskan tentang hakikat-hakikat sesuatu. Maka, ianya juga secara tidak langsung ada menyentuh tentang falsafah ilmu tersebut secara umum.

 

Ontologi: Hakikat dan Hukum Ilmu

 

Ontologi Ilmu (1): Hakikat Ilmu

 

Masalah ontologi ilmu ialah masalah ruang lingkup ilmu iaitu samada ianya terbatas kepada alam fizikal sahaja atau merangkumi alam metafizikal. Sedangkan, ontologi dalam falsafah merangkumi kedua-duanya iaitu alam fizikal dan perkara-perkara metafizikal (di sebalik alam fizikal).

 

Dalam hidup manusia, mereka tidak terlepas daripada dua bentuk masalah iaitulah masalah asasi dan masalah segera. Adapun masalah asasi mencakupi persoalan hakikat diri, hakikat kehidupan dan sebagainya. Ia kembali kepada tiga soalan utama iaitu dari mana, ke mana dan mengapa. Sedangkan, masalah segera adalah mencakupi masalah-masalah harian yang tidak memerlukan penjelasan yang mendalam.

 

Sebahagian ahli ilmu membezakan antara ilmu pengetahuan dengan falsafah dari sudut ilmu pengetahuan menjelaskan tentang masalah-masalah segera sedangkan falsafah lebih meluas sehingga membahaskan tentang masalah asasi seperti agama. Bahkan, falsafah dinilai sebagai alternatif bagi agama apabila seseorang tidak lagi menerima sebarang ajaran agama sebagai panduan hidup.

 

Daripada inilah munculnya tiga aliran dalam melihat pertembungan antara bidang ilmu dan bidang falsafah tentang masalah ontologi (ruang lingkup). Aliran pertama berteraskan semangat dualisme dan dikotomi antara kedua-dua bidang tersebut. Bagi aliran ini, setiap disiplin ilmu mempunyai ciri-ciri khas yang tidak seharusnya memasuki ruang lingkup antara satu dengan yang lain.

 

Aliran kedua menekankan prinsip kerjasama atau inter-disiplin antara kedua-dua bidang walaupun antara kedua-duanya ada batasan. Ia umpama jiran tetangga yang saling menjeguk antara satu sama lain tetapi berbeza dan bersempadan.

 

Aliran ketiga menekankan prinsip integrasi atau bersepadu antara kedua-dua bidang tersebut. Tradisi ini diamalkan oleh masyarakat Timur dalam tradisi holistik di nama agama menjadi teras dalam ilmu dan kehidupan masyarakat secara menyeluruh lalu ajaran agama merangkumi kedua-dua masalah manusia. Ia memainkan peranan ilmu dan falsafah sekaligus. Cuma, masyarakat Barat sahaja yang terlibat dalam kedua-dua aliran sebelum ini walaupun ada juga yang masih berpegang dengan aliran integrasi ini. Ia seterusnya membentuk klasifikasi dan peringkat ilmu (maratib al-ilm).

 

Dalam ajaran Islam, ilmu adalah suatu yang bersepadu kerana ianya bersumberkan ajaran agama yang paling utama. Namun, ianya mempunyai peringkat-peringkatnya seperti ilmu fardhu ‘ain, ilmu fardhu kifayah dan sebagainya. Fardhu ‘ain adalah suatu yang wajib dilakukan oleh setiap mukallaf (sudah sampai tahap diwajibkan syariat Islam ke atasnya) secara individu. Adapun fardhu kifayah adalah suaut yang diwajibkan ke atas setiap mukallaf namun jika ada sebahagian daripada individu dalam masyarakat tersebut telah melakukannya, maka gugurlah tanggungjawab itu ke atas selain mereka.

 

Oleh yang demikian, ajaran agama Islam menuntut umatnya mempelajari ilmu yang bersifat fardhu ‘ain seperti aqidah Islam yang asas, fiqh Islam yang asas dan tasawwuf atau akhlak Islam yang asas.  Begitu juga, ajaran agama Islam menuntut umatnya mempelajari ilmu yang bersifat fardhu kifayah seperti mendalami ilmu-ilmu agama, mendalami ilmu-ilmu keduniaan dan sebagainya dengan tuntutan bersifat berkelompok.

 

Peringkat ilmu dalam Islam juga menetapkan penjelasan tentang persoalan-persoalan asasi (masalah asasi) seperti hakikat diri, hakikat ketuhanan, masalah-masalah akhirat dan keimanan, hubungan kehambaan dan sebagainya lebih utama berbanding penjelasan tentang persoalan-persoalan segera seperti urusan keduniaan dan sebagainya.

 

Ontologi Ilmu (2): Hukum Ilmu

 

Dalam perbahasan falsafah, masalah hukum juga adalah antara perbahasan dan persoalan yang besar, apatah lagi dalam masalah ontologi ilmu. Ia berkaitan dengan hukum (law) yang melibatkan masalah sebab dan akibat (cause and effect).

 

Hukum menurut ulama’ Islam adalah, menisbahkan sesuatu kepada sesuatu atau menafikannya daripadanya (sesuatu tersebut). Maka, hukum terbahagi kepada tiga:

 

Pertama: Hukum Akal

Kedua: Hukum Syarak

Ketiga: Hukum Adat

 

Hukum akal dibahaskan dalam masalah ilmu logik atau ilmu mantik pada masalah sumber ilmu nanti. Adapun hukum syarak, maka ianya adalah berkenaan ajaran agama dan nilai-nilai praktikal bagi seseorang hamba. Adapun hukum adat inilah yang dibahaskan dalam masalah hukum ilmu ini, berkenaan dengan kedudukannya dalam lapangan ilmu-ilmu dan samada ianya suatu yang tetap ataupun tidak.

 

Prinsip Tauhid dalam Ajaran Islam

 

Al-Qur’an yang merupakan antara rujukan utama umat Islam menjelaskan tentang konsep tauhid yang murni dalam berinteraksi dengan makhluk-makhluk Allah s.w.t., samada diri manusia sendiri mahupun alam ini.

 

Antara konsep utama ajaran tauhid Islam dalam memerhatikan alam ini dan diri manusia adalah melihat ianya sebagai bukti kewujudan Allah s.w.t.. Maka, alam dan manusia tidak pernah terlepas daripada merujuk kepada kewujudan Allah s.w.t. dan pengaruh kekuasaanNya.

 

Alam ini dan manusia berada dalam pengaruh kekuasaan Allah s.w.t.. Allah s.w.t. menentukan setiap perkara yang berlaku dalam makhluk-makhlukNya berdasarkan kehendakNya yang berteraskan ilmuNya yang Maha Sempurna.

 

Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu". (Surah As-Shaffat: 96)

 

Maka, hukum adat yang diletakkan dalam alam ini yang dikenali sebagai hukum sebab dan akibat (cause and effect) adalah suatu hukum yang bernaung di bawah kekuasaan mutlak Allah s.w.t., bukan terasing daripada pengaruh ketuhanan. Maka, sejauhmana ianya tetap ataupun tidak, ianya tetap mengikut kehendak Allah s.w.t.. Ianya adalah sebagai bukti kebijaksanaan Alah s.w.t. yang menciptakan makhluk-makhlukNya dalam suatu hukum yang sempurna.

 

Oleh yang demikian, para ulama’ Islam dalam melakukan penyelidikan dan kajian, samada dalam bidang sains tabi’e mahupun sains sosial, mereka tidak menghadapi sebarang krisis dan petembungan prinsip kerana mereka menghayati semua makhluk kembali kepada perbuatan dan ketentuan Allah s.w.t.. Maka, mereka tidak hanyut dalam masalah hukum ini sehingga membawa kepada anti-ketuhanan sebagaimana dipegang oleh kebanyakan ilmuwan dan ahli falsafah Barat.

 

Keseimbangan Antara Prinsip Saintifik dan Prinsip Humanistik

 

Ketika persoalan hukum (law) ini jelas kedudukannya dalam neraca ajaran Islam, namun ianya menjadi isu perdebatan dalam kalangan ahli-ahli ilmu di Barat terutamanya mereka yang jauh daripada mengamalkan ajaran keagamaan.

 

Dalam tradisi Barat, wujud dualisme antara bidang ilmu sains tabi’e yang melibatkan alam dengan bidang ilmu sains sosial yang melibatkan manusia. Dikotomi (pemisahan) antara kedua-dua bidang ini timbul disebabkan cara pemerhatian sesetengah ahli akademik yang melihat bawa, bidang sains tabi’e memerlukan kepada penjelasan (explaination) sedangkan bidang sains sosial lebih memerlukan kepada memahami (understanding) atau penghayatan (feeling).

 

Daripada inilah, sebahagian tokoh Barat (seperti Wilhelm Windelband dan sebagainya) menekankan dua jenis ilmu iaitu ilmu nomotetik seperti ilmu sains dan ilmu idiografik seperti ilmu sejarah. Bagi mereka, ilmu nomotetik ini mempunyai sifat-sifat umum (general) dan sejagat (universal) sehingga dapat membawa kepada rumusan pola-pola hukum (nomos) sedangkan ilmu idiografik tidak membawa kepada rumusan pola-pola hukum kerana melibatkan manusia yang mempunyai ciri-ciri khusus yang berbeza antara individu.

 

Namun, sebahagian tokoh Barat terkemudian cuba merapatkan jurang antara ilmu nomotetik dan idiografik ini dengan menjadikan salah satu sebagai pemimpin kepada salah satu yang lainnya. Namun, tetap sahaja berlaku pertembungan antara aliran kerana kedua-dua ilmu tersebut (samada nomotetik dan idiografik) tidak mampu bertindak sebagai ilmu yang memimpin.

 

Maka, sesetengah tokoh dan ahli ilmu Barat mula melihat dan mempelajari perspektif Islam terhadap kedua-dua ilmu ini dan bagaimana para ulama’ Islam tidak terlibat dalam memahami kedua-dua bidang ilmu ini secara terpisah atau dikotomi tetapi sebaliknya secara integrasi (bersepadu).

 

Sudah pastilah asasnya adalah apabila ajaran Islam meletakkan ilmu wahyu sebagai ilmu yang memimpin segala cabang ilmu yang berada di bawahnya. Bahkan, unsur ketauhidan adalah unsur yang paling kuat dalam menyatukan pandangan terhadap bidang-bidang ilmu. Maka, sesetengah ahli ilmu Islam menamakan prinsip ini sebagai prinsip Rabbani di mana ianya merupakan prinsip yang mejadikan wahyu Allah s.w.t. sebagai panduan utama dalam melihat kepada ilmu-ilmu yang cabang.

 

Adapun prinsip Saintifik, maka ianya mempunyai pola-pola hukum yang bersifat umum dan sejagat. Ianya juga mengandungi hukum yang dikenali sebagai sebab dan akibat (cause and effect) yang tetap. Dengan sifat-sifat tersebutlah, maka dapat dibuat ramalan (prediction) tentang kejadian yang bakal berlaku di masa hadapan.

 

Penjelasan saintifik juga tidak semestinya berteraskan satu bentuk sahaja tetapi ianya terdiri daripada dua bentuk iaitu samada ianya bersifat boleh diramalkan dengan tepat (predictable) mahupun ianya dalam bentuk kebarangkalian (probability). Namun, dalam kaca mata tauhid, penjelasan saintifik yang bersifat boleh diramalkan juga sebenarnya tidak secara mutlak “tetap” kerana hukum tersebut tetap berada di bawah pengaruh kekuasaan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

 

Maka, ajaran Islam juga ada menyebut tentang konsep khariq Al-‘Adat atau suatu yang mencarik adat di mana dengan izin, kuasa, kehendak dan ketentuan Allah s.w.t., sesuatu itu berlaku di luar hukum (nomos) adatnya yang asal. Khariq Al-‘Adat ini dikenali dengan pelbagai bentuk seperti Mukjizat bagi Rasul dan Nabi, karamah bagi para wali, Ma’unah bagi orang-orang soleh, Istidraj bagi orang-orang yang dibenci dan sihir bagi mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu tertentu yang selalunya melibatkan jin dan sebagainya. Jadi, peruntukan terhadap konsep khariq Al-‘Adat ini merupakan suatu daripada maksud ajaran murni tauhid Islam dalam menunjukkan keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t..

 

Bahkan, dalam perkembangan bidang fizik misalnya, sudah mula timbul kritikan-kritikan terhadap hukum-hukum Newton yang menyatakan bahawasanya, empat komponen utama seperti zat, gerak, ruang dan waktu adalah suatu yang bersifat absolut (tetap) namun Albert Eintein menyatakan bahawa empat komponen tersebut bersifat relatif. Kemunculan teori kuantum seterusnya teori mekanik kuantum menyemarakkan lagi prinsip indeterminitik ini dalam bidang fizik. Ini menjurus kepada suatu perkembangan di mana prinsip saintifik dalam bidang sains tabi’e sudah tidak lagi bersifat nomotetik sebagaimana ianya difahami suatu ketika dahulu seterusnya membuka lembaran baru untuk mengurangkan jurang antara bidang sains tabi’e dengan bidang sains sosial secara akademik.

 

Prinsip Humanistik pula adalah asas bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan. Ia melibatkan dua jenis iaitu penjelasan fungsional/teleologikal yang berkisar penjelasan tentang tujuan tertentu dan penjelasan genetik/historikal yang berkisar tentang penjelasan tentang peristiwa yang telah berlaku.

 

Perbezaan cara memandang kepada prinsip saintifik dengan prinsip humanistik dalam tradisi Barat kembali kepada perbezaan cara memahami alam dan manusia itu sendiri. Adapun prinsip saintifik yang menjelaskan tentang alam, maka ianya lebih bersifat deterministik kerana alam bergerak dalam sebuah hukum sebab dan akibat yang seragam, umum dan sejagat bagi setiap individunya sedangkan manusia bergerak dengan kebebasan berkehendak (free will) yang berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Maka, konsep kebebasan dalam berkehendak yang dimiliki oleh manusia inilah yang menjadi teras kepada penjelasan humanistik (yang bersifat idiografik) yang menyebabkan ianya berbeza daripada penjelasan saintifik dalam berinteraksi dengan alam.

 

Konsep kebebasan dalam berkehendak (free will) dalam pemahaman Barat dan Atheis adalah antara hambatan terhadap usaha pengintegrasian antara bidang ilmu sains tabi’e dengan ilmu sains sosial.

 

Dalam ajaran Islam, kehendak manusia juga tidak terlepas daripada pengaruh kekuasaan Allah s.w.t. sebagaimana juga alam ini seluruhnya tidak terlepas daripada pengaruh kekuasaan Allah s.w.t.. Maka, dari sudut ini, manusia dan alam adalah sama iaitu tidak terlepas daripada pengaruh kekuasaan Allah s.w.t.. Bezanya adalah pada rasa memilih dalam diri manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka sebagai hujah ke atas perbuatan mereka kelak sedangkan hakikatnya, kehendak manusia juga adalah dalam kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, ahli sunnah wal jamaah sepakat bahawasanya, kehendak dan perbuatan manusia adalah daripada perbuatan Allah s.w.t. namun perbuatan mereka dinisbahkan kepada mereka secara syarak.

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

Dan kamu tidak mahu, kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Insan: 30)

 

Maka, samada bentuk nomotetik yang menjadi teras alam ataupun bentuk idiografik yang tersemat dalam kemanusiaan manusia, maka ianya hanyalah antara bukti-bukti kebijaksanaan Allah s.w.t. yang mana kedua-duanya bukanlah suatu hukum yang mutlak sehingga menyebabkan kedua-duanya saling tepisah. Sebagaimana ada ruang menyalahi hukum asal dalam bidang sains tabi’e yang mengurangkan kemutlakan bentuk deterministik dalam prinsip saintifiknya, begitu juga ada ruang hukum yang tetap (iaitulah ketentuan Allah s.w.t.) dalam bidang sains sosial yang mengurangkan kemutlakan bentuk idiografik dalam sains sosial.

 

Kalau Allah s.w.t. kehendaki, nescaya Allah s.w.t. boleh membuatkan manusia ini semuanya mempunyai persamaan kehendak tetapi Allah s.w.t. tidak mengkehendaki sedemikian dan kalau Allah s.w.t. kehendaki juga, Allah s.w.t. boleh menjadikan alam ini tidak mempunyai hukum tertentu namun Dia tidak berkehendak sedemikian. Maka, samada wujudnya hukum (nomos) seragam ataupun kelainan yang khusus (idios) dalam makhluk-makhluk Allah s.w.t., kesemuanya tidak akan terlepas daripada hukum ketentuan Allah s.w.t..

 

Maka, pemikiran ekstrim seperti Qadariyyah dan Mu’tazilah yang menafikan pengaruh kekuasaan dalam kehendak manusia dan menetapkan kebebasan berkehendak secara multak kepada manusia adalah suatu yang tertolak. Begitu juga pemikiran Jabariyyah yang menafikan usaha yang dinisbahkan kepada manusia juga adalah tertolak kerana ianya dinisbahkan oleh syariat kepada manusia.

 

Epistemologi: Sumber dan Kaedah Ilmu

 

Epistemologi (1): Sumber Ilmu

 

Kepentingan Wahyu Sebagai Sumber Ilmu

 

 

Jika kita perhatikan, Al-Qur’an bukan sekadar menyeru ke arah ilmu pengetahuan yang sempurna, malah, ianya juga membahaskan tentang tradisi dan falsafah ilmu secara teliti.

 

Dalam perbahasan epistemologi ilmu (sumber ilmu), Al-Qur’an itu sendiri dinilai sebagai sumber ilmu pengetahuan yang tertinggi. Begitu juga As-Sunnah daripada Rasulullah s.a.w.. Ini kerana, ilmu pengetahuan itu adalah milik mutlak Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakan seluruh makhluk dalam alam ini.

 

Maka, sudah pastilah, Allah s.w.t. adalah sumber ilmu pengetahuan yang tertinggi dalam kewujudan ini, kerana hanya Allah s.w.t. bersifat Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Adapun wahyu yang diturunkan daripada Allah s.w.t. merupakan sumber ilmu pengetahuan yang tertinggi kerana ianya secara langsung daripada Allah s.w.t., samada penyampaiannya secara langsung ataupun melalui perantaraan malaikat Jibril a.s..

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

Dan Kami turunkan kepadamu Al kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri. (Surah An-Nahl: 89)

 

Allah s.w.t. berfirman lagi:

 

Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini. (Surah Al-Jathiyyah: 20)

 

Rasulullah s.a.w. yang melaksanakan tugas sebagai utusan Allah s.w.t. menjadi sumber ilmu pengetahuan juga buat umat Islam. Oleh yang demikian, para ulama’ menghimpunkan hadith-hadith Baginda s.a.w. dalam kitab-kitab hadith untuk mengikut pelajaran dan petunjuk daripada hadith-hadith Rasulullah s.a.w..

 

Kenabian adalah pilihan Allah s.w.t. secara mutlak yang mana tiada campur tangan manusia padanya. Maka, setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., tiada lagi nabi atau rasul yang dilantik oleh Allah s.w.t.. Maka, rujukan utama umat manusia pada akhir zaman adalah Al-Qur’an dan As-Sunnah yang merupakan sumber ilmu pengetahuan yang tertinggi dalam segenap bidang.

 

Kepentingan Kaedah Logik sebagai Sumber Ilmu Menurut Al-Qur’an

 

Al-Qur’an bukan sekadar membentuk kerangka ilmu pengetahuan yang murni serta manhaj ilmiah yang jelas, ianya juga menyarankan kaedah ilmiah yang sahih seperti penggunaan kaedah logik dalam mencari kebenaran.

 

Dalam masalah ketuhanan, Allah s.w.t. menceritakan tentang dialog Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya yang kufur. Allah s.w.t. menjelaskan tentang Nabi Ibrahim a.s. yang menggunakan suatu pendekatan logik dengan menghancurkan semua berhala kaumnya ketika ketiadaan mereka, lalu meninggalkan satu sahaja berhala yang besar yang tidak dihancurkan. Lalu, sebuah kapak digantungkan kepada berhala tersebut. Ketika kaumnya pulang ke kampung tersebut, mereka menyalahkan Nabi Ibrahim a.s. terhadap kehancuran tuhan-tuhan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan kepada berhala besar tersebut. Kaum baginda a.s. mengingkari Nabi Ibrahim a.s. yang menyalahkan berhala besar kerana akal mereka tahu patung berhala tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk menghancurkan berhala-berhala lain. Lalu, dengan demikian, mereka terperangkap dengan persoalan, mengapa mereka menyembah berhala yang tidak dapat memberi manfaat dan menolak kemudaratan sama sekali? Namun, mereka tidak mahu menggunakan akal dan tidak mahu berfikir dengan cara yang logik (mengabaikan logik yang sangat mudah) sehingga mereka mengambil tindakan keras ke atas Nabi Ibrahim a.s..

 

Allah s.w.t. berfirman dalam merakamkan kisah tersebut:

 

59. Mereka berkata: "Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan Kami, Sesungguhnya Dia termasuk orang-orang yang zalim."

 

60. Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim ".

 

61. Mereka berkata: "(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat oleh ramai manusia, agar mereka menyaksikan".

 

62. Mereka bertanya (kepada Nabi Ibrahim): "Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami wahai Ibrahim?"

 

63. Ibrahim menjawab: "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya. Maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara".

 

64. Maka mereka telah kembali kepada kesedaran lalu berkata: "Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri)",

 

65. kemudian kepala mereka tertunduk (lalu berkata): "Sesungguhnya kamu (wahai Ibrahim) telah mengetahui bahwa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara."

 

66. Ibrahim berkata: Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?"

 

67. Celakalah kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahami?

 

68. Mereka berkata: "Bakarlah Dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak".

 

69. Kami berfirman: "Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim",

 

70. mereka hendak berbuat tipu daya yang jahat terhadap Ibrahim, Maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling rugi.

 

(Surah Al-Anbiya’: 59-70)

 

Begitu juga Allah s.w.t. menjelaskan tentang bukti keesaan Allah s.w.t. dengan suatu hujah logik di mana jika ada dua tuhan, nescaya alam ini akan binasa. Allah s.w.t. berfirman:

 

Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya’: 22)

 

Allah s.w.t. juga merakamkan peristiwa dialog Nabi Ibrahim a.s. dengan orang-orang kafir dalam menetapkan ketuhanan Allah s.w.t. dan membatalkan ketuhanan tuhan-tuhan palsu dengan kaedah logik sebagaimana dalam firmanNya:

 

75. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin.

 

76.Kketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu)dia berkata: "Inilah Tuhanku", tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: "Saya tidak suka kepada yang tenggelam."

 

77. Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku". tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaKu, pastilah aku termasuk orang yang sesat."

 

78. Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar". Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan

.

79. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah Termasuk orang-orang yang mempersekutukan tuhan. (Surah Al-An’am: 75-79)

 

Ini menunjukkan Islam merupakan suatu agama yang sempurna dan tidak mempunyai sudut pertentangan dengan akal dan logik yang sahih. Bahkan, Islam juga menekankan kepentingan penggunaan akal secara murni dan kaedah logik yang sahih. Oleh yang demikian, kita dapati, ilmu Mantik yang membahaskan tentang kaedah logik turut berkembang dalam institusi ulama’ Islam.

 

Bahkan, antara tokoh-tokoh awal yang mengembangkan bidang ilmu mantik dan logik ini adalah seperti Al-Kindi (w: 252 H) (melalui kitab Risalah fi Al-Maqulat Al-‘Asyar), Al-Farabi (w: 339 H) (melalui kitab Al-Alfaz Al-Musta’malah fi Al-Mantiq, Al-Khitabah fi Al-Mantiq) dan Ibn Sina (w: 428 H) menerusi kitab Mantiq Al-Masyriqiyyin.

 

Setelah itu, ianya dikembangkan secara lebih baik dan sempurna oleh Imam Al-Ghazali r.a. dalam kitab Mi’yar Al-Ilm fi Fan Al-Mantiq, Imam Fakhruddin Al-Razi r.a. (w: 606 H) menerusi kitab beliau Syarah ‘Uyun Al-Hikmah dan kitab Muhassal Afkar Al-Mutaqaddimin wa Al-Muta’akhirin, Najmuddin Al-Qazwini (w: 675 H) melalui Al-Risalah As-Syamsiyyah fi Al-Qawa’id Al-Mantiqiyyah dan sebagainya.

 

Al-Qur’an sudah pasti merupakan sumber inspirasi kepada para ulama’ tersebut untuk mengembangkan bidang logik dan mantik ini kerana ianya turut digunakan dalam Al-Qur’an terutamanya dalam membuktikan kebenaran ajaran Islam. Ini secara jelas menunjukkan Islam bukan agama mitos yang bertentangan dengan prinsip logik yang benar, tetapi ianya juga merupakan agama yang menggalakkan penghujahan logik dalam mencari kebenaran. Banyak ayat Al-Qur’an menceritakan kepentingan menggunakan akal dengan bantuan suluhan wahyu yang murni.

 

Kepentingan Pancaindera Sebagai Sumber Ilmu Menurut Al-Qur’an

 

Islam bukan setakat membataskan kepada akal sebagai sumber ilmu, namun, Islam menyentuh isu epistemologi ilmu ini secara lebih luas dengan menjadikan pancaindera juga sebagai salah satu daripada sumber-sumber ilmu.

 

Allah s.w.t. berfirman:

 

وَٱللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلْسَّمْعَ وَٱلأَبْصَارَ وَٱلأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

Maksudnya: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur. (Surah An-Nahl: 78)

 

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menceritakan tentang hakikat manusia yang lahir dalam keadaan serba jahil. Lalu, antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia adalah pendengaran, penglihatan dan hati (merangkumi akal) yang menjadi antara sumber kepada ilmu pengetahuan, untuk menghilangkan kejahilan diri mereka. Allah s.w.t. juga mengingatkan betapa manusia perlu mensyukuri Allah s.w.t. atas nikmat pancaindera dan hati tersebut kerana, walaupun manusia merasakan diri mereka mendapat ilmu melalui pancaindera dan akal mereka, namun pancaindera dan akal serta hati mereka adalah daripada Allah s.w.t..

 

Kemudian, dalam ayat seterusnya, pada surah yang sama, Allah s.w.t. menjelaskan kepentingan menggunakan pancaindera untuk mengkaji dan meneliti alam sekelilig manusia, agar ianya membawa kepada penghayatan terhadap makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam alam ini melalui kekuasaanNya.

 

Allah s.w.t. berfirman seterusnya:

 

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang diangkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman. (Surah An-Nahl: 79)

 

Allah s.w.t. berfirman dalam ayat yang lain:

 

ٱللَّهُ ٱلَّذِي رَفَعَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لأَجَلٍ مُّسَمًّـى يُدَبِّرُ ٱلأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلآيَاتِ لَعَلَّكُمْ بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

 

Maksudnya:

 

Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia istiwa’ atas 'Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu. (Surah Ar-Ra’du: 2)

 

Allah s.w.t. menyarankan kita menggunakan segenap pancaindera untuk menyingkap kekuasaan Allah s.w.t. di sebalik alam ini. Maka, pancaindera juga dinilai sebagai sebahagian daripada sumber ilmu bagi manusia. Apa yang penting, nilai ilmu tersebut perlulah bermanfaat iaitu, dengan mempunyai nilai ketauhidan (menyampaikan kita kepada Allah s.w.t.), bukan menjauhkan kita daripada ketuhanan Allah s.w.t..

 

Kaedah penggunaan pancaindera sebagai sumber ilmu pengetahuan ini banyak menyumbang ke arah perkembangan penyelidikan saintifik. Malah, ianya juga turut mempengaruhi bidang pembangunan teknologi dan sebagainya.

 

Al-Qur’an secara jelas mengatasi aliran empirisisme Barat dalam menjelaskan hakikat dan kepentingan pancaindera sebagai sumber ilmu pengetahuan. Biarpun Jogn Locke (m: 1714 M) mengemukakan idea bahawasanya manusia itu dilahirkan secara kosong dalam dunia Barat, namun ianya sudah lama dijelaskan oleh Al-Qur’an melalui risalah yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. sejak seribu empat ratus tahun yang lalu.

 

Malah, Islam menjaga kemurnian konsep kepentingan pancaindera ini dengan menyalurkan perjalanannya ke arah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., bukan menjauhkan diri daripada konsep ketuhanan dalam kehidupan sebagaimana yang dikembangkan oleh aliran positivisme Barat yang terlalu berlebih-lebihan dalam mempertahankan aliran empirisime ini.

 

Islam juga menjaga keseimbangan (sintesis) antara kaedah logikal dan kaedah empirikal ini kerana kedua-duanya saling memerlukan dalam mencapai ilmu pengetahuan. Ianya menolak pendekatan ekstrim aliran sensasionalisme yang menegaskan hanya pancaindera sahaja merupakan satu-satunya sumber ilmu pengetahuan yang benar. 

 

Kepentingan Ilham Sebagai Sumber Ilmu Menurut Al-Qur’an

 

Islam tidak membataskan sumber ilmu kepada dua bentuk sahaja, iaitu logik mahupun pancaindera. Islam juga menekankan aspek hidayah dan ilham daripada Allah s.w.t. sebagai sumber ilmu yang penting bagi seseorang manusia. Hidayah, petunjuk dan ilham daripada Allah s.w.t. ini melibatkan permasalahan hati yang banyak dibahaskan dalam ilmu tasawwuf Islam. Ilmu yang didapati dengan cara ini dikenali sebagai Ilmu Ladunni oleh sebahagian ulama’ sufi.

 

Ia berkait rapat dengan ilham yang didapati dalam diri manusia. Ilham dari sudut istilah ahli haq adalah: penyingkapan keyakinan dan pemahaman terhadap makna-makna ghaib. Ia sebagaimana yang dikatakan oleh Imam As-Sayyid dalam kitab ta’rifatnya. [rujuk Risalah Al-Ilham oleh Sheikh As-Sayyid Alawi bin Abbas Al-Maliki]

 

Ilham berbeza dengan wahyu yang diberikan kepada para nabi dan rasul. Allah menyingkapkan kepada para Nabi dan para Rasul-Nya tentang perkara-perkara ghaib samada secara wahyu (firman), secara penyingkapan (kasyaf) hijab atau secara ilham sepertimana juga (ilham tersebut) turut diberikan kepada sebahagian para wali-Nya dalam bentuk penyingkapan hati dan sebagainya. Perbezaan antara wahyu dan ilham adalah:

 

Khitab Allah s.w.t. kepada Nabi s.a.w. berlaku samada dengan perantaraan malaikat ataupun tidak seperti dengan mimpi yang baik, tiupan dalam roh, perkataan tanpa hijab dan sebagainya yang dinamakan sebagai wahyu dan firman yang dinisbahkan kepada Allah secara hakiki. Allah s.w.t. berfirman:

 

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

 

3. dan Tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya.

4. ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

 

(An-Najm: 3-4)

 

Sedangkan, pemberitahuan Allah s.w.t. kepada seorang wali itu dengan sesuatu yang dicampakkan ke dalam hati, meresap ke dalam jiwa, menerusi jalan ilham yang membawa kepada ketenangan dan penerimaan tanpa berbelah-bahagi dan tidak goyah.

 

[Risalah Al-Ilham oleh Sheikh Alawi Al-Maliki]

 

Ilham tidak dijamin kebenarannya. Oleh yang demikian, ianya perlu diukur dengan panduan wahyu. Maka, Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah ukuran kepada ilham ataupun kasyaf seseorang.

 

Allah s.w.t. menjelaskan tentang wujudnya orang-orang yang mendapat ilham dan firasat yang murni ini sebagaimana dalam firmanNya

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ (75)

 

Maksudnya: Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda. (Surah Al-Hajr: 75)

 

Maksudnya, bagi orang-orang yang berfirasat, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Hakim At-Tirmizi dalam Nawadir Al-Usul.

 

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:

 

Sesungguhnya dalam kalangan umatku ada yang mendapat ilham dan Muhaddithun. Antara mereka adalah Umar r.a..” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam At-Tirmizi.]

 

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadith qudsi:

 

Allah s.w.t. berfirman: “…Sesungguhnya jika Aku mencintainya (hamba tersebut), maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, Aku adalah penglihatan yang dia melihat dengannya, Aku adalah tangannya yang dia pegang dengannya dan Aku adalah kakinya yang dia melangkah dengannya”. [Hadith riwayat Al-Bukhari]

 

Gabungan keempat-empat sumber ilmu pengetahuan tersebut (wahyu, akal, pancaindera dan ilham/kasyaf) membentuk suatu kebijaksanaan yang murni sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Qur’an sendiri sebagai Al-Hikmah. Allah s.w.t. menceritakan bahawasanya, hasil penguasaan keempat-empat sumber ilmu pengetahuan ini secara bersepadu akan membawa kepada Al-Hikmah sebagamana dalam firmanNya:

 

يُؤْتِي الحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إلاَّ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

 

Maksudnya:

 

Allah menganugerahkan Al Hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Surah Al-Baqarah: 269)

 

Menurut kebanyakan ulama’ tafsir, Al-Hikmah adalah suatu kefahaman dan ilmu yang benar dan murni. Ianya hanya dapat dicapai melalui penguasaan terhadap keempat-empat sumber ilmu pengetahuan tersebut. Ini kerana, ilmu semata-mata yang lahir daripada akal dan pancaindera, tanpa taqwa dan amal soleh yang terbentuk daripada suluhan wahyu dan ilham, tidak akan membawa kepada sebuah ilmu yang bermanfaat. Sedangkan, ilmu yang bermanfaat tersebutlah yang dimaksudkan dengan Al-Hikmah itu sendiri. Ilmu pengetahuan yang murni adalah ilmu yang semakin mendekatkan seseorang kepada Allah s.w.t. dan semakin menambah kehambaan seseorang kepadaNya.

 

Nilai ilmu pengetahuan dalam prinsip rabbani ajaran Islam berteraskan hubungan kehambaan dan penghayatan terhadap makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan. Oleh yang demikian, dalam surah Al-Waqi’ah, Allah s.w.t. menggabungkan kaedah pemerhatian, penilaian akal dengan penyaksian makna dan pengaruh kekuasaan Allah s.w.t. dengan dengan firmanNya:

 

Maka terangkanlah kepadaku tentang yang kamu tanam. (63) Kamukah yang menumbuhkannya atau Kamikah yang menumbuhkannya? (64) Kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami jadikan Dia hancur dan kering, Maka jadilah kamu hairan dan tercengang. (65) (Sambil berkata): "Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian", (66) Bahkan Kami menjadi orang-orang yang tidak mendapat hasil apa-apa. (67) Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. (68) Kamukah yang menurunkannya atau kamikah yang menurunkannya? (69)  Kalau Kami kehendaki,nescaya Kami jadikannya asin, Maka Mengapakah kamu tidak bersyukur? (70) Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu). (71) Kamukah yang menjadikan kayu itu atau kamikah yang menjadikannya? (72) (Surah Al-Waqi’ah: 63-72)

 

Aksiologi: Nilai Ilmu dan Ulama’

 

Konsep Ilmu yang Bermanfaat dalam Islam

 

Malah, berdasarkan ayat tersebut juga kita fahami bahawasanya, Islam menggalakkan kita menuntut ilmu yang bersifat bersepadu (intergrated knowladge) yang mana setiap ilmu tersebut mendekatkan diri kita kepada kewujudan dan keagungan Allah s.w.t., bukan menjauhkan kita daripada konsep ketuhanan sebagaimana sifat ilmu yang cuba dikembangkan oleh masyarakat Barat moden iaitulah ilmu yang terpisah (departmentalised knowladge).

 

Isyarat kesepaduan ilmu ini didapati pada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: “bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”, yang menunjukkan bahawasanya, ilmu itu semestinya sesuatu yang mendekatkan dirimu kepada Maha Pencipta itu sendiri (taqarrub).

 

Suatu hadith ada menyebut:-

 

‏عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏قَالَ: كانَ مِنْ دُعَاءِ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ ‏

 

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau berkata: “Antara doa Nabi s.a.w. adalah “Wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, doa yang tidak didengari, hati yang tidak khusyuk dan nafsu yang tidak pernah puas”.

 

[Hadith riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya (no: 2722 daripada Zaid bin Arqam), Imam An-Nasa’ie dalam Sunannya (no: 5536 daripada Abu Hurairah r.a.) Abu Zur’ah Ar-Razi dalam Al-Ilal (3/247) oleh Ibn Abi Hatim (daripada Abdullah bin Amr bin Al-Ash), Ibn ‘Adiy dalam Al-Kamil fi Ad-Dhu’afa’ (6/231 dan 3/57), Al-Hafiz Ibn ‘Asakir dalam Mu’jam As-Syuyukh (1/552 dengan status hasan), Al-Munziri dalam At-Targhib wa At-Tarhib (3/14 dengan sanad hasan atau sahih) dan sebagainya.]

 

Imam As-Suyuti berkata:

 

 “Ilmu yang tidak bermanfaat adalah ilmu yang tidak memperbaiki akhlak dalaman, namun sekadar mempengaruhi perbuatan-perbuatan zahir semata-mata.”

 

Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

من ازداد علما ولم يزدد هدى لم يزدد من الله إلا بعدا .

 

Maksudnya: “Sesiapa yang bertambah ilmunya, namun tidak bertambah petunjuk, maka tiada bertambah daripada Allah melainkan kejauhan (bertambah jauh daripada Allah s.w.t.). [Hadith diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a. dengan sanad dha’if menurut Imam Al-‘Iraqi dalam Takhrij beliau terhadap kitab Al-Ihya’ (1/86).]



Maka, dewasa ini, cabaran dalam menghadapi nilai ilmu yang bersifat sekular (terpisah antara urusan keagamaan dengan urusan keduniaan) ini sangat perlu ditangani dengan sebarang usaha pemurnian minda masyarakat Islam daripada penyakit Sekularisme mahupun memperbaiki semula kerangka falsafah ilmu dan sebagainya. Oleh yang demikian, timbullah beberapa agenda seperti agenda Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowladge) dan sebagainya dalam rangka untuk melakukan usaha pemurnian tersebut.

 

Agenda ini adalah sebagai usaha pemurnian semula kepincangan dalam tradisi dan falsafah ilmu terutamanya dalam masyarakat Islam yang dicetuskan oleh sebahagian ahli falsafah Islam era moden ini. Sebahagian ulama’ menerimanya dengan positif dan sebahagian pula tidak sedemikian samada disebabkan tidak memahami hakikat usaha tersebut atau disebabkan sudah mempunyai modul yang lebih baik berbanding agenda Islamisasi Ilmu ini.

 

Kedudukan Institusi Ulama’ dan Ahli Ilmu

 

Namun, ada suatu aspek yang sangat penting untuk difahami oleh masyarakat Islam adalah, kepentingan institusi ulama’ itu sendiri dalam memahami ilmu-ilmu agama. Seseorang yang awam dan tidak mempunyai latar belakang ilmu agama yang mendalam tidak boleh terus berusaha memahami ajaran Islam tanpa merujuk kepada para ulama’ dalam mendapatkan penerangan yang benar terhadap nas-nas Islam (Al-Qur’an dan As-Sunnah).

 

Institusi ulama’ yang dimaksudkan adalah suatu institusi ulama’ yang berada dalam kelompok majoriti umat Islam (As-Sawad Al-A’zhom), bukan mewakili golongan terpinggir (syaz) seperti golongan mujasssimah, mu’tazilah, syiah dan sebagainya. Insititusi ulama’ tersebut adalah para ulama’ ahlus-sunnah wal jamaah yang mewarisi manhaj berinteraksi dengan nas-nas wahyu secara sahih daripada para sahabat r.a. dengan sanad (silsilah) yang bersambung kepada generasi mereka.

 

Kepentingan merujuk para ulama’ ini dijelaskan sendiri dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 

“…Bertanyalah kepada Ahl Az-Zikr jika kamu tidak mengetahui” (Surah An-Nahl: 43)

 

Ayat ini mengingatkan kepada orang-orang awam dan orang-orang jahil supaya merujuk Ahli Ilmu (Ahl Zikr) dalam urusan yang tidak diketahui, bukan terus merujuk kepada sumber ajaran Islam seperti Al-Qur’an dan As-Sunnah, kerana ianya memerlukan kepada beberapa ilmu asas yang penting sebelum berinteraksi dengan kedua-duanya. Oleh sebab itulah, kefahaman yang sahih perlu diambil oleh para ulama’ yang merupakan pewaris-pewaris bagi para Nabi dari sudut menjelaskan apa yang kesamaran daripada wahyu itu sendiri.

 

Maka, tidak wajar seseorang itu terpengaruh dengan hasutan jahat golongan liberal yang mengajak kepada kebebasan mutlak dalam menafsirkan Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan fikiran sendiri. Ia adalah suatu seruan sesat yang mengajak kepada kesesatan lalu membawa kemusnahan dalam sesebuah ketamadunan Islam.

 

Islam juga menyeru ke arah mengkaji alam ini dan segala yang mampu dikaji daripada alam ini dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana, pada kejadian alam ini ada petanda bagi kekuasaan Allah s.w.t.. Maka, ramai ahli ilmuwan Islam menjumpai perkaitan antara ayat-ayat Al-Qur’an dengan ilmu sains moden lalu usaha ini dikenali sebagai tafsir Ilmiy (Tafsir Saintifik).

 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (Surah Al-Baqarah: 164)

 

Allah s.w.t. berfirman lagi:

 

(Orang-orang bertaqwa adalah) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring serta memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini (langit dan bumi) dengan sia-sia…” (Surah Ali Imran: 191)

 

Dalam ayat ini bukan juga menceritakan tentang sifat orang-orang beriman yang memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, malah menggambarkan betapa fikiran mereka tentang kejadian alam tersebut membawa kepada mengenal Allah s.w.t. dan merasai keagunganNya. Inilah isyarat yang jelas tentang kepentingan ilmu dan penyelidikan bagi pembangunan masyarakat yang sempurna sebagaimana yang digambarkan sendiri di dalam Al-Qur’an.

 

Masyarakat Barat sememangnya mencemburui masyarakat Islam kerana memiliki agama Islam yang sangat menggalakkan perkembangan ilmu dan kemajuan. Hal ini dapat disaksikan pada zaman kegemilangan Islam yang melahirkan cendikiawan-cendikiawan Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Hujjatul Islam Al-Ghazali, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan sebagainya yang mengembangkan ilmu-ilmu keduniaan secara bersepadu.

 

Sedangkan, masyarakat Barat perlu mengorbankan sudut keagamaan dan kerohanian demi mencapai kemajuan dari sudut kebendaan. Maka, mungkin, kerana kedengkian yang mendalam, akhirnya dunia Barat menyebarkan agenda sekularisme ke dunia Islam agar masyarakat Islam masuk ke lubang biawak sebagaimana mereka (Barat) telah memasukinya [hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim].

 

Penutup

 

Selama beberapa tahun kebelakangan, umat Islam dilanda keruntuhan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka. Antara aspek yang merosot dalam masyarakat Islam adalah aspek ilmu pengetahuan. Namun, lebih membimbangkan, ianya bukan suatu kemerosotan kuantitatif semata-mata, namun kemerosotan kualitatif juga.

 

Masalah pendidikan dan pembelajaran dibincangkan dalam kalangan ahli akademik dan para ilmuwan Islam. Sebahagian daripada mereka mencetuskan pelbagai idea pembasmian masalah ini di samping usaha untuk memartabatkan semula aspek ilmu pengetahuan ini. Antara langkah utama untuk memartabatkan aspek ilmu dalam masyarakat Islam adalah dengan memahami tradisi dan falsafah ilmu yang berkembang dalam masyarakat dunia terutamanya pada masa kini.

 

Al-Qur’an sebagai sumber utama dalam ajaran Islam turut secara tidak langsung menyentuh masalah tradisi dan falsafah ilmu ini. Al-Qur’an sebagaimana peranannya yang menjadi petunjuk kepada manusia dalam segenap aspek kehidupan mereka, justeru turut menyentuh tentang tradisi ilmu yang asal dalam Islam, serta bentuk dan hakikat ilmu pengetahuan yang sebenar. Perbahasan tersebut disimpulkan dalam bentuk perbahasan tradisi dan falsafah ilmu.

 

Tulisan ini telah menyentuh betapa Al-Qur’an tidak mengabaikan aspek terpenting dalam kehidupan manusia iaitulah aspek ilmu pengetahuan. Bahkan, ianya menjelaskan segenap sudut dan falsafah ilmu secara jelas dengan panduan yang sangat praktikal. Semoga panduan Al-Qur’an ini dapat memberi suatu rangsangan kepada mereka yang terlibat dalam pembangunan ummah, untuk melakukan sesuatu terutamanya melibatkan krisis pembelajaran dan ilmu dalam masyarakat Islam.

 

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:

 

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil

 

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

 

Amalahullahu bi lutfihi al-khafiy

 

10 Oktober 2010


Add a Comment