Join MultiplyOpen a Free ShopSign InHelp
MultiplyLogo
SEARCH


Takhrij Hadis “Berseorangan Lebih Baik daripada Bersahabat dengan Teman yang Buruk”

 

Seorang saudara bertanya tentang perkataan “bersendirian lebih baik daripada bersahabat dengan teman yang buruk…”, adakah ianya hadis ataupun tidak? Atau, adakah ianya perkataan para ulama’ sufi kerana ianya sentiasa dimuatkan dalam kitab-kitab para ulama’ sufi terutamanya tentang kepentingan bersendirian ataupun kelebihan beruzlah? Jika ianya hadis, adakah ianya sahih atau dha’if?

 

Al-Faqir menjawab dengan bantuan Allah s.w.t., bahawasanya, para ulama’ menegaskan bahawasanya, ianya adalah hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun begitu, ada sebahagian ahli ilmu berkata, ianya adalah hadis dha’if.

 

Nas Hadis:-

 

Hadis tersebut adalah, sebagaimana Imam Al-Hakim menyebut dalam kitab Al-Mustadrak:

 

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ أَحْمَدُ بْنُ سَلْمَانَ الْفَقِيهُ ، ثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْهَيْثَمُ الْقَاضِي ، ثَنَا الْهَيْثَمُ بْنُ جَمِيلٍ الأَنْطَاكِيُّ ، ثَنَا شَرِيكٌ ، عَنْ أَبِي الْمُحَجَّلُ ، عَنْ صَدَقَةَ بْنِ أَبِي عِمْرَانَ بْنِ حِطَّانَ ، قَالَ : أَتَيْتُ أَبَا ذَرٍّ فَوَجَدْتُهُ فِي الْمَسْجِدِ مُخْتَبِئًا بِكِسَاءٍ أَسْوَدَ وَحْدَهُ ، فَقُلْتُ : يَا أَبَا ذَرٍّ، مَا هَذِهِ الْوَحْدَةُ؟ فَقَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "الْوَحْدَةُ خَيْرٌ مِنْ جَلِيسَ السُّوءَ ، وَالْجَلِيسُ الصَّالِحُ خَيْرٌ مِنَ الْوَحْدَةِ ، وَإِمْلاءُ الْخَيْرِ خَيْرٌ مِنَ السُّكُوتِ ، وَالسُّكُوتُ خَيْرٌ مِنْ إِمْلاءِ الشَّرِّ "

 

Maksudnya:

 

Abu Bakr Ahmad bin Salman Al-Faqih telah menceritakan kepada kami, bahawa, Muhammad bin Al-Haitham Al-Qadhi telah menceritakan kepada kami, Al-Haitham bin Jamil Al-Anthoki telah menceritakan kepada kami bahawasanya Syarik telah menceritakan kepada kami daripada Abi Al-Muhajjal daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran bin Hithon bahawa beliau berkata: “Saya telah datang kepada Abu Zar lalu saya dapatinya dalam keadaan bersendirian ditutupi oleh Kisa’ Aswad (kain hitam). Maka, saya berkata: “Wahai Abu Zar, mengapa bersendirian sebegini?” Maka, Abu Zar r.a. berkata: “saya telah mendengar bahwasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersendirian (berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian. Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk”.

 

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (no: 5447), Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (no: 4629), Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (no: 25706) dan sebagainya. Hadis ini diriwayatkan daripada jalan seorang sahabat yang bernama Jundub bin Abdillah atau lebih dikenali sebagai Abu Zar r.a..

 

Penilaian Ulama’

 

Imam As-Sakhawi menyebut tentang hadis ini:

 

حَدِيثٌ: "الْوِحْدَةُ خَيْرٌ مِنْ جَلِيسِ السُّوءِ ، وَالْجَلِيسُ الصَّالِحُ خَيْرٌ مِنَ الْوِحْدَةِ ، وَإِمْلاءُ الْخَيْرِ خَيْرٌ مِنَ الصَّمْتِ ، وَالصَّمْتُ خَيْرٌ مِنْ إِمْلاءِ الشَّرِّ " ، الحاكم وأبو الشيخ والعسكري عن أبي ذر به مرفوعا ، والديلمي عن أبي هريرة ، وثبت في المرفوع كما في صحيح البخاري وغيره : لو يعلم الناس ما في الوحدة ما أعلم ما سار راكب بليل وحده ، ولا تنافي بينهما وقد ترجم البخاري : العزلة راحة من خلاط السوء وذكر حديث أبي سعيد مرفوعا : ورجل في شعب من الشعاب يعبد ربه ويدع الناس من شره...

 

"قال الحافظ في الفتح: وسنده حسن ، لكن المحفوظ أنه موقوف عن أبي ذر أو عن أبي الدرداء . أخرج ابن أبي شيبة عن عمر أنه قال : العزلة راحة للمؤمن من خلاط السوء ، رجاله ثقات إلا أنه منقطع ، وخلاط بضم الخاء وتشديد اللام ".

 

Maksudnya:

 

Hadis: “Bersendirian (berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian. Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk”. (Sanadnya) Al-Hakim, Abu Sheikh dan Al-‘Askari daripada Abu Zar r.a. secara marfu’ (bersambung kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam). Begitu juga Imam Ad-Dailami meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.. Juga, telah thabit secara marfu’ sebagaimana dalam sahih Al-Bukhari dan sebagainya: “Jika manusia mengetahui sebagaimana aku ketahui dalam wahdah (bersendirian atau berseorangan) maka tidak ada penunggang yang berjalan pada waktu malam secara bersendirian” tidak saling bertentangan antara satu sama lain. Ini kerana, Imam Al-Bukhari telah menyebut terjemah (penjelasan): “Uzlah itu ada kerehatan berbanding bergaul dengan teman-teman yang buruk” lalu beliau sebut hadis Abi Sa’id secara marfu’ (bersambung kepada Rasulullah shollallahu’alaihi wasallam): Seseorang yang beriman yang tinggal terpencil di lereng-lereng bukit dengan menyembah Allah sebagai tuhannya dan meninggalkan manusia dari kejahatannya...

 

“Imam Ibn Hajar berkata dalam kitab Al-Fath (Fath Al-Bari): Sanad hadis ini (الْوَحْدَةُ خَيْرٌ مِنْ جَلِيسَ السُّوءَ ) adalah hasan tetapi sebagaimana yang dihafaz, ianya hanya terhenti (mauquf) kepada (perkataan) Abu Zar r.a. atau Abu Ad-Darda’ r.a.. Imam Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Saidina Umar r.a. bahawasanya beliau berkata: “Uzlah itu kerehatan bagi orang beriman berbanding bergaul dengan teman-teman yang buruk.” Para perawinya thiqah melainkan ada terputus sanadnya. Adapun Khullat itu adalah dengan dhomm huruf Kha’ dan Tasydid huruf Lam. [Rujuk Maqasid Al-Hasanah no: 1210]

 

Berdasarkan perkataan Imam As-Sakhawi, kita dapati Al-Hafiz Ibn Hajar menilai hadis ini sebagai hasan walaupun menurut beliau, di sisi para ulama’ lain yang memelihara hadis ini, ianya hanya terhenti kepada Saidina Abu Zar r.a. atau Abu Ad-Darda’ r.a..

 

Namun, berdasarkan kitab-kitab hadis lain termasuklah riwayat Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi, jelaslah bahawasanya hadis ini bertaraf hasan sebagaimana disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, bahkan ianya marfu’ (bersambung) kepada Rasululullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

 

Takhrij Sanad-sanad Hadis

 

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga jalan tabi’in, daripada Saidina Abu Zar r.a..

 

1) Jalan (thoriq) Ibn As-Syanniyyah

2) Jalan (thoriq) Shadaqah bin Abi ‘Imran

3) Jalan (thoriq) ‘Imran bin Hithon

 

Ketiga-tiga mereka meriwayatkan hadis ini daripada Saidina Abu Zar r.a..

 

1) Jalan (thoriq) Ibn As-Syanniyyah

 

Dalam Musnad As-Syihab, Imam As-Syihab meriwayatkan hadis ini dengan dua sanad iaitu:

 

Imam As-Syihab:-

Daripada Abu Muhammad Ismail bin Raja’ Al-Asqolani

Daripada Abu Ahmad Al-Qaisarani

Daripada Muhammad bin Ja’far Al-Khara’ithi

Daripada Sa’dan bin Yazid

Daripad Al-Haitham bin Jamil

Daripada Syarik

Daripada Abu Muhajjal

Daripada Ma’fus bin ‘Imran bin Hitthan

Daripada Ibn As-Syanniyyah

Daripada Abu Zar r.a.

 

Imam As-Syihab

Daripada Hibatullah bin Ibrahim

Daripada Al-Qadhi Abu Al-Hasan Al-‘Uzniy

Daripada Abu ‘Arubah

Daripada Abdullah bin Al-Walid

Daripada Al-Hatiham bin Jamil serta sanad yang sama seperti tadi

 

Nasnya:-

 

أَخْبَرَنا أَبُو مُحَمَّدٍ ، إِسْمَاعِيلُ بْنُ رَجَاءٍ الْعَسْقَلانِيُّ ، ثنا أَبُو أَحْمَدَ الْقَيْسَرَانِيُّ ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ الْخَرَائِطِيُّ ، ثنا سَعْدَانُ بْنُ يَزِيدَ ، ثنا الْهَيْثَمُ بْنُ جَمِيلٍ ، ثنا شَرِيكٌ ، عَنْ أَبِي مُحَجَّلٍ ، عَنْ مَعْفَسِ بْنِ عِمْرَانَ بْنِ حِطَّانَ ، عَنِ ابْنِ الشَّنِيَّةِ ، قَالَ : رَأَيْتُ أَبَا ذَرٍّ وَحْدَهُ قَاعِدًا فِي الْمَسْجِدِ مُحْتَبِيًا بِكِسَاءٍ مِنْ صُوفٍ فَقَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " الْوَحْدَةُ خَيْرٌ مِنَ الْجَلِيسِ السُّوءِ ، وَالْجَلِيسُ الصَّالِحُ خَيْرٌ مِنَ الْوَحْدَةِ ، وَإِمْلاءُ الْخَيْرِ خَيْرٌ مِنَ السُّكُوتِ ، وَالسُّكُوتُ خَيْرٌ مِنْ إِمْلاءِ الشَّرِّ " . وَأَنَاهُ هِبَةُ اللَّهِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ ، أنا الْقَاضِي أَبُو الْحَسَنِ الأَذَنِيُّ ، نا أَبُو عَرُوبَةَ ، نا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْوَلِيدِ ، نا الْهَيْثَمُ بْنُ جَمِيلٍ ، بِإِسْنَادِهِ مِثْلَهُ .

 

Maksud hadis: Ibn As-Syaniyyah berkata: “Saya melihat Abu Zar seorang diri berdiri dalam masjid sambil diselubungi oleh kain shuf. Maka beliau berkata: “Bersendirian (berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian. Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk

 

Hadis ini melalui jalan ini adalah dha’if kerana Ibn As-Syaniyyah sendiri adalah seorang yang tidak dikenali (majhul al-hal) di sisi para pengkaji sanad hadis (An-Nuqqad). Di samping itu juga, pada sanad-sanad tersebut, tidak sunyi daripada perawi-perawi lemah selain Ibn As-Syaniyyah.

 

Antaranya, dalam jalan pertama tadi, Abu Ahmad Al-Qaisarani adalah seorang yang majhul juga di sisi para ulama’ dan pengkaji sanad hadis. Dalam jalan kedua pula, Abdullah bin Al-Walid Al-Harrani adalah seorang yang Majhul juga.

 

2) Jalan Shadaqah bin Abi ‘Imran

 

Jalan ini dikeluarkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (no: 5447) sebagaimana telah disebutkan di awal perbahasan.

 

 

Imam Al-Hakim meriwayatkan

Daripada Abu Bakr Ahmad bin Salman Al-Faqih

Daripada Muhammad bin Al-Haitham Al-Qadhi

Daripada Al-Haitham bin Jamil Al-Anthoki

Daripada Syarik

Daripada Abi Al-Muhajjal

Daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran bin “Hithon”

 

 

Sanad hadis ini adalah hasan kerana para perawinya adalah para perawi yang dipuji (mendapat penilaian positif atau Ta’dil) di sisi para ulama’ dan pengkaji sanad hadis (An-Nuqqad).

 

Adapun Imam Abu Bakr Ahmad bin Salman sendiri adalah seorang yang jujur atau benar di sisi sebahagian para ulama, antaranya di sisi Imam Al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam Al-Khatib Al-Baghdadi. Imam Az-Zahabi juga memuji beliau dalam Siyar A’laam An-Nubala’ pada terjemahan Abu Bakr An-Najjad.

 

Al-Qadhi Imam Muhammad bin Al-Haitham juga seorang ulama’ terkemuka lagi thiqah di sisi para ulama’ dan nuqqad.  Imam Ad-Darqutni dan Ishaq berkata: “Beliau adalah antara thiqat dan al-huffaz (para penghafal hadis). Imam Ibn Hibban menyebut beliau dalam kitab At-Thiqat. [rujuk Tahzib al-kamal] Begitu juga Imam Al-Haitham bin Jamil Al-Anthoki yang dinilai sebagai thiqah oleh sebahagian ulama’.

 

Syarik pula, para ulama’ berbeza penilaian terhadap beliau, walaupun masih dalam penilaian positif (Ta’dil). Imam Yahya bin Ma’in mengatakan bahawasanya beliau adalah thiqah. Namun menurut beliau, kadang-kadang Syarik ini melakukan kesalahan. Imam Al-‘Ajli menyebut bahawasanya beliau adalah thiqah dan Hasan Al-Hadis. Imam Waqi’ juga memuji beliau. Bahkan, di sisi Ibn Mu’awiyah, Syarik lebih mengetahui hadis ahli kufah berbanding Sufian At-Thauri. Imam Ali bin Al-Madini juga menyebut bahawasnaya Syarik lebih alim berbanding Isra’il walaupun Isra’il lebih kurang melakukan kesalahan. Ya’qub bin Syaibah juga menilai beliau sebagai thiqah tetapi hafalannya buruk.

 

Begitu juga, Ima Abu Zur’ah juga mengatakan Syarik adalah seorang yang banyak kesalahan dalam menghafal hadis. Imam An-Nasa’ie menyebut bahawasanya beliau laisa bihi ba’s, (tidak mengapa), suatu penilaian positif tahap rendah kepada seseorang perawi. Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada beliau sebagai istisyhad (hadis penguat kepada hadis lain yang sama maksudnya). Begitu juga Imam Muslim meriwayatkan daripada beliau sebagai Mutaba’at. Sebahagian ulama’ lain berhujah dengan riwayat beliau.

 

Adapun Abu Al-Muhajjal, maka beliau adalah seorang thiqah sebagaimana disebutkan oleh Imam Ahmad dan Imam Yahya bin Ma’in.

 

Adapun tentang Shodaqah bin Abi ‘Imran (bin Hithon menurut Imam Al-Hakim, dan padanya ada penilaian), maka beliau juga mendapat penilaian positif tahap sederhana seperti Syarik bin Abdillah tadi.

 

Yahya bin Ma’in menyebut tentang beliau: “Saya tidak tahu penilaian terhadapnya”. Kadang-kala beliau menyebut tentangnya: “Tidak ada apa-apa (kritikan)”. Abu Daud menyebut bahawasanya, Yahya’ bin Ma’in menilai Shodaqah sebagai shoduq sheikh shaleh (benar dan seorang sheikh yang baik). Imam Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab At-Thiqat dan Imam Muslim meriwayatkan daripada beliau satu hadis. Imam Ibn Majah begitu juga. [Tahzib al-kamal]

 

Dengan sebab Shodaqah bin Abi Imran dan Syarik bin Abdillah yang dinilai oleh para nuqqad dengan penilaian ta’di;l yang sederhana ini, maka para ulama’ menilai hadis ini melalui jalan ini adalah hadis hasan. Demikianlah sebagaimana dinilai oleh Imam Ibn Hajar dalam Al-Fath secara umum tanpa menyebut sanad hadis ini. Ada sedikit permasalahan dalam sanad yang dibawa oleh

 

3) Jalan ‘Imran bin Hithon

 

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan juga hadis ini dengan sanad yang hampir sama tetapi dengan dua penambahan iaitu:

 

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan:-

 

Daripada Abu Abdillah Al-Hafiz

Daripada Abu Bakr Ahmad bin Salman Al-Faqih

Daripada Muhammad bin Al-Haitham Al-Qadhi

Daripada Al-Haitham bin Jamil Al-Anthoki

Daripada Syarik

Daripada Abi Al-Muhajjal

Daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran

Daripada Imran bin Hithon

 

Nasnya:-

 

وَحَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ ، نا أَبُو بَكْرٍ أَحْمَدُ بْنُ سَلْمَانَ الْفَقِيهُ ، نا مُحَمَّدُ بْنُ الْهَيْثَمِ الْقَاضِي ، نا الْهَيْثَمُ بْنُ جَمِيلٍ الأَنْطَاكِيُّ ، نا شَرِيكٌ ، عَنْ أَبِي المحجل ، عَنْ صَدَقَةَ بْنِ أَبِي عِمْرَانَ ، عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حِطَّانَ ، قَالَ : لَقِيتُ أَبَا ذَرٍّ فَوَجَدْتُهُ فِي الْمَسْجِدِ مُخْتَبِئًا بِكِسَاءٍ أَسْوَدَ وَحْدَهُ ، فَقَالَ : يَا أَبَا ذَرٍّ ، مَا هَذِهِ الْوَحْدَةُ ؟ فَقَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : الْوَحْدَةُ خَيْرٌ مِنْ جَلِيسِ السَّوْءِ ، وَالْجَلِيسُ الصَّالِحُ خَيْرٌ مِنَ الْوَحْدَةِ ، وَإِمْلاءُ الْخَيْرِ خَيْرٌ مِنَ السُّكُوتِ ، وَالسُّكُوتُ خَيْرٌ مِنْ إِمْلاءِ الشَّرِّ " .

 

Abu Abdillah Al-Hafiz telah menceritakan kepada kami bahawasanya, Abu Bakr Ahmad bin Salman Al-Faqih telah menceritakan kepada kami, bahawa, Muhammad bin Al-Haitham Al-Qadhi telah menceritakan kepada kami, Al-Haitham bin Jamil Al-Anthoki telah menceritakan kepada kami bahawasanya Syarik telah menceritakan kepada kami daripada Abi Al-Muhajjal daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran daripada ‘Imran bin Hithon bahawa beliau berkata: “Saya telah datang kepada Abu Zar lalu saya dapatinya dalam keadaan bersendirian ditutupi oleh Kisa’ Aswad (kain hitam). Maka, saya berkata: “Wahai Abu Zar, mengapa bersendirian sebegini?” Maka, Abu Zar r.a. berkata: “saya telah mendengar bahwasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersendirian (berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian. Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk”.

 

Dari segi asasnya, sanad hadis ini bertaraf hasan kerana para perawinya tidak mengandungi orang yang dikritik secara negatif (tajrih). Ia sama kedudukannya dengan sanad riwayat Al-Hakim sebelum ini.

 

Pun begitu, Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini dengan dua penambahan perawi berbanding sanad Imam Al-Hakim, iaitu Abu Abdillah Al-Hafiz dan Imran bin Hitthan. Adapun Abu Abdillah Al-Hafiz, maka beliau seorang yang thiqah. Bahkan, penambahan nama beliau tidak membawa kepada sebarang permasalahan dalam sanad kerana ianya sekadar menunjukkan Imam Al-Baihaqi r.a. meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang sama secara lebih rendah (nazil) sanadnya berbanding Imam Al-Hakim r.a..

 

Namun, permasalahan yang timbul adalah apabila nama Imran bin Hithon ditambah sebagai perawi daripada Abu Zar r.a. sedangkan dalam riwayat Imam Al-Hakim, orang yang meriwayatkan hadis ini daripada Abu Zar r.a. adalah Shodaqah bin Abi Imran secara langsung. Sedangkan, dalam riwayat Imam Al-Baihaqi, Shodaqah bin ‘Abi Imran ini meriwayatkan hadis daripada Abu Zar dengan perantaraan seorang perawi lain iaitu Imran bin Hithon.

 

Shodaqah bin Abi ‘Imran dan ‘Imran bin Hithon

 

Dalam tiga jalan yang disebutkan di atas, iaitu jalan (thoriq) Ibn As-Syaniyyah, jalan Shadaqah bin Abi ‘Imran dan jalan ‘Imran bin Hithon ada beberapa persamaan nama yang hampir-hampir iaitu:

 

  • Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon (menurut riwayat Imam As-Syihab)
  • Shadaqah bin Abi ‘Imran bin Hithon (menurut riwayat Imam Al-Hakim)
  • ‘Imran bin Hithon (menurut riwayat Imam Al-Baihaqi)

 

Ada riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq dengan menyebut sanadnya: daripada Abu Al-Muhajjal daripada Ibn ‘Imran daripada Abu Zar.

 

Siapakah sebenarnya yang meriwayatkan daripada Saidina Abu Zar r.a.? Adakah Shadaqah bin Abi ‘Imran atau ‘Imran bin Hithon?

 

Adapun Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon maka beliau adalah seorang yang tidak berapa dikenali dalam kalangan para penilai sanad hadis (nuqqad) walaupun ada sedikit catatan mengenainya. Maka, tidak perlu dipanjangkan perbahasan mengenainya walaupun ada kepentingan nama ini (Ma’fus) untuk menjadi sandaran kepada perbincangan seterusnya.

 

Ketika Imam Al-Hakim meriwayatkan hadis ini, beliau menyebut Shadaqah bin Abi ‘Imran bin Hithon sedangkan Imam Al-Baihaqi hanya menyebut namanya Shadaqah bin Abi Imran (qadhi Al-Ahwaz) tanpa penambahan bin Hithon. Namun, Imam Al-Baihaqi menyebut nama lain sebagai anak kepada Hithon iaitu ‘Imran bin Hithon seorang individu yang berbeza dengan Shadaqah bin ‘Abi Imran bahkan ‘Imran bin Hithon bukanlah bapa kepada Shadaqah bin Abi ‘Imran.

 

Dalam At-Tarikh Al-Kabir, Imam Al-Bukhari r.a. tidak pula menetapkan Shadaqah bin Abi ‘Imran dengan ibn Hithon sebagaimana dilakukan oleh Al-Hakim. Begitu juga Imam Al-Mizzi dalam Tahzib al-kamal, sekadar menyebut Shadaqah bin Abi ‘Imran sahaja. Begitu juga dengan Imam Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Tahzib At-Tahzib tanpa menisbahkannya kepada Hithon. Bahkan, dalam riwayat-riwayat Imam Ibn Majah r.a., Imam At-Tabrani r.a. dan sebagainya dalam kitab-kitab hadis mereka, sekadar menyebut Shadaqah bin Abi ‘Imran tanpa penambahan bin Hithon.

 

Bahkan, dalam kitab-kitab seperti At-Tarikh Al-Kabir oleh Imam Al-Bukhari, Kitab At-Thiqat oleh Imam Ibn Hibban, Tahzib At-Tahzib oleh Imam Ibn Hajar dan Tahzib al-kamal oleh Imam Al-Mizzi, tidak menyebut bahawasanya Shadaqah bin Abi ‘Imran pernah meriwayatkan daripada Saidina Abu Zar r.a.. Bahkan, Imam Ibn Hibban menyebut nama Shadaqah bin Abi ‘Imran sebagai para tabi’e tabi’in yang meriwayatkan daripada tabi’in, bukan dari kalangan para tabi’in yang meriwayatkan daripada para sahabat r.a..

 

Dengan ini menunjukkan antara Shadaqah bin Abi ‘Imran dengan Abu Zar r.a., ada perantaraan perawi dari kalangan tabi’in.

 

Adapun ‘Imran bin Hithon (w: 84 Hijrah), maka beliau adalah seorang tabi’in yang besar menurut Imam Az-Zahabi, iaitu mereka yang pernah bertemu dengan para sahabat r.a.. Beliau adalah perawi hadis yang dipuji walaupun dikatakan bermazhab Khawarij sebagaimana disebutkan oleh para ulama’ termasuklah Imam Az-Zahabi dalam Siyar A’lam An-Nubala’ dan Imam Al-Mizzi dalam Tahzib al-kamal. Dengan sebab mazhab beliau, maka sebahagian pengkaji sanad hadis menolak riwayat beliau seperti Imam Al-‘Ujaili tetapi Imam Abu Daud As-Sajastani masih menerima periwayatan daripada beliau dan menilai periwayatan beliau sebagai sanad paling sahih daripada periwatan-periwayatan khawarij. Namun, Imsam Ibn Hajar Al-Asqolani mengatakan bahawasanya, dikatakan beliau telah menarik balik pendirian beliau dalam mazhab khawarij. Dikatakan juga bahawa, Imam Al-Bukhari r.a. sendiri ada meriwayatkan daripada beliau satu hadis.

 

Dengan ini, jelas bahawasanya ‘Imran bin Hithon Al-Bashri ini bukanlah Shadaqah bin Abi ‘Imran bin Hithon atau ayah kepada Shadaqah tersebut (Abu ‘Imran). Bahkan, secara tidak langsung menunjukkan, ada kekeliruan dalam sanad yang disebutkan oleh Imam Al-Hakim ketika menyebut bahawasanya Shadaqah meriwayatkan daripada Abu Zar r.a. tanpa perantaraan sedangkan lebih jelas adalah sanad Imam Al-Baihaqi iaitu menetapkan antara Shadaqah dengan Abu Zar, seorang perawi lain iaitu seorang tabi’ie yang thiqah iaitu ‘Imran bin Hithon Al-Bashri.

 

Maka, kemungkinan juga, ada kekeliruan lain dalam sanad yang dikeluarkan oleh Imam Al-Hakim kerana menyebut Shadaqah bin Abi ‘Imran dengan penambahan bin Hithon sedangkan anak kepada Hithon adalah ‘Imran, bukan Abu ‘Imran. Tiada petunjuk daripda para pengkaji hadis bahawasanya Hithan dinisbahkan kepada Shadaqah bin Abi ‘Imran.

 

Imran bin Hithon adalah seorang ulama’ Bashrah sedangkan Shadaqah bin Abi Imran adalah seorang qadhi di Al-Ahwaz (di Kufah). Sememangnya, Imam Shadaqah bin Abi ‘Imran meriwayatkan daripada ‘Imran bin Hithon walaupun kedua-duanya juga meriwayatkan daripada Saidina Abu Zar r.a..

 

Petunjuk Lain: Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon

 

Sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini, perawi antara Saidina Abu Zar r.a. dengan Shadaqah bin Abi ‘Imran adalah ‘Imran bin Hithon sebagaimana ditetapkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a..

 

Antara petunjuk lain, dalam Musnad As-Syihab sebagaimana disebutkan tadi, ada perawi bernama Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon yang seolah-oleh anak kepada ‘Imran bin Hithon ini.

 

Sanad dalam Musnad As-Syihab antara Syarik kepada Saidina Abu Zar r.a. adalah seperti berikut:-

 

Syarik bin Abdillah

Daripada Abu Al-Muhajjal

Daripada Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon

Daripada Ibn As-Syanniyyah

Daripada Abu Zar r.a.

 

Adapun sanad yang dikeluarkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman antara Syarik kepada Saidina Abu Zar r.a. adalah:-

 

Syarik bin Abdillah

Daripada Abu Al-Muhajjal

Daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran

Daripada Imran bin Hittan

Daripada Abu Zar r.a..

 

Abu Al-Muhajjal dilihat meriwayatkan hadis ini daripada Shadaqah bin Abi ‘Imran pada sanad yang dikeluarkan oleh Imam Al-Baihaqi, dan daripada jalan Ma’fus bin ‘Imran bin Hitthan pada sanad yang dikeluarkan oleh Imam As-Syihab.

 

Kemudian, perawi-perawi daripada Abu Zar r.a. pula adalah:- Ibn As-Syanniyyah yang tidak dikenali di sisi para pengkaji hadis pada jalan As-Syihab sedangkan, Imam Al-Baihaqi mengeluarkan sanad daripada jalan Imran bin Hitthan.

 

Keserasian sanad ini adalah, Ma’fus bin Imran bin Hithon, anak kepada Imran bin Hithon berada di tempat Shadaqah bin Abi ‘Imran, iaitu perawi daripada Imran bin Hithon pada jalan Al-Baihaqi.

 

Shadaqah bin Abi Imran --------------> ‘Imran bin Hithon (ayah Ma’fus)

Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon  ------->Ibn As-Syanniyah (majhul)

 

Ini menunjukkan memang di antara Shadaqah dengan Abu Zar r.a. adalah ‘Imran bin Hithon jika merujuk kepada Ma’fus bin Imran bin Hithon ini yang merupakan anak kepada ‘Imran bin Hithon yang berada satu tabaqat dengan Shadaqah bin Abi ‘Imran. Bahkan, memang jelas juga Ma’fus bin ‘Imran ada meriwayatkan daripada ayahnya dalam hadis lain. Ini juga menunjukkan “Ibn Hithon” yang sebenarnya adalah Imran bin Hithon, bukan Abu ‘Imran bin Hithon iaitu ayah kepada Shadaqah sebagaimana disebut oleh Imam Al-Hakim. Bahkan, dalam Tahzib al-kamal, imam Al-Mizzi menyebut bahawasanya ‘Imran bin Hithon dikenali sebagai Abu Ma’fus. Ini menunjukkan Ma’fus adalah anak kepada Imran bin Hithon, tabi’in yang meriwayatkan hadis ini daripada Abu Zar r.a..

 

Adapun perihal Ibn Syanniyyah, maka beliau dinilai sebagai majhul, iaitu tidak dikenali oleh para ulama’. Namun, dalam Ikmal Al-Kamal [5/85], Ibn Makula cuma menetapkan As-Syanniyyah sebagai Hithon lalu menunjukkan Ibn As-Syanniyyah adalah ‘Imran bin As-Syanniyyah. Beliau berkata:

 

وقال أبو بكر محمد بن جعفر الخرائطي حدثنا سعدان بن يزيد البزار حدثنا الهيثم بن جميل ثنا شريك عن أبى المحجل عن معفس بن عمران ابن الشنية قال رأيت أبا ذر رضى الله عنه جالسا في المسجد وحده يحتبى بكساء صوف فقال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الواحدة خير من الجليس السوء.

 

Maksudnya: “Abu Bakr Muhammad bin Ja’far Al-Kharra’ithi berkata: Sa’dan bin Yazid Al-Bazzar telah menceritakan kepada kami bahawasanya Al-Haitham bin Jamil telah menceritakan kepada kami bahawasanya Syarik telah menceritakan kepada kami daripada Abi Al-Muhajjal daripada Ma’fus bin ‘Imran bin Ibn As-Syaniyyah bahawa beliau berkata: Saya melihat Abu Zar r.a. duduk di masjid berseorangan dengan menutupi diri dengan kain suf lalu beliau berkata: “Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersendirian itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk”.

 

Namun, dalam kitab Makarim Al-Akhlak himpunan Al-Khara’ithi pada juz’ ke-6, no: 725, nama yang beliau sebutkan dalam sanad bagi hadis tersebut adalah Ma’fus bin ‘Imran bin Hithon daripada Ibn As-Syanniyyah, bukan Ma’fus bin ‘Imran bin As-Syanniyyah sebagaimana disebut oleh Ibn Makula.

 

Kesimpulannya, walaupun dua jalan yang sama (jalan Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi), tetapi mempunyai kekeliruan dalam nama perawi. Namun, hal ini tidaklah melemahkan sesuatu matan hadis kerana kesalahan sebegini biasa berlaku hatta pada para imam yang lebih besar termasuklah Imam Malik dalam kitab Al-Muwatha’. Bahkan, sebahagian ulama’ menerima riwayat yang digunakan oleh Imam Al-Hakim iaitu Shadaqah bin Abi ‘Imran meriwayatkan daripada Saidina Abu Zar r.a.. Wallahu a’lam.

 

Mursal Al-Hasan

 

Bahkan, ada sanad lain (sebagai syahid) bagi hadis yang lebih kurang maknanya dengan hadis ini tetapi secara mursal iaitu sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Wahb dalam Al-Jami’e fi Al-Hadis (no: 496):

 

قَالَ : وَأَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ أَبِي أَيُّوبَ ، عَنْ شَهْرِ بْنِ حَوْشَبٍ ، عَنِ الْحَسَنِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْهِ السَّلامُ : " صَاحِبُ الصِّدْقِ خَيْرٌ مِنَ الْوَحْدَةِ ، وَالْوَحْدَةُ خَيْرٌ مِنْ صَاحِبِ السُّوءِ "

 

Maksudnya: Sa’id bin Abi Ayyub telah mengkhabarkan kepadaku daripada Syahr bin Husyab daripada Al-Hasan (Al-Bashri) bahawasanya beliau berkata: bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang teman yang baik lebih baik daripada bersendirian sedangkan bersendirian lebih baik daripada teman yang buruk”.

 

Sanad ini kuat kerana diriwayatkan oleh para perawi thiqah kecuali Syahr yang berdarjat hasan. Namun, hadis ini adalah mursal kerana terputus antara Hasan Al-Bashri r.a. seorang tabi;in dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Namun, Mursal Hasan Al-Bashri masih dianggap kuat kerana Imam Hasan Al-Bashri beliau seorang tabi’in yang besar dan berpengaruh. Tambahan pula, hadis ini mempunyai sanad-sanad lain yang bersambung seperti sanad yang dikeluarkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a..

 

Penjelasan Hadis Secara Ringkas

 

Dr. Muhammad Abdul Ghaffar As-Syarif menukilkan beberapa penjelasan tentang hadis ini dalam website beliau iaitu:-

 

 

))‏الوحدة خير من جليس السوء((‏ لما في الوحدة من السلامة وهي رأس المال وقد قيل لا يعدل بالسلامة شيء وجليس السوء يبدي سوءه والنفس أمارة بالسوء فإن ملت إليه شاركك وإن كففت عنه نفسك شغلك ولهذا كان مالك بن دينار كثيراً ما يجالس الكلاب على المزابل ويقول هم خير من قرناء السوء ‏(‏والجليس الصالح خير من الوحدة‏)‏ فإن مجالسته غنيمة وربح، وفيه حث على إيثار الوحدة إذا تعذرت صحبة الصالحين وحجة لمن فضل العزلة وأما الجلساء الصالحون فقليل ما هم...

 

وقال بعضهم‏:‏ صحبة الأشرار تورث سوء الظن بالأخيار‏....‏

(‏تتمة‏)‏ قال الإمام الغزالي - رحمه الله - ‏:‏ وفي الحديث إشارة إلى أن الطريق العدل أن تخالط الناس وتشاركهم في الخيرات وتباينهم فيما سوى

 

Maksudnya: ((Bersendirian lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk…)) Tatkala bersendirian itu suatu kesejahteraan, maka ianya adalah modal. Maka, dikatakan bahawa, tidak dapat menggantikan nilai kesejahteraan dengan sesuatupun sedangkan teman yang buruk akan menzahirkan keburukannya. Sedangkan, nafsu juga mengajak kepada keburukan. Jika kamu cenderung melakukan kejahatan, maka teman itu akan menyertaimu. Jika kamu cegah nafsumu daripada kejahatan itu, maka dia akan menyibukkanmu (dengan keburukan yang dia lakukan). Oleh sebab itulah, Malik bin Dinar banyak duduk bersama anjing-anjing di kawasan sampah sehingga beliau berkata: “mereka ini (anjing-anjing) lebih baik daripada teman-teman yang buruk.

 

((Dan teman yang baik pula lebih baik daripada bersendirian…)) Ini kerana, bersama-sama dengan teman yang baik merupakan ganjaran dan keuntungan. Oleh sebab itulah, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menggalakkannya dan melebihkannya berbanding bersendirian jika seseorang tidak mampu bersahabat dengan orang-orang soleh dan sebagai hujah kepada orang yang mengutamakan uzlah (berbanding bersahabat dengan orang-orang soleh). Adapun teman-teman yang soleh, maka sangat sedikit…

 

Sebahagian ahli khawas menyebut bahawasanya: “(Dengan hanya) bersahabat dengan orang-orang jahat akan membawa kepada buruk sangka kepada orang-orang baik”

 

[Penyempurnaan] Imam Al-Ghazali r.a. menyebut: “Pada hadis ini merupakan petunjuk kepada jalan keadilan bahawa bergaul dengan manusia dan menyertai mereka pada kebaikan serta tidak menyertai mereka pada selain kebaikan tersebut… -tamat nukilan-

 

[Sumber: http://www.dralsherif.net/Print.aspx?SectionID=4&RefID=3979 ]

 

Demikianlah sedikit perbahasan tentang Hadis Bersendirian itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk, yang mempunyai seribu satu panduan terutamanya bagi mereka yang ingin menjalani sebuah jalan kehidupan Islami di zaman yang penuh dengan fitnah dan ancaman terhadap agama umat Islam.  

 

Wallahu a’lam…

 

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafi

2 Sya’ban 1432 Hijrah

 

 


Add a Comment